Apa kemahiran yang anda ada yang berguna untuk jadikan diri anda seorang insan yang menjalani satu kehidupan yang bermakna?
Sebut tentang kemahiran ni, ada 2 jenis saja.
- Hard skill - Contohnya kemahiran bermain gitar. Petik dengan betul, letakkan jari pada tali dan tempat yang tepat untuk keluarkan bunyi yang dikehendaki berdasarkan urutan kod yang mengeluarkan bunyi dan musik yang sedap.
- Soft skill - Kalau dalam kes bermain guitar di atas tadi, hard skill masih belum cukup jika anda tidak ada kemahiran mentafsir emosi dari lagu yang dimainkan. Atau kemahiran mengenal pasti jenis lagu yang mampu menyentuh jiwa pendengar dalam satu suasana yang tertentu.
Apa guna kemahiran?
Paling penting, untuk Kelangsungan hidup. Contohnya anda mahir buat kasut. Maka boleh gunakan kemahiran itu untuk sediakan kasut buat kegunaan diri anda sendiri dan keluarga serta sanak saudara.
Kemahiran itu juga dapat membantu orang lain yang perlukan kasut. Ia dapat dimanfaatkan bagi menjalankan perniagaan buat dan jual kasut. Bila permintaan tinggi, anda perlu wujudkan pewaris yang diajar cara-cara buat kasut sebagaimana yang telah anda kuasai.
Itu menjadi satu lagi kegunaan anda untuk berbakti kepada orang lain dalam menjalani kehidupan dan kelangsungan hidup mereka. Prosesnya jadi berangkai-rangkai tak akan habis selagi anda masih bernafas dan mahu pastikan hidup bermakna dengan kemahiran dimanfaat sebaik mungkin.
Begitulah secara mudah betapa pentingnya kemahiran.
Antara soft skill dan hard skill anda perlu berikan tumpuan banyak kepada usaha membina hard skill. Sebab soft skill akan datang sepanjang anda berusaha menguasai hard skill tersebut.
Usaha membina hard skill tak boleh habis sampai ke liang lahad.
Kemahiran zaman moden
Kemahiran yang perlu dikuasai manusia di zaman dulu tak sama dengan orang zaman sekarang. Orang dulu dia kuasai keseluruhan kemahiran buat kasut. Dari aktiviti cari kulit dan semua bahan lain yang diperlukan untuk jadikan kasut sehinggalah ke tahap pembentukkan kasut sampai siap, dia akan selesaikan.
Manusia moden sekarang dah berbeza. Hampir semua proses pembuatan sudah dipecah-pecahkan kepada seribu satu macam proses yang lebih kecil. Dalam teknik mengeluarkan kasut, kulit orang lain, benang orang lain, paku orang lain, acuan atau mold orang lain, gam orang lain, tapak orang lain, jahit orang lain, dan begitulah seterusnya.
Semua itu dilakukan supaya kuantiti dapat ditingkatkan dalam masa yang singkat. Pembuat kasut dulu-dulu habis masa berbulan untuk sediakan hanya sepasang kasut. Kilang buat kasut sekarang dalam sehari saja, dapat keluarkan dalam jumlah yang jauh lebih banyak dari pembuat kasut dulu mampu buat sepanjang hayatnya.
Yang membezakan buatan orang dulu adalah dia buat kasut yang boleh diguna oleh 2 atau 3 generasi. Kasut sekarang hanya boleh pakai 2 atau 3 tahun saja. Kualiti orang dahulu tidak mementingkan kuantiti. Orang sekarang kuantiti itu sendiri adalah kualiti.
Untuk membolehkan semua proses kemahiran dipecahkan kemudian dapat digabungkan di mana saja, maka ada banyak kemahiran asas yang perlu dikuasai secara standard oleh semua orang zaman sekarang. Contohnya kemahiran membaca, menulis dan mengira. Sistem kiraan, sistem ukuran dan semuanya sudah dijadikan satu standard.
Itu merupakan teknik manusia moden dalam pengurusan kehidupan yang mementingkan pengeluaran. Hampir semua kemahiran yang ada sekarang boleh dikatakan dikawal selia secara sistematik agar sama seantero dunia.
Jika anda belajar jadi jurutera mekanik di Russia, anda boleh gunakan semua kemahiran yang dipelajari itu di mana-mana saya negara lain di dunia ini. Itu gambaran betapa setiap kemahiran yang ada sudah jadi sekata di mana-mana.
