6 cabaran ambil pekerja yang buat anda tidak mampu besarkan perniagaan


Apakah sebab-sebab yang menghalang anda sebagai seorang usahawan, membesarkan perniagaan yang anda sedang jalankan?

Cuba lihat di sekeliling. Rata-rata perniagaan yang dikendalikan oleh orang Melayu terutamanya adalah kecil-kecil belaka.

Mungkin, anda boleh lihat kepada perniagaan anda sendiri. Bermula sejak ianya ditubuhkan sehinggalah masuk 5, 10 atau 20 tahun, perniagaan tersebut masih kecil macam tu juga. Kadangkala makin lama makin jadi seumpama ‘hidup segan mati tak mahu’.

Selalunya ia berakhir dengan kematian perniagaan tersebut apabila orang penting, iaitu pengasas perniagaan itu, meninggal dunia.

Apakah puca yang menghalang anda besarkan perniagaan?

Perniagaan tak berkembang

Antara punca yang menghalang anda besarkan perniagaan adalah disebabkan enggan atau tidak berupaya membina sebuah organisasi yang mampu berfungsi sebagai sebuah mesin yang yang dapat bergerak dengan sendiri.

Ya!, Anda perlu bayangkan perniagaan anda sebagai sebuah mesin yang mampu berjalan secara sendiri dengan pemantauan yang minimum.

Memang ada orang yang sengaja tidak mahu besarkan perniagaannya. Dia selesa untuk kekal kecil sederhana sekadar mencukupi buat diri dan keluarga serta tanggungannya. Tak ada salahnya bersikap sedemikian. Saya hormat peniaga yang berfikiran begitu.

Namun begitu, saya sering berjumpa dengan usahawan, juga bakal usahawan yang memang punyai cita-cita tinggi untuk membina sebuah perniagaan yang besar dan mampu bersaing dengan peniaga lain yang  jauh lebih hebat dan cekap dalam menguruskan dan membesarkan perniagaan mereka.

Punyai hasrat untuk membesar sebegitu juga satu sikap yang saya sangat kagum.

Tetapi masalahnya, bila dibincangkan tentang kerjasama atau bekerja secara kumpulan untuk besarkan perniagaan, mereka akan mula mengeluh. Mereka lebih cenderung untuk buat semua kerja sendiri-sendiri.

“Susah kalau biarkan orang lain buat….” itu alasan mereka.


Perniagaan tak akan dapat membesar dengan alasan sebegitu. Perlu diingat bahawa, perniagaan anda akan kekal kecil jika anda sebagai tuan punya perniagaan bersikap mahu buat sendiri semua kerja yang ada.

Dalam erti kata lain, usahawan tidak sesekali mampu besarkan perniagaan, jika tuannya bekerja terlalu kuat sehingga tiada masa berfikir untuk mengatur strategi dan mencari jalan terbaik.

6 sebab perniagaan tepu

Sebelum lihat apa 6 perkara yang membuatkan perniagaan anda terbantut tidak berkembang, elok lihat terlebih dulu cara untuk tahu samada perniagaan anda mampu berkemang atau tidak.

Teknik mengukur kedudukan sesebuah perniagaan samada sedang membesar atau tidak mudah sahaja. Lihat rumusan di bawah ini.

“Semakin kurang tuan punya perniagaan itu bekerja maka semakin membesarlah perniagaannya dengan syarat perniagaan masih berjalan dan pendapatan sentiasa melebihi perbelanjaan.”


Cuba lihat kedudukan diri anda sekarang. Adakah anda masih kuat bekerja seperti mula dulu atau makin lama makin berkurangan.

Petua yang terbukti berkesan dari dulu sampai sekarang dalam usaha membesarkan perniagaan adalah terletak kepada keupayaan anda membina sumber manusia. Samada dari dalam atau secara luaran. Dalam bererti tenaga kerja anda sendiri manakala luaran ialah tenaga kerja pembekal atau vendor.

Hanya dengan bantuan dan kerjasama merekalah anda mampu membesarkan perniagaan.

Berikut di bawah saya senaraikan 6 cabaran yang membantutkan usaha anda untuk besarkan perniagaan yang berkisar tentang keupayaan membina sumber tenaga kemanusiaan.

