Pastikan anda ada kawan rapat yang boleh dikongsi masalah bersama dengan mereka


Ada satu kajian yang menarik tentang aktiviti berkawan. Kajian itu berkata, mereka yang sering bertemu dan bermesra dengan kawan-kawan mendapat kesan untuk kesihatan yang sama baik dengan aktiviti bersenam.

Kalau anda jenis yang malas bersenam, maka elok sangat untuk pertimbangkan kegiatan aktiviti bersama kawan-kawan secara rutin.

Amat rugi mereka yang menjadi kera sumbang asyik terperap di rumah tanpa menyambung silaturahim bersama kawan-kawan.

Walau apapun halangan yang anda hadapi, pastikan beristiqamah untuk berkawan. Ini  kerana terlalu banyak manfaatnya jika anda kekalkan perhubungan dengan kawan-kawan di mana saja anda berada.

Selain daripada berkongsi kegembiraan, jangan lupa juga untuk berkongsi masalah bersama kawan-kawan.

Jumlah kawan yang anda ada

Kita tentu punyai beberapa orang kawan rapat yang jujur dan setia mendengar sebarang cerita dari kita samada yang menggembirakan maupun yang menyedihkan.

Apabila kita berkongsi masalah dengan kawan-kawan, tidak semestinya mereka dapat membantu kita menyelesaikan masalah melainkan kita sendirilah yang perlu selesaikannya.

Namun begitu dengan hanya berkongsi masalah dengan mereka yang sanggup mendengar dengan ikhlas, separuh daripada masalah kita sudah selesai.

Sekurang-kurangnya kita berasa lega dapat meluahkan apa yang terpendam dan berlegar-legar di dalam kepala kita.

Bercakap tentang kawan, anda tentu tahu bahawa ada beberapa jenis kawan yang anda saling berhubung. Untuk manusia normal, kawan paling kerap anda berhubung dan luangkan masa adalah dalam lingkungan kawan di lapis pertama yang biasanya berjumlah antara 5 ke 7 orang.

Lapisan pertama itu merupakan kawan yang anda boleh luahkan semua perkara samada suka atau duka. Ia boleh saja terdiri dari sanak saudara, ahli keluarga atau kenalan rapat.

Kawan di lapisan pertama juga menentukan tahap pencapaian dalam hidup anda. Jika mereka jenis yang berjaya, maka anda juga masuk dalam kategori sedemikian. Jika mereka jenis yang negatif, maka anda juga tak dapat lari dari bersikap sama seperti mereka. Oleh itu, perlu lebih peka dengan siapa kawan anda di lapisan pertama itu.

Kemudian, ada lapisan kedua yang terdiri daripada kawan-kawan yang anda baik tetapi tidak serapat lapisan pertama tadi. Biasanya jumlah kawan-kawan tersebut adalah antara 15 ke 21 orang. Iaitu 3 kali ganda saiznya berbanding yang pertama tadi.

Begitulah selanjutnya untuk kawan lapisan ke-3 yang jumlahnya adalah 3 kali ganda saiz yang ke-2 tadi. Dan seterusnya paling besar adalah di lapisan ke-4 yang berjumlah seramai 150 orang. Itu merupakan jumlah maksimum yang seseorang individu normal mampu berhubung dan kekalkan perhubungan secara konsisten.

Anda tak akan mampu kekalkan perhubungan lebih dari 150 orang dalam satu-satu masa.

Jangan berlagak sempurna

Satu perkara penting dalam berkawan adalah jangan berlagak seolah-olah anda seorang yang sempurna.

Sikap yang begitu membuatkan kawan-kawan menjauhikan diri, kerana biasanya orang yang sebegitu ada sikap yang sedikit berlagak ‘macam bagus’. Tak ramai orang yang sukakan manusia sebegitu.

Apabila anda mengakui bahawa diri anda itu seorang manusia yang banyak kekurangan, maka mudahlah untuk merendahkan diri. Tiada halangan untuk menceritakan masalah samada masalah peribadi, perniagaan, kerjaya atau apa-apa saja masalah kehidupan.

Eratkan perhubungan

Ada orang yang merasakan mereka tidak perlu berkongsi masalah bersama kawan-kawan atas alasan tidak mahu menyusahkan mereka.

Sikap sedemikian membuatkan anda pendamkan sahaja dalam hati keseorangan sehingga ia menjadi racun yang memakan diri. 

Anda tentu terkejut apabila kawan-kawan sebenarnya amat gembira apabila kawannya sanggup berkongsikan masalah kehidupannya dengan mereka.

Antara mesej positif yang melegakan kawan anda apabila berkongsikan masalah adalah pernyataan terus terang tentang betapa lemahnya dan tidak sempurnanya diri.

Pengakuan tersebut membuatkan kawan anda lega kerana anda dan mereka adalah sama sahaja. Ini dapat mengeratkan lagi perhubungan sesama kawan-kawan serta memecahkan dinding perbezaan antara sesama kawan.

Berfikiran terbuka

Setelah anda meluahkan segala masalah, bersedialah untuk mendengar komen daripada kawan samada manis atau pahit.

Kadangkala kawan-kawan dapat melihat apa yang anda sendiri tidak nampak dalam diri. Kawan yang baik biasanya akan menceritakan pengalamannya dalam menghadapi masalah yang lebih kurang sama dengan anda.

Ini kadangkala dapat membantu anda menyediakan jalan keluar daripada masalah yang sedang dihadapi.

Kadangkala kawan-kawan hanya mendengarnya sahaja dan berterima kasih pada anda kerana berkongsi sesuatu yang tidak pernah dialaminya untuk dia jadikan pedoman di masa mendatang.

Walau apapun respon daripada kawan, terima sahaja dan jangan mengharap untuk melemparkan masalah anda itu menjadi masalah mereka.

Selepas ini jika anda menghadapi sebarang masalah, pastikan anda luahkannya pada kawan-kawan rapat yang ada.

Jika anda dapati tiada seorangpun kawan rapat yang boleh dikongsikan masalah, anda perlu risau kerana ada kemungkinan anda akan hidup tidak lama dan mengalami masalah kemurungan suatu hari nanti.

Luangkan masa untuk membina rangkaian kawan-kawan yang ikhlas dan sanggup meluangkan masa bersama anda. Untuk itu anda juga perlu sekali-sekala berkorban masa untuk mereka. Meluangkan masa untuk kawan-kawan adalah satu pelaburan yang sedikitpun tidak akan rugi, Insyaallah!

Post a Comment

Previous Post Next Post