Pernah naik kapal layar tak?
Kalau tak pernah tak apa, sebab saya sendiri pun tak pernah.
Yang pentingnya anda kenal apa itu kapal layar. Boleh google cari macam mana rupa kapal layar. Dalam bahasa Inggeris disebut sebagai 'Yacht'.
Dunia Yacht ni setakat yang saya tahu adalah dunia kemewahan. Kalau ikuti sejarah munculnya yacht ni pun, maknanya adalah lebih spesifik kepada dunia bersenang lenang. Orang kaya saja yang mampu miliki yacht.
Kenderaan yang duduk atas air ni samada dipanggil bot atau yacht. Yang membezakan yacht dari bot adalah kemudahan untuk tinggal bermalam di dalamnya. Ertinya, yacht adalah seperti rumah bot yang boleh berlayar ke mana saja samada dengan menggunakan layar atau motor.
Jika anda minat kepada dunia pelayaran dan lautan, memiliki kapal layar mungkin jadi salah satu impian anda. Kena ada banyak duit untuk mampu memilikinya. Ada kawan yang saya kenal beli yacht dan biar saja berlabuh di Klang atau Langkawi. Dia gunakan kapal layar itu untuk kerja melobi dan bersantai. Dan yang pastinya dia memang ada banyak duit.
Biar berlabuh di mana-mana tempat khas untuk yacht bukannya percuma. Kena sewa tapak tu dengan segala kemudahan yang disediakan di sana.
Maca yang saya kata di atas tadi, dunia yacht adalah dunia orang kaya.
Bagi saya secara peribadi, daripada memiliki yacht dan duduk di dalam bot tu, lebih baik beli tanah di hulu pendalaman dan buat rumah sederhana dari kayu tinggal di dalamnya. Boleh bercucuk tanam dan menikmati suasana segar jauh dari kesibukan dunia moden.
Tujuan saya tulis pasal yacht ni adalah untuk renung sikit perkara yang boleh dipajari dari dunia kapal layar. Saya fokus kepada yacht yang menggunakan layar di sini.
Ada pelajaran penting yang anda boleh ambil iktibar daripada kapal layar.
Jika anda memahaminya dan terjemah masuk ke dalam kehidupan, anda akan berjaya tidak kira dalam apa saja perkara yang dilakukan.
Kapal layar & angin
Angin memainkan peranan yang cukup penting dalam pelayaran kapal layar.
Jika anda lihat bagaimana orang kendalikan kapal layar, boleh simpulkan ada dua perkara penting yang perlu memberi kesan dalam proses mengawal perjalanannya.
- Arah dan kekuatan angin.
- Kedudukan layar pada kapal.
Dalam 2 perkara tersebut hanya kedudukan layar sahaja yang berada dalam kawalan anda.
Anda perlu melihat angin yang datang dan dari situ menggunakan layar pada kapal untuk menggerakkan kapal pada hala yang mahu ditujui.
Mudah saja analogi kapal layar tu untuk diambil guna dalam kehidupan seharian.
Dalam kehidupan ada banyak perkara yang anda tidak dapat kawal. Contohnya dari ayah dan emak mana anda dilahirkan, dalam kalangan keluarga susah atau senang, dalam masyarakat bagaimana anda dibesarkan, sekolah mana anda mula belajar, siapa kawan-kawan ketika kanak-kanak dulu, rupa paras, keadaan fizikal dan lain-lain lagi.
Bagi anda yang tidak ada sikap positif, keadaan buruk yang anda dapat, akan semuanya dijadikan alasan untuk tidak melakukan apa-apa perubahan.
Bagi yang bersikap positif pula, apa saja yang ada pada mereka diterima seadanya dan anda akan suaikan diri berdasarkan keadaan sekeliling untuk maju ke depan. Anda gunakan apa yang ada untuk kelebihan diri.
Sama macam kapal layar di atas tu. Jangan merungut pada keadaan angin. Gunakan layar untuk ubah ke arah yang diperlukan.
Jika anda berniaga contohnya.
Seorang peniaga tidak dapat mengawal sikap serta kehendak para pelanggannya. Tetapi sebaliknya dia mampu mengawal produk yang mahu ditawarkan. Oleh itu adalah lebih bijak dia mengikut permintaan pelanggan dan menawarkan produk yang kehendaki mereka.
Anda tidak boleh mengubah perasaan orang terhadap anda, sebaliknya anda boleh mengawal perasaan diri sendiri dan menyesuaikan diri dengan sikap orang.
Jangan mengharapkan semua orang berubah menurut kehendak anda, sebaliknya andalah yang perlu berubah sikap menyesuaikan diri dengan orang lain. Lebih mudah mengubah diri sendiri daripada mengubah orang lain.
Ringkasnya, apa yang anda miliki sebenarnya tidak berapa penting berbanding dengan apa yang anda buat dengan apa yang anda miliki.
Ingat!
Jangan cuba ubah perkara yang diluar kawalan, sebaliknya ubahlah sikap agar sesuai dengan apa yang berlaku di persekitaran.
Ingat falsafah penting ini:
“Anda tidak boleh mengawal angin, tetapi boleh mengawal layar”