Formula mudah bagaimana anda dapat menjadi seorang yang sentiasa tabah


Tabah merupakan salah satu resepi yang wajib ada jika anda mahu berjaya.

Anda boleh tengok banyak contoh di sekeliling, mereka yang berada dalam kesusahan, namun mengharunginya dengan tabah dan akhirnya menempah kejayaan.

Tentu pernah timbul tanda tanya dari mana datangnya ketabahan tersebut dan apa yang membuatkan mereka menjadi tabah.

Soalan paling penting untuk ditanya adalah, bolehkah anda juga turut sama menjadi tabah seperti mereka.

Menjadi seorang yang tabah

Menjadi tabah sebenarnya bukanlah sesuatu yang sukar. Anda boleh mendapatkannya hanya dengan menggunakan satu formula yang mudah.

Formula itu adalah, sentiasa memberikan tumpuan terhadap matlamat untuk “Menjadi Lebih Baik”.

Kajian membuktikan mereka yang benar-benar fokus untuk sentiasa menjadi lebih baik, mampu membuatkan mereka bertukar menjadi manusia yang tahan lasak walau sebesar manapun cubaan yang datang menghalang kemajuan.

Apa yang bakal berlaku seandainya anda tumpukan perhatian terhadap menjadi seorang yang lebih baik dari sebelumnya?

Saya senaraikan di bawah kesan dari adanya matlamat tersebut.

  1. Mengambil apa sahaja cubaan dan halangan sebagai satu peluang belajar perkara baru.
  2. Menerima kelemahan diri, mengaku ketidak sempurnaan diri dan tidak terpengaruh untuk mencapai keputusan yang sempurna.
  3. Bersedia menghadapi kemungkinan yang anda akan melakukan kesalahan dalam perjalanan untuk menjadi lebih baik. Ia menjadi satu lagi peluang menguasai kelemahan.
  4. Melihat segala tugasan yang perlu dilakukan sebagai amat menarik dan timbul keinginan untuk mengetahuinya dan pergi lebih jauh.
  5. Sikap berminat dan tertarik dengan segala tugasan mencetuskan motivasi yang tinggi dan ia juga bertindak seperti pembekal semula tenaga yang cukup berkesan.
  6. Sikap berminat dan seronok dengan tugasan tersebut juga membuatkan ia mengalir kepada tugasan lain yang berikutnya secara lancar dan begitulah seterusnya.

Begitulah lebih kurang kesannya jika anda sentiasa fokus kepada matlamat menjadi yang lebih baik dari sebelumnya. Contohnya, jika anda hari ini seorang kontraktor kelas F, fokuskan pada matlamat untuk naik ke kelas yang lebih tinggi pulak dalam masa 3 tahun yang akan datang. 

Jika anda hari ini seorang operator pengeluaran biasa, fokuskan untuk jadi line leader pulak selepas ini dalam tempoh masa yang sesuai. 

Bagi anda yang berniaga pulak, kalau hari ini punya syarikat yang pendapatannya RM300 ribu setahun, fokuskan untuk mencapai RM500 ribu pula pada tahun depan.

Apa yang penting adalah anda ada matlamat yang jelas. Dan matlamat itu mestilah sesuatu yang lebih baik sedikit daripada Kedudukan anda sekarang.

Jika anda lansung tak ada matlamat dan tak tahu pulak di mana anda berada, ertinya anda ada masalah besar yang perlu diselesaikan dengan kadar segera. Sila buat analisa SWOT untuk lihat kedudukan semasa.

Selamat berfikir ..

1 Comments

Previous Post Next Post