Mengeteh atau mengopi untuk bina jaringan adalah aktiviti wajib kalau nak jadi usahawan


Saya pernah tinggal di Perancis selama lebih kurang 5 tahun. Banyak pengalaman menarik saya dapat sepanjang berada di sana. Dapat belajar bahasa dan cakap perancis, dari bahasa dapat faham budaya orang Perancis. 

Dapat juga merasa bagaimana suasana persekitaran yang indah dengan 4 musim berbeza setiap tahun yang tidak sama dengan negara kita. Dari suasana alam semula jadi persekitaran di sana, anda boleh lihat betapa ia berkait rapat dengan amalan dan cara hidup mereka.

Cuaca di Malaysia membuatkan anda boleh nikmati minuman teh tarik di kedai mamak sepanjang tahun tanpa masalah. Mungkin berbeza sikit susahnya bila masuk musim hujan. Itu pun bukanlah satu masalah yang besar pun. Kedai mamak tetap penuh sepanjang tahun.

Konsep meja makan di ruang terbuka, di luar kedai makan adalah perkara biasa di Malaysia. Anda boleh lihat tiap petang menjelang, mamak mula susun meja di luar depan kedainya.

Tapi, amalan begitu tak dapat dilakukan sepanjang tahun di Perancis. Kedai minum dan makan santai yang lebih kurang macam kedai mamak, tapi unik dalam bentuk perancis, di panggil Brasserie di sana. 

Kalau nak minum di restoran berkonsep meja makan di kawasan terbuka, anda boleh ke Brasserie. Tapi musim sejuk tak akan ada Brasserie yang susun meja di luar kedai. Takkan ada orang nak duduk makan dan minum tengah kesejukan pada tahap air beku. Kalau nak rasa sedikit santai macam kat Malaysia, kena tunggu musim panas.

Ketika di Perancis, perkara paling saya rindu tentang Malaysia adalah sesi makan atau minum di kedai atau gerai terbuka kawan-kawan. Makan laksa waktu tengahari di kedai laksa, minum petang dengan roti jala di kedai makan dalam kampung, lepak di kedai kopi selepas solat isya di Masjid dan seumpamanya. Suasana sebegitu tak ada di negara Perancis.

Teh tarik & usahawan

Saya lihat di Perancis, kebanyakkan Orang yang melepak di Brasserie ialah orang tua. Mereka lepak menikmati suasana santai di musim panas. Ia lebih kepada aktiviti sosial. Bagi saya pula, brasserie jadi kedai singgahan untuk sarapan pagi jika saya mengembara. Jika musim sejuk, ia jadi singgahan sebentar untuk panaskan badan. 

Ketika di Perancis dulu, saya masih mentah dan tak terlintas pasal nak berniaga sedikitpun. Minda ketika itu masih minda subsidi dan makan gaji. Jadi saya tak berapa perhatikan macam mana para usahawan di sana jalankan aktiviti networking mereka.

Kalau dilihat dalam filem, nampak seperti ada juga sesi lepak minum dan bincang bab bisnes di kedai-kedai seperti brasserie yang saya nyatakan di atas tadi. Tapi dalam filem setiap perbincangan bisnes dipamerkan sebagai tegang dan serius. Entah betul entah tidak saya tak tahu.

Di Malaysia pula, saya dapati di kalangan kawan-kawan usahawan, mereka berbincang tentang bisnes atau projek semasa aktiviti lepak minum teh tarik. Boleh dikatakan dalam setiap pekan akan ada satu pot lepak kedai makan yang biasanya usahawan berkumpul. 

Satu lagi pusat lepak bincang usahawan adalah di lobi hotel. Tapi bukan bagi saya dan bukan juga kebanyakkan usahawan yang saya kenal. Tak ramai yang jadikan hotel sebagai pusat networking mereka. Yang buat begitu biasanya usahawan peringkat nasional, global, pelobi, kroni ahli politik atau scammer.

Saya hanya berniaga kecil-kecilan tanpa berharap sangat projek juta-juta. Maka sesi teh tarik di gerai kampung atau kedai makan tepi jalan saja yang jadi pilihan utama. Kosnya rendah dan tak perlu pakai lawa-lawa sembur minyak wangi.

