Kalau nak mudah berjaya dalam berniaga, pastikan anda tak layan semua orang


Ada sekali tu seorang rakan yang buat perniagaan dadih datang jumpa saya di pejabat syarikat pest control saya ketika itu di Glenmarie, Shah Alam. Saya lebih awal berhenti kerja dan berniaga. 

Beberapa tahun kemudian, saya dapat tahu dia pula berhenti. Bila dia datang berkunjung, baru saya tahu dia buat bisnes apa. Dia nak kongsikan masalah perniagaannya. Mungkin sebab saya mula berniaga lebih awal dan dia nampak bisnes saya macam ok saja, maka dia rasa saya ada sesuatau yang boleh dipelajari.

Ceritanya pada saya .. 

Dia pasarkan dadih buatan sendiri di beberapa tempat sekitar Lembah Kelang terutamanya di kantin-kantin sekolah. Jumlah pengeluarannya masa tu adalah dalam 2 ribu dadih sehari.

Ada satu persoalan yang sedang berkisar dalam kepalanya. Ada ada bertemu dengan seorang prospek pelanggan yang merupakan seorang Mak Datin. Dia telah berikan beberapa sampel dadih pada Mak Datin itu untuk rasa dan ternyata Mak Datin amat suka pada dadih buatannya.

Mak Datin bercadang untuk pasarkan dadih tersebut pada rangkaian rakan-rakannya yang terdiri daripada kumpulan Mak-Mak Datin dan para isteri kepada orang-orang ternama dan penting.

Cuma ada sedikit masalah timbul. Mak Datin bertanyakan air apa yang dia gunakan dalam proses membuat dadih itu.

Rakan saya terangkan dia menggunakan air paip yang dimasak. Itu membuatkan Mak Datin risau samada rakan-rakannya dapat terima dengan penggunaan air paip.

Layan permintaan Mak Datin

Mak Datin mengesyorkan rakan saya itu menggunakan air mineral kerana ia lebih terjamin kebersihannya dan berkualiti tinggi. Kalau tidak, agak sukar untuk dia mengambil dadih tersebut.

Itulah yang menjadikan rakan saya serba salah dan tidak dapat jalan penyelesaian. Kos jika menggunakan air mineral adalah tinggi dan dia tidak dapat mengekalkan harga dadih sebagai mana sekarang.

Persoalannya adalah, macam mana nak buat, itulah sebabnya dia datang menemui saya.

Saya bertanyakan padanya berapa ramai jumlah Mak Datin di Lembah Kelang dan dari jumlah tersebut agaknya berapa ramai yang akan membeli dadih daripadanya.

Rakan saya terdiam, cuba mencongat buat kiraan agaknya. Saya berikan pandangan bahawa tak ramai jumlah Mak Datin berbanding pasaran semasa yang telah dia bina.

Dalam situasi itu, adalah tidak berbaloi dia melayan permintaan Mak Datin tersebut yang mana peningkatan hasil atau penambahan jualan daripada pasaran Mak Datin ada apa-apa makna sangat. Penambahan yang langsung tidak memberangsangkan.

Adalah lebih baik dia menumpukan pasaran yang ada sekarang yang lebih fokus pada mereka yang berpendapatan rendah dan tidak terlalu memilih dan mengada-ngada macam geng mak datin tu.

Ini bermakna rakan saya tak perlu melayan Mak Datin dan sekali gus masalah tersebut tidak wujud dan tidak perlu difikirkan langsung.

Dia tersenyum bersetuju dan merasa lega kerana tidak terlintas apa yang saya sampaikan padanya sebelum.

Jangan layan semua orang

Salah satu kelebihan berniaga adalah anda boleh menentukan dengan siapa anda mahu memasarkan produk atau perkhidmatan yang mahu ditawarkan. Ertinya anda boleh memilih siapa yang nak dilayan.

Kadangkala para peniaga tidak sedar kelebihan ini. Mereka cuba memasarkan produk atau perkhidmatan pada semua orang seramai yang mungkin.

Apabila sesebuah perniagaan itu cuba menjadi jaguh dengan melayan semua orang, maka perniagaan hilang fokus dan tidak dapat membina keunikannya yang tersendiri.

Yang lebih memburukkan lagi keadaan adalah anda akan hilang tenaga akibat letih melakukan kerja yang sia-sia dan tidak mendatangkan hasil yang optimum.

Cerita di atas adalah contoh di mana para peniaga kadangkala terlupa yang mereka perlu menetapkan siapa pasaran mereka sejak awal dan istiqamah membina pasaran tersebut.

Apabila anda telah tetap dengan pasaran, masa yang ada boleh digunakan untuk memikirkan bagaimana membesarkan lagi pasaran tersebut dan menyediakan produk atau perkhidmatan yang paling ideal yang dapat memenuhi kehendak pasaran itu.

Bagi yang terlupa, pastikan anda sedar siapa pasaran, jenis macam mana pelanggan yang anda mahu berniaga. Pastikan anda fokus terhadap pasaran itu sehingga berjaya.

Post a Comment

Previous Post Next Post