Anda boleh amalkan 3 tips mudah ini untuk tingkatkan kecekapan dan kepuasan pekerja


Untuk meningkatkan kecekapan dan tahap kegembiraan para pekerja, anda mungkin terfikir yang ia memerlukan satu perubahan struktur organisasi yang ada.

Tapi sebenarnya tak perlu buat perubahan besar. Anda boleh lakukannya dengan 3 cara mudah yang akan saya kongsikan di bawah ini.

Jika anda mempunyai pejabat dan pekerja yang agak ramai. dengan menggunakan pendekatan mudah ini, anda mampu meningkatkan tahap kecekapan para pekerja sehingga 25% daripada tahap yang ada sekarang.

Fokus kepada 3 amalan ini adalah dalam meningkatkan tahap keseronokan bekerja. Ia membawa kepada peningkatan tahap kecekapan pekerja sekaligus bakal memberi kesan kepada meningkatnya tahap kecekapan syarikat.

Berikut 3 langkah mudah yang anda boleh lakukan segera.

1. Keluar makan sekali

Jangan biarkan para pekerja keluar makan sendiri-sendiri. Galakkan mereka keluar makan sekali dalam satu kumpulan. Makan sama-sama terutamanya ketika waktu rehat. Lagi ramai mereka keluar bersama lebih bagus.

Pantau untuk kenal pasti jika ada di kalangan pekerja yang suka jadi kera sumbang. Selidik atau bertanya kepadanya kenapa dan galakkan agar dia turut serta dengan yang lain atau jika dia tak selesa dengan teman-teman sekerjanya, cadangkan untuk dia tinggalkan syarikat pergi cari kerja di tempat lain yang dia boleh berkawan dengan teman sekerja. 

Mungkin anda anggap ini perkara ringan. Tapi kajian mendapati mereka yang bersosial rapat sesama rakan sekerja lebih cekap sumbangannya pada syarikat. Perlu ambil perhatian cara mudah ini dan pastikan semua staff mampu jalin perhubungan kerja.

Ada juga kawan-kawan yang berniaga ambil pendekatan untuk masak nasi dan lauk ringkas buat para pekerjanya makan di waktu rehat. Ini juga satu idea yang amat baik.

2. Susun atur tempat duduk

Susun kedudukan para pekerja dengan betul dan berkesan berdasarkan keperluan mereka bekerjasama.

Jangan biarkan pekerja yang saling perlukan kerjasama untuk tugasan mereka, duduk berjauhan. Permudahkan mereka untuk saling bertemu dan berbincang.

Bayangkan jika pekerja terpaksa berjalan jauh, sukar bertemu dengan rakan sekerja yang mereka perlukan sedangkan kerja mereka saling berkait rapai. Ini amat menyusahkan dan bakal meruntuhkan tahap moral mereka untuk bekerja.

3. Komunikasi bersemuka

Kurangkan penggunaan e-mail, wasap dan seumpamanya ke tahap maksimum. Sebaliknya lebihkan mereka berkomunikasi secara terus bersemuka.

Melaksanakan tugasan sesama rakan sekerja secara berdepan jauh lebih cekap daripada sekadar e-mail atau wasap. Galakkan mereka berbincang secara berdepan dan sediakan kemudahan untuk perbincangan tersebut.

Kalau ada ruang elok adakan tempat di mana rakan sekerja dapat melakukan perbincangan. Adakan ruang mesyuarat yang selesa lengkap dengan meja kerusi dan white board adalah sangat baik. 

Mudah tapi berkesan

Jika anda lihat ketiga-tiga petua di atas, ia amat mudah untuk dilakukan dengan kadar segera. Hampir tak ada kos pun. Tapi jika anda berusaha melakukannya, kesannya amat baik untuk lahirkan suasana gembira di tempat kerja dan paling penting ia bakal naikkan tahap kecekapan syarikat anda sekarang.

Ramai di kalangan usahawan kecil-kecilan yang punyai beberapa pekerja mengambil ringan semua faktor di atas, termasuklah saya. Jika anda serius untuk berjaya, jadikan ia satu pedoman dalam menyusun para pekerja di pejabat agar anda mampu untuk pergi lebih jauh dan membuka peluang pekerjaan yang lebih besar dengan merekrut lebih ramai pekerja yang cemerlang.

Nota: Rujukan

Post a Comment

Previous Post Next Post