Berlatih mantapkan daya tumpuan menggunakan orang yang sering beri masalah pada anda


Selepas tamat latihan sebagai juruterbang, Robert Kiyosaki dipilih untuk menyertai kumpulan elite kendalikan jet pejuang Amerika. Matlamat pilot jet pejuang ini hanya satu, ‘tembak tepat pada sasaran’. Mereka dilatih menembak ke sasaran bagi memusnahkan tentera musuh. 

Sepanjang latihan Robert Kiyosaki sentiasa diiringi oleh seorang Sarjan yang merupakan pelatih berpengalaman dalam melahirkan pilot pembunuh.

Setiap kali melakukan penerbangan, apabila mereka menghampiri kawasan musuh dalam latihan tersebut, Sarjan itu mula memukul kepala Robert Kiyosaki bertubi-tubi dengan pemukul getah, sambil menyuruhnya tembak pada sasaran.

Sepanjang latihan simulasi itu, ia sentiasa berakhir dengan Jet Pejuang yang mereka naiki berjaya ditembak musuh. Setiap kali itu juga kedengaran jeritan Sarjan, ‘kamu membuatkan kita mati ditembak!”. Begitulah kejadian itu berulang-ulang. Ia membuatkan Robert rasa sangat marah pada Sarjannya.

Bagaimana dia dapat berikan tumpuan jika setiap kali menghampiri musuh kepalanya dipukul bertubi-tubi. Keadaan itu amat menyakitkan. Lebih-lebih lagi rasa sakit hati dengan gangguan tersebut. 

Namun begitu Sarjan tidak pernah ambil perhatian terhadap kemarahan Robert. Dia teruskan aktiviti sama, mengganggu setiap kali mereka menghampiri sasaran. Setelah beberapa kali berlatih, sarjan ubah sedikit cara kacau Robert. Kali ini dia menjerit berulang kali “FOKUS!, FOKUS!”. Dalam masa yang sama masih tetap memukul kepala Robert Kiyosaki.

Lama kelamaan Robert tak hiraukan hentakan pada kepalanya itu. Dia hanya berusaha berikan tumpuan untuk memusnahkan musuh. Dengan berbuat begitu dia berjaya menembak ke sasaran sebelum jet pejuang mereka ditembak musuh.

Bila dah berjaya dan konsisten barulah Sarjan itu terangkan bahawa dia pukul kepala sebab itu merupakan satu cara untuk memalingkan Robert dari tumpuan. Dalam apa saja urusan yang dilakukan, semua orang akan hadapi berbagai gangguan ketika cuba memberi tumpuan. Itu lumrah kehidupan.

Hanya mereka yang berjaya tumpu 100% pada matlamat dan abaikan segala gangguan saja yang akan berjaya. Untuk berikan tumpuan, anda perlu lupakan segala perkara lain selain dari mencapai matlamat yang dikejar.

Latihan yang diberikan oleh Sarjan itu benar-benar berjaya memberi kefahaman pada Robert apa erti fokus. Semenjak itu, Robert Kiyosaki mula menggunakan pendekatan yang sama dalam apa saja perkara yang beliau lakukan terutamanya terhadap kehidupan dan juga perniagaannya.

Pengacau dalam hidup

Cuba fikir sejenak. Dalam kehidupan anda selama ini akan ada seseorang yang kerjanya asyik mendatangkan masalah saja. Biasanya mereka merupakan seseorang yang rapat dengan anda, samada dari kalangan keluarga, kawan-kawan, rakan perkongsian, jiran, atau musuh. Anda memang tidak dapat elakkan diri daripada mereka.

Anda mungkin tewas bila menghadapi masalah diganggu oleh mereka yang sering mendatangkan masalah. Tewas bukan disebabkan oleh mereka, tapi sebaliknya kerana cara anda menghadapi mereka tidak betul. Bila jadi begitu, anda akan meletakkan kesalahan pada mereka apabila anda hilang fokus terhadap matlamat yang sedang dikejar.

Sekarang mari cuba manfaatkan apa yang berlaku, samada yang hadir itu membantu anda atau mengganggu. Yang membantu sudah tentu anda pandai manfaatkannya. Tapi bagaimana nak ambil manfaat dari kaki kacau tu?

Sarjan dalam hidup anda

Dari cerita Robert di atas, anda boleh melantik semua mereka yang sering mendatangkan masalah serta mengganggu tumpuan matlamat hidup anda sebagai Sarjan.

Sarjan yang memberikan latihan percuma!. 

Biarlah mereka ganggu sehebat mungkin untuk anda gunakan itu sebagai latihan bagi kuatkan daya tumpuan. Latih diri untuk fokus tanpa memperdulikan mereka.

Bukan mudah untuk bina daya fokus jika anda tidak mendapat latihan tubi samada secara formal atau tidak formal. Dengan melantik semua kaki kacau itu sebagai Sarjan, anda akan lulus ujian dengan cemerlang. Dan patut ucapkan terima kasih apabila anda berjaya jadi seorang yang kuat daya tumpuannya nanti.

Untuk berjaya dalam apa saja urusan, kekuatan memberikan tumpuan terhadap perjalanan dan usaha menuju kejayaan itu sangat penting. Anda akan pasti bertemu dengan seribu satu halangan yang cuba untuk membuatkan anda hilang tumpuan kalau tak mampu abaikan semua gangguan tersebut.

Petua dari Miyamoto Musashi

Pernah sekali seorang pemain pedang terhebat di Jepun, Miyamoto Musashi, ditanya bagaimana dia mampu menguasai kemahiran bermain pedang dengan hebat mengatasi semua orang lain.

Ini jawapannya.

Ketika melibas pedang kepada musuh, lupakan segala yang lain selain daripada melibas pedang itu.

Dengan berbuat begitu anda akan menjadi pemain pedang yang hebat dan digeruni. Jangan fikir apa kata kalau dia melawan dan mengelak nanti. Atau fikir kasihan pada keluarganya, atau lain-lain lagi. Semua itu hanya akan membuatkan gerakan mencantas anda terbantut dan gagal.

Sama juga jika anda mahu menjadi seorang usahawan yang berjaya, lupakan segala halangan yang mendatang selain daripada memikirkan tindakan untuk mencapai tujuan itu.

Insyaallah anda akan berjaya.

Pesan akhir saya. Jangan lupa kenal pasti siapa Sarjan pelatih dalam hidup anda. Selamat tahun baru 2024

Post a Comment

Previous Post Next Post