Masa mula-mula belajar niaga dengan mendekati golongan usahawan dulu, saya menjadi hairan dan takjub dengan gaya hidup mereka. Minum teh tarik sebanyak 8 kali sehari adalah perkara biasa. Kejap saja boleh kena kencing manis kalau berterusan macam tu.

Ada seorang mentor di awal mula berniaga dulu yang sering saya ikut hampir setiap hari ke mana saja dia ajak untuk pergi jumpa orang. Satu hari habis begitu saja dengan pantas setiap kali dia bawa saya jumpa usahawan lain. Kami meronda dari satu tempat ke satu tempat, singgah dari satu kedai ke satu kedai minum sampai malam.

Boleh kembung perut dengan aktiviti minum teh tarik tam henti-henti. Biasanya saya terpaksa minum air suam saja untuk legakan perut yang tak biasa minum teh tarik banyak sampai macam itu. Sepanjang mengikuti kawan-kawan usahawan otai dulu, ini yang saya perhatikan.

  1. Jadi pemurah - Jangan kemut belanja kawan-kawan yang anda mahu dapatkan maklumat atau apa-apa saja faedah dan bantuan tertentu. Makan dan minum di kedai kampung kosnya sangat rendah berbanding di hotel.
  2. Kaki lepak kedai - Ada orang yang tak suka pada kaki lepak kedai ni terutamanya para isteri. Biar saja sebab mereka tak faham apa yang berlaku di luar sana. Kalau ada orang yang sanggup layan pegawai kerajaan atau orang berkepentingan untuk faedah berniaga dengan belanjakan wanita dan arak di pusat hiburan, kenapa anda perlu rasa bersalah sekadar belanja teh tarik pada kawan-kawan yang mendatangkan berfaedah. Bukan buat maksiat pun minum teh tarik dan bersosial.
  3. Jangan minum seorang diri - Jangan minum teh tarik seorang diri kecuali anda mahu membaca atau berfikir sesuatu. Usahawan yang minum seorang diri sepanjang pengalaman saya jadi usahawan sudah pasti sedang serabut dilanda masalah berat. Kalau jumpa pergi temaninya dan jadi pendengar yang baik.
  4. Berhenti walaupun tak kenyang - Kalau makan atau minum dengan kawan-kawan jangan belasah sampai kenyang. Simpan sikit untuk perjumpaan selepas itu yang mana anda terpaksa makan dan minum lagi.
  5. Sesi teh tarik adalah kerja - Tugas paling penting usahawan perlu buat adalah cari orang yang boleh bagi duit, cari orang yang boleh bawa duit dan cari orang yang pandai buat duit. Semua itu anda boleh jumpa dalam sesi minum teh tarik. Biasanya waktu minum teh tarik seorang usahawan bermula daripada pukul 8 pagi dan mungkin berakhir pada pukul 3 pagi. Cuba kira berapa lama anda bekerja sehari?

Semua itu saya belajar ketika bergaul dengan kawan-kawan usahawan di Pulau Pinang. Bila saya berhijrah ke Lembah Klang untuk cuba perniagaan baru, saya buat sedikit perubahan sikap yang saya fikir lebih sesuai dengan gaya hidup yang saya mahu. Tujuannya adalah untuk pastikan agar kehidupan saya lebih seimbang sebagai seorang usahawan. Saya kongsikan apa yang saya buat bila di bawah.

1. Hadkan masa sesi teh tarik

Ini perkara yang paling utama sekali yang saya ubah. Melayan kawan-kawan atau pelanggan untuk minum teh tarik sehingga lewat malam bukanlah amalan yang patut anda biasakan sehingga jadi tabiat.

Jika dalam seminggu hanya sekali dua berjaga minum sampai lewat malam, mungkin masih boleh diterima. Tapi jika setiap hari begitu, anda sebenarnya merosakkan keseimbangan kehidupan diri sendiri dan keluarga.

