Merancang untuk tentukan apa akan jadi pada diri anda 5 tahun lagi dari sekarang


Ini antara soalan yang agak popular ditanya ketika dalam temuduga kerja, “bagaimana anda bayangkan diri anda dalam tempoh 5 tahun dari sekarang?”

Mungkin anda sendiri pernah di tanya sebegitu. Paling baik, jika anda pernah tanya pada diri sendiri soalan itu.

Dalam buku Napoleon Hill, dia kata, apa yang anda bayangkan dalam kepala tentang diri anda, lama kelamaan bakal menjadi kenyataan. Lebih jelas dan terperinci apa yang dibayangkan itu, lebih besar kemungkinan ia akan berlaku.

Masa kanak-kanak dulu, saya sering tertanya-tanya, cuba bayangkan, bagaimana agaknya diri saya nanti bila berumur dalam lingkungan 40-an. Tapi tak pernah ada jawapan. Cuba cari dengan melihat orang-orang tua di sekeliling yang dah berumur untuk dapatkan gambaran, tapi tetap samar sebab tak dapat bayangkan apa ada dalam kepala mereka.

Sayang seribu kali sayang sebab tak ada orang pernah beritahu saya dulu bahawa saya sendiri yang perlu bayangkan macam mana diri saya bila besar nanti. Tak ada orang bimbing untuk beri maklumat apa yang saya boleh jadi, atau apa saya nak jadi.

Secara logik, membayangkan apa yang anda nak jadi lima tahun lagi itu adalah penting. Ia seumpama satu destinasi yang membawa arah perjalanan kehidupan anda. 

Jika anda tak tahu ke mana destinasi, alamat anda akan sampai entah ke mana-mana. Walaupun hakikatnya anda akan sampai juga ke satu destinasi, namun perjalanan akan jadi lebih mudah dan teratur jika anda ada destinasi.

Sampai atau tidak destinasi mungkin tidak sepenting persediaan dan perancangan untuk bergerak ke sana. Ia memberi kesibukan dalam hidup anda untuk bergerak dan berusaha melaksanakan apa yang perlu seterusnya merancang dan susun perjalanan itu sehingga sampai.

Ada satu lagi cara mudah untuk ketahui apa anda akan jadi pada anda 5 tahun lagi. Anda boleh lihat kepada 2 berkara yang anda buat sekarang.

Pertamanya, apa bahan bacaan yang anda suka baca, tajuk atau jurusannya ke arah mana, dalam industri apa.

Dan yang kedua adalah dengan siapa anda sering habiskan masa bersama berkawan. Mereka jenis yang macam mana. Kawan-kawan yang positif, negatif, gila-gila, suka berniaga, suka buang masa atau bagaimana.

Jika anda perhatikan betul-betul, kedua perkara tersebut di atas memang betul. Anda dapat jangkakan apa akan jadi pada seseorang itu 5 tahun akan datang hanya dengan melihat jenis kawan-kawannya serta buku apa yang dia baca.

Kedua perkara itu memberikan kesan yang cukup besar dalam membentuk sikap diri anda serta cara anda berfkir.

Jika anda berkawan dengan mereka yang bercita-cita besar dan berfikiran positif, maka sikap itu juga akan berjangkit pada anda. Ditambah dengan maklumat yang anda cara dan baca dari buku-buku, akan kuatkan lagi sikap serta keperibadian diri anda.

Jika anda dikeliling oleh kawan-kawan kaki berniaga, dan anda juga sering baca buku-buku menyentuh tentang keusahawan, maka tidak hairan dalam tempoh lima tahun lagi atau mungkin lebih awal, anda juga akan jadi usahawan.

Begitulah juga jika anda dikeliling ustaz dan penceramah dan sering membaca dan mengulangkaji kitab-kitab, maka lima tahun lagi anda juga samada menjadi penceramah atau akan dipanggil ustaz.

Apa yang boleh diambil pengajaran di sini adalah, dengan kombinasi dua amalan di atas anda mampu merangka kejayaan hidup.

Yang pentingnya, anda perlu lakukan perkara berikut.

  • Tentukan apa yang anda ingin jadi lima tahun lagi.
  • Pilih kawan yang sesuai dan boleh membantu keinginan tersebut.
  • Cari dan baca buku-buku yang sesuai untuk dapatkan maklumat dan pengetahuan bagi membantu kejayaan anda.

Jangan biarkan masa berlalu tanpa anda sedari. Ambil tindakan segera bagi mengenal pasti kesemua perkara di atas. Yang paling penting, jangan lupa berdoa, mohon kepada Tuhan untuk berjaya.

1 Comments

  1. Lima tahun macam lama tetapi bila dilalui rupanya amat singkat...saya pun masih tercari-cari nak jadi apa dalam 5 tahun yang akan datang...mungkin kerana kelemahan tersebut saya belum berjaya kerana matlamat terl;alu umum ..nak kaya contohnya

    ReplyDelete
Previous Post Next Post