Panduan untuk pastikan apa yang anda sasarkan di tahun 2024 ini tercapai dengan mudah


Ini hari ke-2 untuk tahun baru 2024. Seperti biasa, setiap masuk tahun yang baru, ia dimulai dengan meletakkan sasaran yang hendak dicapai dalam tahun tersebut.

Saya yakin anda juga tentu punya sasaran yang nak dicapai setiap kali masuk tahun baru. Syaratnya, sasaran tahun sebelum ini sudah berjaya dicapai. Ada kawan saya setiap tahun dia akan beritahu sasarannya sama seperti tahun sebelum ini, iaitu nak cuba dapatkan sasaran tahun sebelum itu yang masih kelaut.

Dia dah bosan asyik buat sasaran yang tak pernah dilaksanakan. Ramai yang hadapi masalah sama dan akhirnya tak ambil peduli lagi dengan sasaran. Dari pengalaman yang lepas, sekalipun tak ada apa-apa sasaran, habis juga satu tahun penuh dengan kesibukan.

Tentang sasaran

Bagi saya, sasaran perlu ada untuk pastikan ada satu tanggung jawab yang perlu dilaksanakan demi mencapai sasaran tersebut. Samada sasaran tercapai atau tidak bukan matlamat paling utama, tapi kesan terhadap adanya sasaran itu yang dipentingkan.

Adanya sasaran bermakna ada destinasi yang mahu dituju. Jika anda berjalan kaki, ada 360 darjah halatuju yang boleh anda pilih. Setiap darjah bakal membawa anda bergerak ke arah yang berbeza. Samada anda pilih secara sedar atau tidak, sebaik saja anda mula bergerak, itu tandanya anda sedang menuju ke satu destinasi.

Ada orang dia main bergerak saja, sampai ke mana pun dia terima. Boleh juga macam tu. Tiada paksaan untuk memilih mana-mana destinasi. Asalkan sekali dah bergerak, jangan asyik ubah arah. Takut akhirnya sampai balik ke tempat asal tadi.

Apa yang paling penting, hidup hanya akan bergerak ke depan dan tidak disia-siakan seandainya anda ada tanggung jawab yang perlu dilaksanakan. Macam saya sebut di atas tadi, sasaran adalah untuk adakan satu tanggung jawab yang dipikul.

Sekalipun anda tidak meletakkan apa-apa sasaran, sebaik saja anda menjadi seorang insan yang dewasa, anda sudah pasti ada tanggung jawab dalam hidup. Sebab itu tahun demi tahun tetap berjalan dengan kesibukan samada anda suka atau tidak. Tanggung jawab yang dipegang itulah yang menggerakkan anda selama ini.

Tanggung jawab yang perlu dilakukan bergantung kepada siapa diri anda. Secara umumnya boleh dikategorikan seperti berikut.

  1. Diri sendiri
  2. Anak
  3. Adik/abang
  4. Suami/isteri
  5. Ayah/Ibu
  6. Jiran
  7. Warganegara
  8. Bangsa
  9. Agama
  10. Majikan/pekerja
  11. Ketua/pengikut
  12. Dll seumpamanya.

Anda tahu siapa anda. Setiap orang tahu kedudukannya berdasarkan senarai yang saya berikan di atas tadi. Jika anda benar-benar fokus kepada melaksanakan setiap peranan yang dimainkan di atas sebaik mungkin, anda sudah memilih satu jalan yang paling selamat dan berjaya dalam hidup.

Kenali diri

Diri sendiri saya masukkan sebagai peranan nombor satu di atas tadi sebab ia menentukan sudah senang perjalanan hidup anda.

Orang tua-tua dan terutamanya mereka yang minat bab kesufian sering sebut bab kenali diri ni. Saya tak pasti apa yang mereka maksudkan sebenarnya dengan saranan itu. Kemungkinan besar mereka sendiri tak tahu sebab hanya ulang sebut apa yang tok guru mereka sebutkan selama ini.

Bagi saya kenali diri bermaksud tahu apa kelebihan dan kelemahan yang anda ada. Itu yang Tuhan sebut dalam Surah Al-Baqarah ayat 3. "Apa yang Tuhan kurniakan pada kamu, pergunakan".  

Perkataan Arab, rezeki dalam bahasa Melayu adalah rezeki juga. Dan para bijaksana menghuraikan bab rezeki dengan mengekalkan perkataan itu panjang lebar sampai akhirnya ia jadi susah nak faham dan masuk ke dunia mistik. Sedangkan ada perkataan yang mudah difahami dalam bahasa Melayu itu sendiri.

Rezeki itu adalah apa yang Tuhan berikan pada kamu. Dalam terjemahan Quran ke Bahasa Inggeris lebih jelas maknanya. Mereka sebut provision. Dalam Bahasa Melayu, Peruntukan. Itulah maknanya.

