Panduan untuk anda yang nak jadi usahawan tapi tak ada idea nak buat perniagaan apa


Tentu anda dah lama sedar bahawa, apa saja perniagaan yang orang lain di sekeliling anda dah buat, berpotensi untuk ditiru. Maksudnya, untuk memulakan perniagaan,tak payah nak susah-susah beratkan kepala cari idea perniagaan baru.

Soalan itu menjawab segala pertanyaan kawan-kawan yang sering bertanya, 'nak buka bisnes apa ya?'

Buka saja bisnes yang anda lihat dah dibuat oleh ramai orang di merata tempat. Selagi bisnes itu masih wujud, selagi bisnes tu masih berjaya hasilkan taukeh yang kaya, selagi itulah bisnes itu ada potensi. Selagi itulah bisnes itu ada pasaran.

Namun begitu, bukan mudah untuk pilih bisnes apa nak buat. Sebab ada seribu satu macam bisnes kat luar sana.

Jadi saya kongsikan cara nak pilih bisnes berdasarkan pengalaman sendiri yang memang saya dah buat ketika awal nak memulakan perniagaan dulu.

Memilih produk dalam bisnes

Perkara paling penting yang wajib ada bila anda nak mula berniaga, adalah produk. 

Jika anda baca buku Peter Drucker, saya cadangkan untuk anda cari dan baca, dia kata, tujuan seseorang berniaga adalah disebabkan dia ada sesuatu yang mahu ditawarkan kepada pengguna.

Ada produk lah tu, maksudnya. Dan produk boleh saja berada samada dalam bentuk bahan fizikal, mahupun tawaran perkhidmatan. 

Cuma beza antara produk fizikal berbanding perkhidmatan adalah, yang pertama itu boleh nampak, boleh rasa, walaupun belum dibeli. Manakala yang no 2 tu tak boleh nampak tak boleh rasa selagi tidak dibeli dan selesai perkhidmatannya di beri. Kita tulis bab beza antara produk fizikal dengan produk servis di lain artikel.

Untuk itu sebelum berhenti kerja dan menjadi usahawan, anda wajib ada produk atau perkhidmatan untuk ditawarkan pada pelanggan.

Persoalannya, produk apa?

Ada dua cara yang biasa diamalkan oleh orang yang nak mulakan perniagaan dalam menentukan produk yang mahu ditawarkan.

Cara pertama yang sering diimpikan oleh ramai usahawan start-up diluar sana adalah, menghasilkan produk baru dalam pasaran yang tak ada lagi ditawarkan oleh sesiapa. Produk begitu dirasakan mampu meletop sebab tak perlu risau tentang persaingan.

Cara kedua yang paling kerap diamalkan oleh hampir kesemua peniaga diluar sana, adalah menghasilkan produk yang memang dah ramai orang buat. Mudah dan pantas. Tak perlu pening kepala nak reka benda baru.

Secara praktikal, cara kedua adalah jauh lebih mudah dan sesiapa saja boleh melakukannya.

Produk yang sesuai

Tips paling mudah dalam memilih produk yang sesuai untuk diri anda bila jadi jadi usahawan adalah dengan melihat pengalaman hidup dan pekerjaan yang telah anda lalui sebelum ini.

Kelebihan terhadap pengalaman yang ada membuatkan anda dah fasih selok belok tentang produk atau perkhidmatan yang mahu ditawarkan kepada pelanggan nanti.

Contohnya, jika selama ini ada kerja makan gaji dalam bidang logistik, maka bab itu memang dah jadi darah daging anda secara tidak disedari. Tak ramai orang lain yang ada pengalaman sama seperti itu. Buka saja bisnes berkaitan dengan logistik dan anda hanya perlu perbetulkan apa yang masih samar sahaja.

Saya sering ditanya soalan seperti di bawah.

Bisnes apa yang bagus untuk saya buat sekarang?

Jawapannya adalah: Bisnes yang anda mahir tentangnya berbanding orang lain.

Cuba semak semula anda berada dalam industri apa selama ini. Pengalaman tersebut amat bernilai jika anda bekerja selama ini dengan bersungguh-sungguh dan menguasai kerja serta sentiasa ambil tahu apa yang berlaku dalam industri tersebut.