Saya beritahu semua itu bukan nak suruh lawan keadaan yang ada, tapi untuk beri panduan supaya jangan cuba lawan arus, cuba buat sistem atau proses sendiri yang tak boleh masuk bergabung dengan sistem yang dah terbentuk secara global sekarang ini. Jangan buang masa sebab hidup ni pendek saja.
Antara bakat dan kemahiran
Bakat adalah kecenderungan tertentu yang memang dah ada dalam diri seseorang. Ia adalah anugerah dan memang tak boleh nak pilih.
Ia bermula dari genetik yang anda dapat dari ibu dan ayah. Kemudian bagaimana kedudukan sosial ibu ayah anda, bagaimana mereka besarkan anda,di mana anda di sekolahkan, dengan kejiranan mana anda di besarkan dan begitulah seterusnya sehingga anda membentuk identiti sendiri dari semua perjalanan itu.
Dari penjelasan itu saja anda dapat lihat bahawa semua yang anda serap masuk adalah anugerah. Anda mungkin cenderung untuk seni, mungkin cenderung dari segi berhujah dan berpidato, atau cenderung dengan aktiviti lasak dan sebagainya. Itu semua bakat.
Tapi bakat saja masih tak cukup untuk cemerlang dalam kehidupan anda seterusnya. Bakat itu perlu dipupuk sampai jadi mahir.
Boleh kah bentuk kemahiran satu perkara yang anda tak ada bakat?
Boleh saja tapi anda akan tetap kalah berbanding mereka yang membina kemahiran berdasarkan bakat semula jadi yang dia ada.
Jika anda bijak, elok bina kemahiran terhadap sesuatu perkara yang anda memang dah ada bakat. Jadi kenali apa bakat atau kecenderungan yang anda dah bentuk sejak kecil dulu adalah perkara yang amat penting untuk berjaya.
Bakat saja tak cukup
Kajian menunjukkan dalam 95% kes, bakat dalam sesuatu bidang tidak menjamin manjadikan anda seorang yang pakar.
Untuk bina bakat yang dah ada sampai ke tahap jadi pakar anda perlu lakukan perkara berikut di bawah.
- Berlatih selama 10,000 jam !. Latihan yang melibatkan kualiti dan juga kuantiti penting. Tidak cukup sekadar menghadirkan diri sahaja. Anda perlukan lebih daripada itu.
- Latihan mesti macam betul-betul. Jika mahu jadi pakar Tomoi, setakat tumbuk dan tendang batang kelapa saja tak cukup. Anda perlu pergi lebih jauh sehingga masuk dalam gelangang dan berhadapan dengan pesaing.
- Jangan jadi pasif. Anda mesti aktif bergiat serta melibatkan diri.
- Berlatih berulang-ulang saja tak cukup. Anda mesti mencabar diri anda lebih jauh dalam menguasai segala kemahiran.
- Jangan lupakan latihan secara solo. Berlatih sendirian amat perlu walaupun bidang tersebut memerlukan pasukan.
- Berlatih dengan banyak. 8 Minggu diperlukan untuk anda menguasai asas. Tapi untuk menjadi pakar anda mungkin memerlukan 10 tahun.
- Cuba cari faktor perangsang. Ia membuatkan anda berlatih tanpa paksaan. Kelancaran berlatih membuatkan faktor berjaya lebih dari 80%
- Ada lagi faktor tambahan: yang anda perlukan:
- Sabar, sabar, dan sabar. Kesabaran dan kecekalan saja yang mampu membuatkan anda menghabiskan 10,000 jam masa berlatih.
- Cari mentor yang hebat. Mentor hebat bukan yang hanya memuji dan menggalakkan anda. Dia mesti seorang yang tegas dan tidak memberikan anda muka.
- Fokus pada perkara negatif!. Ia mungkin bertentangan dengan teori biasa yang menggalakkan kita melihat perkara positif, itu hanya layak untuk menguasai perkara asas. Untuk menjadi pakar anda perlu fokus komen negatif yang mampu mencabar anda perbaiki kelemahan. Fokus komen negatif adalah ciri-ciri yang membezakan pakar dengan yang lain.
- Tumpu pada pembaikan yang berpanjangan. Jangan menunjuk pada orang lain, ia tidak memberikan sebarang faedah.
- Dahagakan kritikan yang cepat dan segera perbaiki.
- Yakin diri sendiri yang segalanya adalah berbaloi. Itu saja yang mampu mengembirakan anda.