Saya tetapkan untuk menghadkan masa minum teh tarik bersama kawan-kawan hanya sebelum pukul 10 malam sahaja. Selepas daripada itu saya perlu berada di rumah. Tetapi sekali dua dalam tempoh sebulan apa salahnya bertemu dan minum sehingga lewat malam.

2. Modal sikit risiko rendah

Ada orang yang rasa dia dapat simpan duit dan jadi kaya jika berhenti mengeteh atau mengopi dengan kawan-kawan. Ada juga yang rasa itu perkara mengarut sebab tak ada orang jadi kaya dengan berjimat hanya 4 atau 5 ringgit sehari bila menjauhi aktiviti minum teh tarik.

Kalau anda makan gaji, sikap macam tu boleh diambil pakai. Jimat seboleh mungkin dalam bab makan dan minum dan jangan buang masa bersosial selain dari jadi hamba kepad amajikan anda. Insyaallah anda akan senang bila pencen nanti.

Tapi kalau berniaga, tumpuan perlu diberikan kepada menjana dan menambah pendapatan untuk menjadi kaya. Keluarkan modal sedikit sebagai pelaburan untuk berusaha jana pendapatan. Biasakan diri minum dan belanja orang setiap kali keluar dengan mereka yang ada potensi untuk bantu anda satu masa nanti.

Ambil pendekatan mudah dan murah dengan sesi teh tarik saja. Tak payah ke kedai berkonsep seperti setarbak dan seumpamanya.

3. Merancang minum teh tarik

Macam yang saya katakan tadi, kalau nak minum teh tarik pastikan anda berteman. Jika tak ada orang yang nak teman tahanlah diri anda dari pergi. Ajak samada kawan atau pelanggan untuk belanja teh tarik. Banyak faedah yang anda dapat, dengan minum bersama. 

Anda boleh kongsikan pandangan dan rapatkan silaturahim untuk jalinkan perniagaan yang telus. dan permudahkan semua urusan perniagaan anda. Ini juga banyak memberikan faedah dari segi disiplin dan etika kehidupan untuk berjaya. 

Jangan pandang remeh dengan sesi teh tarik. Ia melibatkan perancangan dan disiplin diri. Anda perlu berikan komitmen untuk tepati janji. Komitmen untuk sampai tepat pada masanya. Komitmen untuk tidak berjanji kalau tak mampu dipenuhi dan lain-lain lagi seumpamanya. Ia mampu membina disiplin yang lebih besar untuk berjaya dalam hidup.

Nota: Sebelum kerajaan kuat kuasakan undang-undang larangan merokok di restoran atau mana-mana kedai makan, saya memang kerap atur sesi perjumpaan teh tarik dengan kawan-kawan. Tapi sekarang sangat jarang buat begitu sebab sesi melepak dengan kawan-kawan yang merokok jadi serabut jika mereka merokok di restoran. Orang pandang semacam dan saya sangat tak selesa. Bagi kawan-kawan perokok, saya biasanya jemput ke pejabat dan sediakan jajan dan minuman untuk mereka sambil berborak. Yang pastinya, sesi mengopi tetap dijalankan walaupun bukan di kedai minum.

3 Comments

  1. Assalamulaikum Tuan...Apa Alasan Tuan untuk Berniaga? & Dalam satu artikel Tuan..Buat Bisnes yg jarang d Lakukan oleh org Melayu ( Mungkin Ada )...Apa Alasan nya Tuan...Sekadar ingin Tau je...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Alasannya berubah-ubah. Pada awalnya lebih kepada mengambil peluang keluar dari dunia makan gaji bila ada kesempatan buat begitu sebab potensi kejayaan berniaga adalah tiada had berbanding makan gaji. Kemudian bila dah terjebak berniaga, lalui liku-liku kesukaran hidup, berniaga terpaksa diteruskan juga sampai berjaya untuk cari makan tunaikan tanggung jawab pada keluarga dalam masa yang sama mencari kepuasan diri

      Delete
    2. Untuk soalan kedua pula lebih kepada strategi pemasaran dan persaingan

      Delete
Previous Post Next Post