Saya pernah dengar pendapat dari seorang kawan yang percaya kalau nak berjaya seseorang itu mesti kurang tidur?
Sepanjang pengalaman berborak dan berbincang masalah kawan-kawan dalam bab bisnes dan kejayaan, sentiasa ada rungutan dan kritikan pada sikap kawan, jenis yang kuat tidur. Rata-rata, kami melihat itu sebagai salah satu dari faktor penting yang membantut kejayaan dalam perniagaan yang diusahakan mereka.
Tapi, jika diperhatikan kawan-kawan yang dianggap jenis kuat tidur tu bukannya tidur dalam tempoh masa yang panjang. Mereka lebih cenderung kepada tidur lewat sampai pagi, kemudian bagun lewat juga sebab tidur lewat di malam tadi. Jumlahnya lebih kurang sama saja dengan kebanyakkan orang lain tidur, iaitu dalam 6 ke 8 jam.
Memang ada orang yang jadual waktu perniagaannya tak sama seperti jadual waktu kebanyakan aktiviti kehidupan orang lain. Contohnya jika anda jalankan bisnes kedai Tomyam yang mula berniaga jam 3 petang dan tutup kedai jam 3 pagi. Memang tak boleh ikut jadual kerja macam orang lain yang kerja pejabat.
Saya kenal seorang kawan yang dah berumur, punyai amalan jadual tidur yang berbeza dari orang biasa. Dia dah pencen dari aktiviti berniaga dan punya pengalaman yang lama naik dan jatuh dalam usaha niaganya. Banyak pengalaman yang saya kutip setiap kali bertemu dengannya.
Jika dinilai dari hasil usahanya, memang banyak perkara yang dah dia capai. Boleh dimasukkan dalam kategori mereka yang pernah berjaya satu ketika dahulu. Di zaman kegemilangannya, dia ada beberapa kedai di Stesen Bas Puduraya yang menjana duit tunai yang banyak di zaman kegemilangan stesen bas itu dulu.
Memang dia dari dulu masa dia hebat sampai sekarang, tabiat tidurnya sama saja. tidur lewat dan bangun lewat. Dia hanya akan masuk tidur setelah solat subuh.Setiap hari sebelum atau selepas zohor baru dia bangun.
Dari dia juga, saya kenal beberapa orang usahawan lain yang perangai sama. Mereka merupakan anak didiknya dalam perniagaan. Otak ligat dan cara berfikir hampir sama saja. Mungkin hasil didikan itu mereka juga jenis yang tidur lewat. Pukul 2 atau 3 pagi masih duduk kedai minum dan jumpa orang lagi.
Sekalipun tidur sangat lewat, esok paginya, pukul 6 dah bangun solat subuh samada di rumah atau di masjid. Selepas solat subuh, dah mula jumpa kawan-kawan bisnes lain sarapan di pasar. Entah berapa minit agaknya dia tidur sehari sentiasa jadi tanda tanya.
Zaman awal saya belajar berniaga, dengan merekalah saya berguru. Lama saya cuba ikut perangai mereka yang tidur lewat dan bangun awal. Saya andaikan mungkin itu merupakan salah satu formula yang membuatkan mereka berjaya dalam perniagaan masing-masing.
Tapi akhirnya saya rumuskan cara itu tidak sesuai untuk saya. Kalau nak amalkan sekali sekala boleh. Tapi untuk jadikan itu amalan biasa, saya angkat tangan. Saya rasa seperti satu penyiksaan pada diri sendiri buat begitu.
Kaitan tidur dan sukses
Untuk membentuk cara saya sendiri dalam amalan tidur tanpa perlu ikut budaya tidur lewat dan bangun awal, maka saya mula mencari maklumat untuk membuat sedikit kajian berkaitan amalan tidur dengan kejayaan seseorang.
Dari situ saya faham asas kenapa perlu tidur. Tidur adalah aktiviti rehatkan diri. Semua orang perlu rehatkan tubuh badannya dengan tidur. Ketika tidur, macam-macam aktiviti yang berlaku dalam tubuh badan samada mental atau fizikal dan yang paling penting, ada aktiviti penyelenggaraan sedang ligat berlaku ketika tidur.
Makna kata, tidur adalah amalan yang sangat penting untuk berjaya. Ia perlu dilakukan dalam kadar tidak terlalu lama dan tidak terlalu cepat. Perlu tahu berapakan kadar yang diperlukan secara optimum untuk membolehkan aktiviti pemulihan tubuh badan berlaku dengan cekap.
Kadar cukup tidur pula bergantung kepada diri masing-masing. Ada yang perlu tidur lama dan ada yang perlu tidur sekejap sahaja. Matlamatnya adalah sama iaitu untuk memulihkan tenaga.
