Masalah bukanlah masalah jika anda boleh tangguh dari segera di diselesaikan


Ada sekali tu, masa awal berniaga dulu, saya berhadapan dengan masalah kereta. Rosak teruk yang memerlukan kos tinggi untuk dibaiki. 

Saya pula masa tu, memang tak ada kemampuan. Walaupun dah ada pendapatan dalam perniagaan, tapi simpanan peribadi masih di tahap yang sangat rendah. Tiada peruntukkan untuk urusan baiki terkejut sebegitu.

Bagi seorang usahawan baru yang masih mentah ketika itu, saya telah tertipu dengan budaya ikut-ikutan. Mainan emosi yang telah berjaya diperdayakan oleh iklan dan ilusi kejayaan dalam kehidupan. Emosi yang lebih pentingkan pengiktirafan orang berbanding diri sendiri.

Gaya nampak macam bagus. Tapi Tuhan yang tahu keadaan hidup sebenar yang umpama kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Begitulah dunia tipu daya mengikut arus kepercayaan masyarakat yang hanyut kepada pegangan kebendaan.

Bila dah lama berniaga, dah mula kenal ramai usahawan lain, baru saya tahu memang begitulah keadaannya, kebanyakan usahawan di luar sana. Zahir nampak hebat, sebab itu harapan masyarakat terhadap orang yang mereka mahu hormat, itu yang kebanyakan usahawan sangka.

Hakikatnya, ramai yang haprak tak ada apa. Jiwa tertekan disulami ketakutan.

Tersilap langkah beli kereta

Bagaimana semua masalah kereta itu bermula?

Ia hasil dari silap langkah mahu bergaya bila perniagaan dirasakan dah stabil sikit. Desakan nak dilihat berjaya adalah sesuatu yang amat sukar dikawal bagi orang muda yang tak pernah kaya selama hidupnya sebelum itu.

Secara rasional, saya sedar tak payah nak berlagak untuk beritahu orang, yang anda sudah berjaya dalam perniagaan. Malah kalau benar-benar dah berjaya kaya raya sekalipun, memang tak ada faedahnya untuk pukul canang beritahu semua orang.

Itu secara rasionalnya. Tapi ..

Saya dibelenggu doktrin masyarakat sesat dunia moden. Penilaian diletakkan kepada orang ramai. Jika masyarakat melihat anda berjaya, kaya raya, itu sudah boleh dikira kejayaan. Anda sendiri tahu hidup tertekan serba kekurangan, sanggup pejam mata menahannya. Asal semua orang sangka anda berjaya, itu lebih bagus.

Setiap hari dalam perjalanan dari rumah ke pejabat, saya akan lalu di depan sebuah kedai menjual kereta terpakai. Ada sebuah kereta conti yang saya berkenan sudah lama tersimpan di situ.

Keinginan itu memang nafsu semata. Tak ada pun tak ada sedikitpun masalah. Tapi apa yang ada dalam bayangan minda adalah rasa hebat bila anda memandu kereta conti. Dari situ otak mula bertindak kreatif mewaraskan kenapa saya perlu beli kereta itu.

Di pendekkan cerita, saya gagal mengawal keinginan lalu beli dan pakai.

Sejak itu bermulalah satu episod ngeri kehidupan. Kos selenggaranya melambung 10 kali ganda dari semua kereta yang saya pernah pakai. Tak terfikir pula bab selenggara sebelum beli dan pakai kereta tu. Setiap saat memandu kereta itu sentiasa di selubungi rasa khuatir kerosakkan.

Ada saja benda nak rosak. Bila dah mula satu part bermasalah, kerosakan demi kerosakkan mula berangkai satu persatu. Kalau tak ada RM5 ribu stand by setiap kali masuk bengkel, jangan harap nak siap.

Saya mula sedar itu satu kesilapan paling bodoh yang pernah berlaku sepanjang saya berniaga. Bermual dari situ juga saya bersumpah takkan pakai kereta conti lagi. Lebih baik pakai kereta jepun saja yang terjamin keboleh percayaannya berbanding kereta conti.

Kos selenggara kereta conti itu memang menghisap semua duit yang saya ada. Memang masih mampu untuk tangani semua kos itu. Dengan syarat saya tidak mencampurkan kesemua duit yang telah dibelanjakan dari awal sampai akhir. Memang saya tak pernah cuba kira jumlahnya, takut menyesal.

