Saya ada tulis dalam artikel yang lalu, langkah awal yang saya buat untuk jadi usahawan adalah dengan berhenti kerja. Kalau perlu ulang sekali lagi, mungkin saya akan fikir semula. Dan saya tak ada niat mahu petuakan pada anda yang masih makan gaji untuk buat perkara sama kalau ada niat mahu jadi usahawan.
Bukan mudah mahu letak jawatan untuk terjun berniaga sepenuh masa. Tambah pulak jika anda punya jawatan yang stabil dengan gaji lumayan. Tak ada orang yang normal, yang campakkan surat berhenti kerja dapat lakukannya tanpa dihantui perasaan takut. Beribu-ribu mimpi ngeri yang boleh dibayangkan akan berlaku selepas berhenti kerja nanti.
Jika anda juga pernah berhadapan dengan masalah tersebut,saya faham. Kebiasaannya majoriti yang ada semangat nak jadi usahawan kekal terus makan gaji sampai pencen disebabkan wujudnya perasaan “takut”.
Hadapi rasa takut
Bagi anda yang memang dah nekad, setelah buat solat istiqarah dan dah habis bincang dengan semua orang yang boleh dipercayai, memang nak letak jawatan untuk jadi usahawan sepenuh masa, tapi masih dihantui masalah takut, saya boleh kongsikan sedikit maklumat di bawah ni.
Bagaimana berhadapan dengan masalah takut.
Saya dah temui ramai orang yang berpengalaman dalam melakukan perkara-perkara menakutkan seperti terjun dari helikopter dengan payung terjun, buat bungee jumping, buat terjunan gaya bebas dari tempat tinggi ke dalam air dan sebagainya. Mereka juga ada perasaan takut sama macam semua orang.
Tapi mereka juga tahu bahawa perasaan takut itu hanyalah sementara saja. Ia kekal ada selagi anda tak teruskan buat perkara yang menakutkan itu.
“Takut sebelum melakukannya”
Hanya satu saja cara untuk berhadapan dengan perasaan takut tersebut.
“Terus lakukan juga walaupun takut”
Contohnya jika anda mahu lakukan bungee jumping, sudah tentu berdebar-debar risau dan seribu satu macam takut lagi sebelum lakukan terjunan. Tetapi sebaik saja anda melakukan terjunan, perasaan takut terus lenyap.
Selepas dan loncat terjun, anda hanya memikirkan cara untuk selamatkan diri saja. Otak akan fokus kepada melakukan apa yang telah diajar ketika latihan sebelum terjun tadi supaya anda selamat.
Semua orang yang gagahi jiwa buat juga sesuatu urusan sekalipun takut, tentu ada pengalaman yang sama. Tentu anda sedar bahawa perasaan takut akan berterusan ada dan tak akan lenyap selagi anda tidak memulakannya.
Takut cakap depan orang ramai
Anda boleh cuba lalui pengalaman sama dengan cuba bangun untuk bercakap di depan orang ramai selepas ini. Mungkin di masjid atau surau atau di majlis keramaian atau mesyuarat.
Bangun bercakap depan khalayak ramai adalah salah satu dari perkara yang paling ditakuti oleh manusia di muka bumi ini. Jika anda takut, ertinya itu perkara biasa.
Lepas ni, cuba buat gila bangun dan bercakap sekalipun anda gemuruh dan menggigil. Biarlah nak jadi apapun, anda bangun dan gagahi bercakap juga. Anda akan dapat lalui pengalaman di mana rasa takut mula hilang sebaik saja anda mula bercakap dan terus bercakap sehingga tenang.
Takut berhenti kerja
Sama juga bagi anda yang nak berniaga dan perlu berhenti kerja. Untuk hilangkan takut tersebut, hanya ada satu cara.
Terus lakukan saja. Campakkan surat berhenti kerja. Selepas itu terus mula berniaga. Dengan berbuat demikian, anda hanya secara automatik mula berfikir bagaimana nak selamatkan diri dengan perniagaan tersebut.
Berita baiknya terjun berniaga dengan berhenti kerja, berbanding terjun pakai payung terjun dari helikopter adalah, terjun dari helikopter jauh lebih bahaya. Kesilapan bakal membawa maut.
Tetapi terjun ke dunia perniagaan, kesilapan boleh dijadikan pelajaran untuk ubah pendekatan. Dan paling penting, anda tidak akan mati kerana kesilapan itu walaupun banyak kali silap.