Tiada pengalaman yang sama

Tapi, bagaimana pula jika pengalaman hidup atau kerja yang ada tidak sama dengan jenis perniagaan yang mahu anda jalankan?

Kes itu sama dengan saya ketika mahu berniaga dulu. Pengalaman kerja dengan apa yang saya berniaga sekarang tidak sama langsung.

Memandangkan saya sudah berumur ketika itu, dah masuk pertengahan 30-an, maka tidak ada pilihan nak korek ilmu, timba pengalaman dan sebagainya, melainkan berhenti dan terus terjun berniaga.

Itu teknik yang berisiko tinggi kerana anda tidak tahu langsung tentang industri yang mahu diceburi. 

Namun masih ada jalan penyelesaian, dan saya lakukan dengan baik juga.

Berikut saya kongsikan teknik bagaimana anda boleh mulakan proses mencari dan buat perniagaan yang mana anda sendiri tidak ada pengalaman dalam industri tersebut sebelum ini.

Langkah Awal

Untuk permulaan, anda hanya perlu buat satu senarai semua perniagaan yang dirasakan ada potensi dalam buku nota. Sentiasa simpan buku nota dalam beg atau poket supaya setiap kali tergerak ada idea perniagaan melintas, boleh terus catit.

Langkah Ke-2

Ini satu lagi langkah yang penting untuk diselesaikan. Anda perlu buat satu senarai kriteria perniagaan secara umum yang anda mahu jalankan. 

Fikir betul-betul semua yang anda mahu dan apa yang anda tak mahu dalam perniagaan tersebut. Sebagai contoh, samada anda mahu berniaga dengan orang ramai atau dengan kerajaan (Business 2 Business, Business 2 Consumer atau Business 2 Government). perkhidmatan atau pembuatan, perlu pejabat atau hanya di rumah, perlu pekerja yang ramai atau one-man-show, perlu glamour atau low profile, dan lain-lain seumpamanya.

Dari keperluan di atas anda sudah boleh membuang sebahagian besar perniagaan yang tidak sesuai dengan diri anda. Ini memudahkan lagi proses membuat pilihan.

Langkah Ke-3

Setelah siap kedua-dua proses di atas, anda perlu buat saringan demi saringan sehinggalah tinggal hanya ada 3 pilihan sahaja.

Buat kajian dengan mendalam terhadap ketiga-tiga pilihan terakhir anda itu seperti berapa besar pasarannya, siapa pesaing paling hebat, berapa ramai persaingan di pasaran, apa keperluan undang-undang yang perlu dipatuhi, bagaimana keadaan pasaran gelapnya, ada tak persatuan yang melindungi perniagaan atau industri itu, sejauh mana perniagaan tersebut berkembang di luar negara dan lain-lain lagi.

Langkah Ke-4

Bila anda dah buat pilihan terhadap perniagaan yang nak dijalankan, jangan mulakan lagi. 

Pergi cari peluang untuk bekerja di syarikat besar yang jalankan perniagaan tersebut. Tak kisah jawapan apapun, asalkan anda dapat masuk dan belajar di dalamnya. Tumpuan utama adalah untuk belajar dan bukannya makan gaji.

Rajin bertanya, terima setiap tugasan dengan senyuman meleret supaya semua orang, semua bos suka pada anda.

Bila rasa dah bersedia, boleh berhenti dan teruskan perniagaan. Anda boleh buat begitu seawal 6 bulan atau selewat-lewatnya 3 tahun.

Peringatan akhir

Ingat akan petua saya, iaitu untuk sentiasa memilih jenis perniagaan yang ada banyak persaingan. Itu tandanya ia perniagaan yang terbukti berjaya dan berdaya maju.

Jangan pilih perniagaan yang tak ada orang lain buat dengan harapan kita akan kaya raya, itu andaian yang sering meleset. Keupayaan untuk ubah tabiat membeli manusia bukan kerja mudah. Ia memerlukan bajet besar yang biasanya hanya ada pada syarikat yang banyak duit saja.

Selamat mencuba!

Post a Comment

Previous Post Next Post