Selain dari duit yang habis, kos peluang terlepas dan segala masalah sampingan bila kenderaan rosak sudah tentu jauh lebih tinggi. 

Saya masih terus sabar memakainya sehinggalah satu hari, enjin terlebih panas dan rakan kongsi yang saya pinjamkan kereta itu gagahi juga jalan sampai enjinnya rosak. Dah tak boleh selamatkan lagi dan perlu tukar enjin. Saya ragu-ragu nak terus baiki. Biarkan dulu tersadai dalam bengkel. 

Ini amat memeningkan kepala apabila sentiasa di tanya oleh mekanik di bengkel.

Buat keputusan sekalipun salah

Kalau ada perkara penting yang perlu saya petuakan kepada usahawan lain jika mahu terus berniaga, sudah tentu berkaitan dengan membuat keputusan.

Kesilapan paling besar yang orang berniaga boleh buat adalah tidak mahu atau takut buat keputusan. Itu akan menyebabkan semua perkara terhenti tidak bergerak. Ia menyusahkan semua orang yang terlibat. Paling teruk, anda membunuh kredibiliti sebagai seorang yang boleh diharap.

Segera buat keputusan bila ada halangan dan redho dengan apa yang bakal berlaku dari keputusan itu. Samada baik atau buruk, terima saja. Jika baik hasilnya, anda boleh rasa lega, tapi tak perlu rasa bangga. Jika buruk, anda menyerap satu pengalaman dan ilmu baru untuk buat keputusan yang lebih baik di masa hadapan.  

Sata benar-benar tak tahu apa yang perlu dilakukan. Tetapi keputusan perlu diberikan kepada bengkel agar masalah itu tidak terpalint sama kepadanya. Akhirnya, untuk memudahkan hidup saya dan hidup mekanik tersebut, saya suruh dia keluarkan saja kereta dari bengkel dan letakkan di tepi padang, tepi jalan. Biarkan begitu sehingga saya mendapat ilham seterusnya.

Keputusan kecil itu ternyata menghilangkan masalah saya dengan mekanik tuan punya kedai. Sekalipun mekanik itu bertanya adakah saya akan membiarkan kereta itu begitu saja, tidakkah rasa sayang pada kereta itu?

Saya faham tujuannya baik. Disamping untuk menjana jualan bengkelnya, dia sudah tentu tidak sanggup melihat kenderaan terabai begitu.

Soalan itu mampu menggugat minda saya dan akan menyusahkan fikiran jika dilayan. Namun saya sudah nekad. Selagi masalah lain tidak timbul, saya buat keputusan tidak mahu memikirkan tentang kereta itu buat sementara waktu, biarlah dia di situ sehingga masanya tiba.

Begitulah akhirnya saya terus melupakan tentang kereta tersebut dan meneruskan kerja saya yang lain yang lebih penting sehinggalah ada seorang hamba Allah yang menelefon mahu membelinya dan sanggup mengeluarkan segala kos untuk membaiki kereta itu.

Dia rupanya memang cukup minat dengan kereta model itu dan alhamdulillah, Allah selesaikan masalah saya walaupun tidak saya fikirkannya. Saya hanya mendoakan pada mulanya, agar Allah permudahkan masalah tersebut diselesaikan dan doa itu terkabul nampaknya.

Sekali lagi sikap tidak pendam dari membuat keputusan telah menyelamatkan saya. Selagi boleh pejamkan mata tanpa memikirkan penyelesaian keseluruhan masalah itu dan ia tidak mengganggu perkara yang lain, tangguhkan dulu buat sementara. Buat keputusan seterusnya bila masalah baru datang.

Pelajarannya di sini adalah perlu tahu mana paling penting antara yang penting. Uruskan yang paling penting terlebih dahulu dan jangan berhenti tengok benda lain selagi yang paling penting tidak diselesaikan.

Bukan semua masalah perlu diselesaikan dengan kadar segera. Malah, jika masalah itu boleh ditangguh dari penyelesaian, ia bukanlah satu masalah.

Kadangkala ia hanya mainan minda yang tak henti-henti cuba menakutkan diri anda terhadap apa yang bakal berlaku. Selalunya imaginasi ketakutan di hadapan itu tidak pernah berlaku pun ..

Post a Comment

Previous Post Next Post