Pakar merumuskan setiap manusia normal memerlukan antara 7 ke 8 jam masa untuk tidur dalam masa sehari. Kurang atau lebih dari itu membuatkan tenaga tidak dapat dipulihkan dengan optimum.
Ada orang yang rasa dia tidak perlu masa yang lama untuk tidur, hanya perlu antara 5 ke 6 jam sahaja sehari. Ada juga yang rasa dia perlu kurang dari itu.
Apakah itu betul?
Ya!, memang ada segelintir orang yang tidak perlu masa lama untuk memulihkan tenaga dengan tidur.
Tetapi kemungkinan besar anda bukan termasuk dalam golongan tersebut. Data kajian menunjukkan dalam 100 orang, hanya 5 orang sahaja yang berkemungkinan tidak perlu masa tidur yang lama.
Jenis kawan yang kurang tidur
Saya perhatikan beberapa orang kawan yang memang tak banyak tidur, malah sangat sedikit seperti yang saya cerita di atas tadi. Berikut adalah ciri-ciri kawan-kawan jenis begitu.
- Mereka tidur lewat dan muncul awal pagi tanpa perlu tidur sebentar pada waktu siang atau mengambil minuman berkafein untuk kekal segar.
- Mereka biasanya amat bertenaga dan ceria.
- Mereka biasanya peramah, bercakap dengan laju dan tidak henti bercakap.
- Biasanya mereka amat optimistik dan bercita-cita tinggi.
- Otak mereka sentiasa cepat berfikir dan berada seperti dalam keadaan terkejar-kejar. Mereka sentiasa padang jauh ke depan
- Mereka sentiasa saja ada idea untuk melakukan perkara yang menarik minat mereka.
Tidur dan bangun awal
Berbalik kepada soalan apakah orang yang mampu tidur sekejap biasanya berjaya?
Dari bacaan saya dapati, ia tidak dapat dibuktikan lagi. Tapi yang pastinya mereka mempunyai masa yang lebih panjang berbanding kebanyakan orang lain untuk melakukan kerja.
Kajian yang dibuat terhadap para pelajar pula mendapati prestasi pelajaran seseorang pelajar yang cukup tidur lebih bagus berbanding dari pelajar yang kurang tidur. Otak mereka lebih cerdas.
Ada satu artikel lama dahulu di majalah Forbes yang melihat jumlah tidur dan waktumasuk dan bangun tidur mereka yang berjaya dalam perniagaan di peringkat tinggi seperti Bill Gates, Warren Buffet dan seumpamanya.
Rata-rata mereka tidur lebih dari 6 jam. Kebanyakannya pukul 7 pagi dah bangun. Ada ramai juga yang bangun seawal 5 pagi.
Jika anda lihat bangsa secara keseluruhannya, kaum yang sudah jadi amalan mereka bangun awal pagi adalah kaum yang rajin dan baik hasil usaha mereka seperti orang Cina umpamanya.
Tambah lagi jika anda menceburi unia pertanian, bangun pagi sudah pasti memberi banyak kelebihan terhadap usaha pertanian anda.
Belajar kurang tidur
Boleh belajar untuk kurang tidur tak?
Jika anda teringin menjadi salah seorang daripada mereka yang kurang tidur, anda hanya membuang masa kerana tidak ada satu carapun untuk belajar jadi begitu.
Biasanya tabiat kurang tidur ini berputik sejak zaman kanak-kanak dan ia kebiasaannya adalah faktor keturunan.
Untuk mengetahui samada anda jenis yang kurang tidur atau tidak, mudah saja.
Jika dalam seminggu anda kebiasannya mampu bertahan untuk hanya tidur antara 5 ke 6 jam saja dalam masa satu hari, kemudian bila dihujung minggu anda ganti semula dengan tidur lebih lama, anda bukan jenis yang tahan kurang tidur.
Walau bagaimanapun, menurut sebuah buku yang saya baca baru-baru ini yang menyenaraikan tabiat 100 orang paling kaya di setiap Bandaraya di Amerika, majoriti daripada mereka tidak suka tidur dan lebih banyak berjaga daripada tidur.
Anda pertimbangkan sendiri samada untuk berjaya perlu kurang tidur atau tidak.
Bagi saya ia ada hubung kait dengan cita-cita dan keazaman untuk berjaya.
Bila dah terlalu fanatik untuk jadi yang terkaya dan terhebat dalam perniagaan, sudah pasti anda akan hadapi masalah untuk tidur!
sayang nikmat tidur dilepaskan ...dalam Islam tidur juga ibadah yang menjana pahala
ReplyDeleteSetuju tuan! rehat itu satu keperluan hidup manusia.
Delete