Antara masalah membina kader atau pelapis pengurusan dalam usaha besarkan perniagaan kita adalah seperti berikut.

1. Memilih orang yang sesuai.

Bukan mudah untuk mencari dan mereksur pekerja yang sesuai dan berkelayakan bagi melaksanakan kerja yang anda mahu serahkan. Hampir semua pekerja yang baik sudah diambil oleh syarikat yang jauh lebih besar dan stabil.

Ini memang perkara biasa dan tidak ada jalan pintas. Anda perlu terus mencuba sehingga berjaya menemuinya. 

Ingat intan ditemui setelah bertan-tan tanah dikorek. Itupun perlu dibasuh dan digilap sebelum ia jadi berharga.

2. Kedekut ilmu

Ini satu lagi masalah yang ada pada kebanyakan usahawan dan peniaga. Anda risau jika diajar semua ilmu pengurusan dan perniagaan yang ada pada orang lain, satu masa nanti dia akan lari dan menjadi pesaing perniagaan anda sendiri.

Ini satu kenyataan yang kita tidak dapat elakkan. Tapi tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk anda berhenti dari terus mencuba. Seandainya ada yang lari jadi pesaing, anggaplah ia amal jariah anda dalam membina kemajuan anak bangsa.

3. Bersikap terlalu sempurna.

Ada ramai peniaga yang berlagak sempurna dan mengharapkan orang lain juga sempurna atau lebih sempurna darinya. Anda lupa berapa lama masa yang diperlukan untuk menguasai kemahiran yang ada lalu tidak bersedia memberikan satu tempoh belajar yang mencukupi kepada pekerja.

Sikap ini membuatkan anda tidak dapat menerima kesalahan anak buah dan ia sebenarnya menyusahkan diri anda sendiri.

4. Takut perniagaan merosot.

Ini perkara biasa yang dialami oleh kebanyakan usahawan yang menghalang anda dari menambah pekerja.

Penambahan pekerja bermakna kos akan meningkat. Jika perniagaan merosot, anda risau tak mampu menyara para pekerja yang ada.

Tak ada perniagaan yang untung dari awal hingga akhir, ia lumrah dan sering kali akan ada saja jalan penyelesaiannya. Paling teruk pun anda boleh kurangkan jumlah pekerja sehingga perniagaan pulih kembali.

5. Bersikap buruk sangka pada orang lain

Sikap buruk sangka membuatkan anda sentiasa tidak percaya pada sesiapa pun.

Anda tak akan gajikan orang untuk buat jualan kerana takut dia akan larikan pelanggan. Dan begitulah seterusnya pada semua kerja lain di mana anda sentiasa menaruh syak wasangka terhadap pekerja.

Sikap ini akhirnya membuatkan tidak ada sesiapa yang sanggup bekerja dengan anda.

6. Tak tau nak suruh buat apa

Ada keinginan nak ambil pekerja tapi tak tahu nak suruh dia buat kerja apa. Takut dia datang duduk saja dan bosan. Anda juga risau takut bayar gaji buta pada pekerja yang tak ada kerja.

Itu adalah perkara biasa bila anda tak pernah percaya pada orang lain dan tak pernah belajar untuk lepaskan tugasan pada orang bawah.

Itu juga satu tanda yang anda sebenarnya tidak tahu pecahkan proses semua kerja yang ada dalam bentuk yang lebih kecil supaya satu sistem pembelajaran melaksanakan tugas dapat dirangka. Selagi anda tak ambil pekerja, selagi itulah berterusan tidak belajar semua urusan membahagikan tugasan.

Beranikan diri

Ada banyak lagi kekangan yang membuatkan anda tidak mampu membentuk sebuah kumpulan yang mantap dalam menguruskan syarikat anda dan seterusnya besarkan perniagaan ke tahap yang lebih tinggi.

Walau apapun kekangan yang ada, anda perlu selesaikannya. Perlu beranikan diri dan berfikir bagaimana anda boleh mengambil orang lain untuk dilatih menjalankan urusan perniagaan anda sehinggalah akhirnya anda berjaya besarkan perniagaan.

Selagi tidak berbuat begitu, selagi itulah anda tidak akan kemana-mana dan peluang besarkan perniagaan tidak akan kunjung tiba.

Post a Comment

Previous Post Next Post