Lantik orang yang lebih susah dari anda sebagai 'coach' untuk ubah kehidupan agar jadi lebih senang


Biasanya, panduan umum yang para sifu di luar sana berikan dalam bab memburu kejayaan adalah, 

Untuk berjaya, perlu belajar dari orang sudah berjaya.

Contohnya, kalau anda nak kaya, kena belajar dari orang yang sudah berjaya jadi kaya. Logik panduan itu, tapi ..

Masalah jika nak ambil pendekatan tersebut adalah, orang kaya yang nak anda tuntut ilmu darinya itu akan kenakan bayaran. Bukan murah harganya. Sebab itu mereka kaya.

Bukan semua orang mampu keluarkan duit untuk bayar pada sifu-sifu yang dah kaya tu.

Jadi, saya nak cadang satu lagi cara yang jauh lebih mudah. Daripada belajar dengan orang kaya, apa kata anda belajar dari orang yang susah.

Dalam mana-mana masyarakat, orang susah saja yang sering bantu orang susah yang lain. Malah kebanyakan masa mereka memberi bantuan secara percuma saja, langsung tak berkira. 

Sebab mereka tak ada apa-apa yang nak dirugikan, dah memang tak ada apa-apa sangat pun dalam simpanan. Mereka miskin harta, tapi kaya budi.

Takrifan miskin, susah & kaya

Sebelum itu, mari lihat terlebih dahulu makna miskin, susah dan kaya secara praktikal. Itu pendekatan awal untuk memberi keyakinan terhadap apa yang akan anda amalkan selepas ini.

Berikut takrifan mudahnya.

  • Miskin – Pendapatan tidak cukup untuk menyara keperluan. Jika dia perlukan RM1000 untuk penuhi keperluan hidup, dia hanya mampu dapat kurang dari itu dan tak akan dapat melunaskan segala keperluan dan tanggungan hidupnya.
  • Susah – Pendapatan ngam-ngam cukup untuk sara keperluan. Ini kategori yang ramai orang berada di dalamnya. Tak kira berapa pendapatan yang dia dapat, semuanya habis digunakan, tak ada lebih tak ada kurang. Begitulah berterusan sekali pun jika dia berjaya naikkan pendapatan tetap, perbelanjaan tetapnya akan turut juga naik.
  • Kaya – Pendapatan lebih daripada keperluan. Jika dia perlukan RM5000 untuk keperluan hidup, pendapatannya sentiasa lebih dari itu. Baki disimpan tak kacau, kemudian dilaburkan dan makin lama makin meningkat lebihan hasil dari pasif income yang dibina.

Anda boleh temui ramai orang, terutamanya yang makan gaji, yang susah. Macam saya kata di atas tu, setiap kali pendapatan meningkat, anda akan secara tak sedar tingkatkan juga keperluan. Hingga apa saja jumlah yang ada hanya cukup untuk dibelanjakan sepenuhnya tanpa ada simpanan.

Belajar dari orang susah

Sekarang, mari lihat bagaimana orang susah boleh mengajar anda menjadi kaya.

Lihat di sekeliling, samada kawan, kenalan, jiran, saudara atau siapa saja yang anda kenal, semuanya punyai jumlah pendapatan yang berbeza antara satu sama lain.

Ada yang dapat RM900 sebulan, ada yang dapat RM1,500, ada yang dapat RM3,000 dan ada juga yang dapat lebih daripada RM10,000 setiap bulan.

Di kalangan mereka dah tentu ada yang jumlah ahli keluarganya sebijik sama dengan anda dan barang kali tinggal di kawasan kejiranan yang sama. Lebih menarik lagi kalau dibandingkan pendapatan yang anda dapat, adalah jauh melebihi pendapatan mereka.

Katakan pendapatan yang anda bawa balik adalah RM5,000 sedangkan pendapatan jiran itu sekitar RM3,000. Jika diperhatikan ada perkara menarik yang berlaku. Kenapa pendapatan yang anda ada hanya cukup-cukup untuk keperluan sahaja. Dalam masa yang sama jiran anda juga mengeluh kenapa pendapatannya hanya ngam-ngam untuk menyara keperluannya sahaja setiap bulan.

Sama seperti anda juga, dia tak berkeupayaan menabung dan ini telah berterusan semenjak pendapatannya hanya RM1,500 sebulan dulu. Samalah seperti anda.

Ada rahsia penting tersorok dalam keadaan yang saya gambarkan di atas jika digabungkan, dapat membantu anda jadi kaya.

Begini caranya.

  • Lantik jiran jadi coach - Ajak kawan yang pendapatan RM3,000 itu menjadi pembantu untuk anda jadi kaya. Berikan sedikit ganjaran seumpama RM50 atau lebih, setiap kali dia ceritakan amalan kehidupannya pada anda.
  • Tiru macam dia - Temuramah jiran anda itu bagaimana dia berbelanja secara terperinci. Kereta apa dia pakai, makanan jenis apa yang dia makan dan lain-lain yang berkaitan. Seterusnya ikut semua gaya hidup dan cara dia berbelanja. Jadikan beliau sebagai pemantau untuk menegur jika ada kesilapan berlaku.
  • Istiqamah - Amalkan secara tetap sehingga menjadi kebiasaan. Di saat itu anda akan dapati pendapatan yang dibawa balik sudah sentiasa berlebihan sebanyak RM2,000 daripada keperluan sebab anda dah berjaya ikut gaya hidupnya yang bawa balik RM3,000 sebulan.
  • Mula menabung semua lebihan - Masukkan ke dalam bank atau tabung haji atau unit trust atau seumpamanya secara tetap.

Anda sudah masuk dalam senarai orang kaya.

Jangan lupa turunkan ilmu ini pada jiran yang membantu anda tadi selepas anda dah berjaya ikut gaya hidupnya. Suruh dia cari rakan atau jiran lain pula yang berpendapatan RM2,000 sebulan. Jangan kaya seorang diri, ajak orang lain juga jadi kaya.

2 Comments

  1. satu artikel yang sangat menarik buat saya dan saya kongsikan artikel ini kepada kawan-kawan

    ReplyDelete
Previous Post Next Post