Masa awal mula berniaga dulu, ada sekali tu, saya hadapi kesukaran untuk selesaikan gaji pekerja. Duitnya ada, tapi sekadar atas kertas kerana pelanggan belum bayar.
Janjinya, dalam tempoh dua minggu lagi bayaran akan diterima sedangkan saya perlukannya pada masa itu untuk bayar gaji yang dah masuk hujung bulan.
Saya dah berusaha minta pada rakan kongsi (sleeping partner) yang pegang syer majoriti besar dalam syarikat, namun diberitahu yang dia juga sedang kosong dompet, tak dapat membantu. Saya pasrah, terima apa saja jawapan yang dia berikan. Yang penting saya dah cuba minta.
Buntu, tak ada idea dari mana nak dapatkan RM5 ribu yang masih tak cukup, saya hidupkan kereta pergi ke KL. Tak ada tujuan sebenarnya, sekadar melayan fikiran yang tak tau nak fikir apa lagi. Kemudian saya singgah minum seorang diri di Restoran mamak MZ.
Tiba-tiba saya ditegur, “hoi Bihi!”.
Saya toleh pada suara tersebut, rupa-rupanya kawan yang dah lama tak jumpa. Dia terus duduk depan saya, minum dan berbual tanyakan khabar sebab dah lama tak jumpa. Saya layan sekalipun fikiran dalam keadaan kacau. Mungkin dia perasan lalu bertanya samada saya ada masalah kerana dilihatnya fikiran saya macam terganggu.
'Ya! memang saya ada masalah sedikit', jawab saya
Lalu menceritakan masalah duit tak cukup RM5 ribu untuk bayar gaji. SEbaik habis mendengar cerita saya, dia dengan selamba keluarkan buku cek dan buat RM5 ribu atas nama saya.
“Nah! aku baru ambil VSS, dapat RM500 ribu, ambil ni dan bayar bila dah ada duit nanti" katanya selamba.
Saya masih terlopong macam tak percaya.
Apa lagi, selesailah sudah masalah. Datang bantuan dari sumber yang tak pernah terlintas langsung. Saya segera pendekkan perbualan dan terus cabut balik ke Shah Alam untuk selesaikan gaji staff.
Mudah selepas susah
Dalam menjalani kehidupan, sudah pasti anda akan temui kesukaran dan segala cabaran hidup yang cuba menguji tahap kesabaran diri. Memang begitulah adat selagi anda masih tidak jemu berusaha menunaikan segala tanggung jawab dan komitmen hidup.
Bukan mudah nak dapatkan kebaikan dalam hidup ini. Bukan mudah juga nak dapatkan kebaikan selepas mati nanti. Anda perlu bertahan menerima segala ujian jangan sampai tewas.
Tuhan berjanji bawah setiap kesukaran pasti akan disusuli dengan kemudahan.
Dan sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan. Sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan. - (Al-Syarh 94: 5 - 6)
Ada kalanya anda mengalami kesukaran lalu berputus asa. Sikap begitu sudah pasti mengundang kekecewaan dan kegagalan. Tiap kali jadi begitu, ingat semula ayat di atas.
Jika anda merempuh kesusahan walau bagaimana sukar sekalipun. Samada kesukaran itu datang dalam bentuk halangan, tekanan atau seumpamanya, insyaallah kesabaran itu bakal membuahkan kemudahan. Terus berusaha dan sabar sampai datang kesenangan.
Minat tapi takut berniaga
Banyak bancian di buat bertanyakan kepada orang ramai terhadap keinginan menjadi usahawandengan menjalankan perniagaan. Majoriti jawab minat jadi usahawan.
Tapi kenapa agaknya ramai yang tak berani berniaga?
Samada suka atau tidak ia punya kaitan rapat dengan perasaan takut gagal. Sedangkan gagal hanya berlaku apabila anda berhenti mencuba. Sebenarnya itulah sebab utama, tak tahan menempuh kesukaran dalam berusaha mencari jalan menemui kejayaan.
Hanya ada 2 cara anda berhadapan dengan kesukaran.
- Lari - Melarikan diri dan hidup dalam bayang-bayang
- Tempuh - Merempuh dengan sabar. Meleraikan kesukaran itu satu persatu sehingga terbuka pintu kejayaan.
Jika anda yakin dengan ayat di atas dan sudah sewajibnya anda yakin, maka pilihlah pendekatan kedua di atas. Insyallah anda akan berjaya dalam apa jua yang anda lakukan.
Walau bagaimanapun, perlu lihat sambungan 2 ayat di atas seperti berkut.
Kemudian apabila engkau telah selesai, maka bersungguh-sungguhlah engkau berusaha (persediakan diri), Dan hanya kepada Tuhanmu sahaja hendaklah engkau memohon. - (Al-Syarh 94: 7 & 8)
Di samping berusaha, bersedia berhadapan dengan segala kemungkinan, jangan lupa untuk senantiasa memohon pada Tuhan. Jangan mohon pada selain Allah.
Sekalipun anda anda menemui seseorang untuk minta bantuan, ingat bahawa itu sekadar usaha sahaja. Jika Tuhan izinkan, orang itu akan bantu anda. Jika tidak, usaha lagi sampai datangnya pertolongan Tuhan.