Cuba lihat diri anda apa yang Tuhan berikan. DNA dari ayah dan mak membentuk bakat dan kecenderungan dalam diri anda itu. Di mana ayah dan ibu besarkan anda, dalam rumah, kampung, masyarakat, sekolah, negara dan sebagainya membentuk kemahiran dan kekuatan serta kelemahan yang ada pada diri bila anda dewasa.

Pergunakan kekuatan tersebut untuk hidup, bantu orang, tunaikan tanggung jawab berdasarkan kedudukan anda dalam senarai di atas tadi. Dalam jurusan di mana anda lemah, jangan ambil peranan itu. Berikan peranan itu kepada mereka yang Tuhan berikan kelebihan padanya.

Contohnya, jika anda tak reti dan tak suka melukis, tak payahlah ambil peranan jadi pelukis. Mudah kan begitu!.

Dengan berbuat demikian, anda sudah mengamalkan apa yang Al-Quran sebut di atas tadi dalam Surah Al-Baqarah ayat 3. Pergunakan apa yang Tuhan kurniakan kepada anda.

Rancangan tindakan anda

Jika anda faham apa yang saya cuba sampaikan di atas, jelas sekali sasaran itu sudah ada sebenarnya. Yang diperlukan sekarang adalah rancangan tindakan atau dalam BI disebut Action Plan.

Hampir semua sasaran tak pernah dicapai selama ini adalah disebabkan tidak ada rancangan tindakan. 

Saya berikan contoh seorang ibu yang buat sasaran tahun baru untuk jadi seorang mak yang lebih baik. Samada ia jadi sasaran atau bukan sasaran, jadi ibu yang baik adalah tanggung jawab setiap ibu. Sebab itu saya sebut sasaran sebenarnya dah ada. Cuma tak buat saja.

Kenapa anda akan gagal setiap kali buat sasaran nak jadi seorang ibu yang lebih baik?

Sebab memang tak ada langsung action plan. Macam mana nak buat?

Sebaliknya jika anda buat sasaran tahun baru untuk pastikan masa diluangkan bersama anak-anak selama setengah jam berbual mereka setiap hari dengan memberikan tumpuan maksimum tanpa ada telefon pintar, ia sudah tentu dapat dilaksanakan malam ini juga.

Pelan tindakan itu dengan mudah dapat dipantau, diperbaiki dan dinilai keberkesanannya dan sedar-sedar, akhir tahun hubungan anda dengan anak-anak lebih baik dan anda lebih disayangi dan hidup anda jadi lebih bermakna.

Oleh itu, berikan tumpuan kepada rancangan tindakan.Tak kisah sekecil manapun ia, pastikan anda laksanakan secara konsisten. Tergelincir perbaiki sehinggalah ia meresap menjadi tabiat diri. Insyaallah anda akan berubah dan berjaya.

Simpan matlamat diam-diam

Adakah anda ceritakan apa yang mahu dicapai dalam hidup pada orang lain?

Atau pendamkan saja untuk diri sendiri sambil terus berusaha mencapainya?

Jika mahu berusaha terus menerus sehingga tercapai matlamat besar anda, langkah terbaik adalah dengan pendamkan saja untuk diri sendiri. Ini bagi memastikan anda terus berusaha dengan gigih sehingga tercapai sasaran.

Ini berdasarkan kajian yang dinyatakan di dalam buku bertajuk “The Little Book of Talent: 52 Tips for Improving Your Skills”.

Kajian dilakukan terhadap sekumpulan 163 orang yang dipecahkan kepada 2 kumpulan untuk melaksanakan perojek besar. Salah satu kumpulan diminta menceritakan matlamat mereka manakala satu kumpulan lagi disuruh merahsikannya. Mereka diberikan masa 45 minit untuk menghabiskan projek itu.

Keputusannya adalah:

  • Kumpulan yang menceritakan matlamat masing-masing berakhir dengan meninggalkan projek tersebut kurang daripada 30 minit.
  • Kumpulan yang merahsikan matlamat masing-masing menghabiskan masa 45 minit yang diberikan dan bersemangat untuk meneruskan kerja lagi walaupun masa dah habis.

Rumusannya adalah mereka yang berkongsi matlamat dengan menceritakan pada orang lain secara tidak sedar merasakan puas hati dengan pencapaian mereka walaupun belum berakhir. Otak bertindak seolah-olah anda telahpun mencapai matlamat walaupun kerja belum habis.

Jadi lepas ini, rahsiakan matlamat besar anda dalam hati dan jangan ceritakan pada orang lain. Berusaha dengan gigih sehingga tercapai. Ia adalah satu strategi yang terbaik untuk memastikan matlamat tercapai!

Post a Comment

Previous Post Next Post