Saya yakin anda suka kalau dapat hasil yang berganda-ganda tapi perlu buat kerja sikit saja. Saya memang suka kalau dapat begitu, malah sering berusaha cari jalan untuk dapat macam tu.
Rasanya hampir semua orang suka begitu. Yang paling digemari adalah, tak perlu kerja langsung tapi dapat duit banyak. Kecenderungan untuk itu membuatkan setiap kali munculnya tawaran seumpama Saham Pak Man Telo, ramai yang terperangkap. Mereka tak dapat menahan nafsu mahu hidup goyang kaki, relaks tak payah buat apa, tapi sentiasa ada hasil pendapatan.
Kerja sikit hasil berganda
Konsep tak perlu buat apa-apa, tapi pendapatan lumayan tu agak sukar untuk ditemui melainkan anda anak seorang jutawan. Tapi yang nak dicari adalah konsep kerja yang sedikit tapi mampu menjana pendapatan yang berganda. Atau lebih tepat lagi, usaha yang sedikit tetapi hasilnya berganda.
Memang konsep begitu ada dan dapat dilakukan.
Cuba lihat ayat dari surah Al-Baqarah (2:261) berikut.
Perumpamaan orang yang menginfakkan hartanya di jalan Allah seperti sebutir biji yang menumbuhkan tujuh tangkai, pada setiap tangkai ada seratus biji. Allah melipatgandakan bagi siapa yang Dia kehendaki, dan Allah Mahaluas, Maha Mengetahui.
Untuk dapat kelebihan tersebut, saya dengar para ilmuan terangkan ada 3 langkah yang perlu dipenuhi terlebih dahulu.
- Amalan-amalan asas tidak ditinggalkan. Semua suruhan yang wajib perlu dilaksanakan dan segala larangan perlulah dihindari. Jika tersalah langkah perlu disesali dan segera pohon keampunan. Jangan lupa amalan muhasabah sepanjang masa dan lain-lain seumpamanya yang merupakan perkara asas. Ia perlu dijadikan amalan rutin dan bukan amalan bermusim.
- Perlu ada usaha mencarinya. Tanpa ada usaha mencari, bererti tak pernah ada niat mendapatkannya. Perlu ada kemahuan dan dari situ akan timbul kepekaan terhadap pelung yang muncul dan berusaha mendapatkannya.
- Perlu ada ilmu. Ini juga ada kaitan dengan kemahuan. Maka akan bermula usaha pencarian terhadap pemahaman dan cara mendapatkannya. Semua itu membuatkan semua deria menjadi lebih peka melihat dan mendapatkan peluang.
Dengan adanya kemahuan, istiqamah melakukan kebaikan, setiap rezki yang anda belanjakan dalam melakukan kebaikan akan digandakan sehingga 700 kali. Itulah yang dapat difahami dengan satu kebaikan bercabang kepada 7 tangkai dan setiap tangkai ada 100 biji lagi.
Kerja sikit hasil berganda dalam bisnes
Perkara sama dapat diaplikasikan ke dalam usaha perniagaan anda.
Jika perkara-perkara asas anda laksanakan nescaya kerja-kerja lain yang baik mampu mendatangkan hasil yang berganda walaupun nampak seolah-olah kerja tak berapa banyak sangat dilakukan.
Dalam perniagaan produk atau servis perlu dipasarkan supaya orang tahu. Pengurusan duit juga perlu dilakukan dengan baik agar tidak berlaku perbelanjaan yang sia-sia lalu terjadinya pembaziran. Operasi perlu diberikan perhatian dan mencari penambahbaikan. Pembinaan sumber kemanusiaan tidak boleh ditinggalkan.
Melalui kesemua kerja-kerja asas, anda dapat menentukan usaha yang mana satu mendatangkan hasil yang paling baik berbanding usaha-usaha lain. Setelah menemuinya, kurangkan tumpuan terhadap usaha yang sedikit hasilnya dan alihkan tumpuan pada usaha yang besar hasilnya.
Itu adalah permulaan perjalanan ke arah ‘kerja sedikit tapi hasil berganda’.
Kalau dilihat kajian yang dilakukan oleh JW Pareto, biasanya hanya 20% saja dari semua usaha yang anda lakukan, yang menjana 80% dari hasil. Manakala 80% lagi usaha hanya memberikan 20% saja hasil.
Itu dikenali sebagai Prinsip Pareto.
Apabila anda mengenal pasti apakah usaha yang meliputi 20% tersebut, maka segeralah tinggal atau kurangkan usaha lain (yang meliputi 80%) untuk memberikan tumpuan ke arah kerja sedikit tapi hasil banyak.
Memang anda akan kehilangan 20% daripada hasil tetapi ia amat berbaloi apabila hanya kehilangan 20% hasil sahaja berbanding penjimatan usaha sebanyak 80%. Betul tak?
Contoh usaha sikit hasil berganda
Jika rasa susah nak faham, tak apa. Saya berikan contoh mudah.
Cuba lihat berapa ramai kawan-kawan yang anda ada dan sering dihabiskan masa bersama. Dalam kesemua kawan-kawan itu, senaraikan satu persatu serta catit faedah yang anda dapat daripada mereka sepanjang tempoh berkawan.
Anda akan dapati kebanyakan daripada kawan-kawan yang anda ada langsung tidak berikan apa-apa faedah samada pada karier, perniagaan atau kehidupan. Sekadar teman habiskan masa saja. Selalunya hanya sedikit sahaja yang berfaedah yang memberikan banyak impak dalam kehidupan, perniagaan atau karier anda.
Katakan anda ada 10 orang kawan baik dan cuma 2 orang saja yang mendatangkan 80% faedah pada anda dalam kehidupan. Kenapa mahu buang masa meneruskan perhubungan dengan 8 lagi orang kawan yang impaknya tak ada atau terlalu sedikit.
Berikan ruang masa yang lebih kepada 2 orang kawan yang amat berfaedah itu tadi, dengan mengurangkan masa untuk bersama dengan 8 orang lagi. Bukan pangkah tak kawan terus, tapi sekadar pembahagian masa yang anda ada untuk mereka.
Kenal pasti dan dalami sifat serta ciri-ciri kawan anda yang 2 orang itu dan mula jadikan ianya sebagai pedoman untuk memilih kawan-kawan seterusnya yang sesuai dengan diri anda.
Dari situ anda membina rangkaian kumpulan kawan-kawan yang benar-benar sesuai dan mendatangkan faedah yang banyak buat diri.
Saya ulangi lagi di sini bahawa perkara asas tidak boleh ditinggalkan.
Dalam kes kawan ini, perkara asas adalah bermasyarakat. Jika ditinggalkan perkara asas itu, tak ada apa yang anda boleh buat untuk memperbaiki kehidupan dengan konsep kerja sedikit tapi hasil berganda.
Selamat mencuba.
saya pun suka...keja sikit tetapi hasil berganda....namun tiada nikmat juga kalau merasai kerja keras dan menghasilkan kejayaan luar biasa
ReplyDelete