Dari kecil anda diajar bahawa menipu itu tak baik. Ibu bapa selalu ingatkan pada anak-anaknya agar jangan sesekali menipu. Namun begitu, sering berlaku di mana orang yang beri nasihat agar elakkan diri dari menipu, dia sendiri tak tak terlepas dari bercakap bohong.
Semenjak kecil, anda sendiri sedar bahawa amat sukar untuk mengelak dari menipu terutamanya bila mahu lepaskan diri dari sesuatu keadaan yang tak diingini. Sebagai insan biasa, boleh dikatakan hampir semua orang menipu.
Soalan selanjutnya adalah ..
Dalam sehari, berapa kali secara purata anda menipu?
Ada banyak kajian dilakukan berkenaan jumlah seseorang menipu dalam masa sehari. Ada yang rumuskan, sikit dan ada yang kata banyak.
Kajian secara umum mendapati, orang kebiasaan akan menipu sebanyak 4 kali sehari. Bersamaan dengan 1,460 kali dalam tempoh setahun.
Itu satu jumlah yang besar. Sekalipun anda mungkin seorang insan luar biasa yang langsung tidak pernah menipu, anda masih tak dapat lepaskan diri dari kena tipu ketika berurusan dengan manusia lain.
Pengalaman kena tipu
Ada beberapa peristiwa malang yang saya masih ingat kena tipu sepanjang jadi usahawan. Samada penipu itu memang ada pasang niat dari awal nak tipu atau keadaan membuatkan dia terpaksa menipu, saya tak dapat nak pastikan.
Di tipu abang sepupu
Setelah beberapa ahun berniaga, ada duit sikit, saya mula terdedah kepada penipuan. Ini kali pertama saya kena tipu dalam perniagaan.
Saya berikan modal kepada abang sepupu yang dapat peluang bekalkan barang di sebuah majlis perbandaran. Persetujuannya mudah saja, saya berikan modal untuk dia dapatkan barang dan kemudian bekalkan kepada pihak majlis tersebut. Bila dapat bayaran, kami bahagikan keuntungan sama banyak.
Projek itu berjalan lancar 3 ke 4 kali. Dapatlah saya merasa keuntungan tambahan dengan berikan modal. Ia menarik minat untuk saya terus berikan duit modal kepadanya. Makin lama makin besar. Dan akhirnya, dia belasah semua modal sekali dengan keuntungan.
Semua untung yang saya buat sebelum itu hangus dimakan begitu saja sekali gus. Malah jatuh rugi secara keseluruhannya. Saya terus hentikan projek tersebut dan tuntut agar dia bayar balik duit yang dikebas. Rasa marah terpendam di dada, Tuhan saja yang tahu.
Akhirnya saya akur untuk halalkan saja dan tak tuntut lagi duit itu apabila dapat tahu dia memang dah banyak kali kebas duit orang lain juga. Memang dah jadi amalannya begitu. Bila saya tanya ke mana pergi semua duit itu, dia beritahu habis berhibur bersama pegawai yang berikan dia peluang berniaga itu.
Abang sepupu saya itu dah meninggal kena kanser. Saya anggap pengalaman itu adalah satu kebodohan dan kelemahan saya sendiri dalam berurusan tentang duit dan perniagaan.
Ditipu kawan rapat
Ini satu lagi kes kena tipu. Kali ini kawan rapat yang dipercayai tawarkan sebidang tanah yang menarik untuk saya beli.
Kali ini modalnya jauh lebih besar sebab saya dah agak lama berniaga dan mampu ada duit simpanan yang boleh digunakan untuk cari peluang menarik. Peluang melabur dengan beli tanah dilokasi yang strategik adalah satu cara untuk membina kekayaan yang biasa di amalkan.
Lagipun tanah itu terletak di tempat asal saya di utara sana. Tanpa fikir panjang saya bagi duit tanda jadi lebih dari RM40 ribu pada kawan itu. Dia seorang lawyer, jadi saya serahkan semua urusan jual beli tanah itu padanya.
Setahun berlalu, kemudian 2 tahun dan saya mula rasa ada yang tak kena. Akhirnya saya dapat tahu dia ambil duit yang saya beri itu selesaikan masalah pecah amanah yang dia lakukan di projek tanah yang lain. Dia cuba berikan S&P sebagai lakonan untuk kelabukan mata saya saja.
Tuhan saja yang tahu betapa kecewa, sedih dan marah bila fikirkan kawan baik yang saya tak pernah berkira makan dan minum, saya amat percaya padanya dan tak terlintas di fikiran yang dia akan sanggup menipu saya begitu.
Kawan lawyer saya itu juga sebenarnya ada hutang keliling pinggang dan saya memang tahu perkara itu, tapi masih tetap leka. Saya akur bahawa semua itu salah saya sendiri. Bodoh tak semak untuk buat kepastian akibat terlalu percaya.
Kena tipu peluang berniaga
Satu lagi kes saya kena tipu dengan bekas kenalan kerja kilang satu ketika dulu. Dia buat bisnes transportation hantar barang. Masa tu bisnes beli dan jual barang online baru nak bermula. Jadi peluang untuk set-up satu syarikat transportation nampak sangat menarik untuk diceburi.
Ada orang yang memang dok buat kerja yang sama, ada pengalaman dan sanggup uruskan bisnes tersebut pulak, apa lagi saya keluarkan duit modal untuk dia mulakan.
Selepas ambil duit, dia terus hilang tak muncul-muncul lagi.
Selepas itu baru saya semak dengan kawan lain dan dapati dia memang bermasalah. Banak dah duit orang dia tipu.
Sekali lagi kebodohan saya tersembul dengan amat ketara sekali. Bodoh sebab percaya dan tidak betul-betul semak sejarahnya terlebih dahulu dalam berurusan dengan duit. Salah saya juga.
Bila kita rasa kena tipu, darah akan mendidih rasa marah pada yang menipu. Jika si penipu itu lemah, tindakan kita biasanya akan menjadi agak brutal. Tentu kita akan tenyeh si penipu tu sampai rasa puas hati dan minta dikembalikan hak yang kita rasa telah ditipu.
Orang ada duit mudah kena tipu
Saya belajar satu perkara dalam bab kena tipu ni. Masa tak ada duit, memang jarang kena tipu. Tapi bila dah ada duit, memang mudah kena tipu.
Ia ada kaitan rapat dengan penipu yang sudah cekap menghidu antara orang yang ada duit dengan yang tak ada duit. Penipu ni bila dah kerap berlatih menipu, maka dia mula membina kemahiran tersebut dalam kenal pasti mangsa yang sesuai dan mulakan perangkap.
Bagi orang yang ada duit pula, dia mudah ditipu sebab percaya duit lebih mudah dijana dengan menggunakan modal duit. Dia dah lupa yang selama ini dia buat duit hasil dari tak ada duit dan bukannya sebab ada duit.
Sikap tamak juga memainkan peranan besar dalam bab kena tipu ni. Orang yang baru dapat buat duit masih mentah dalam urusan berhati-hati kenal pasti mana kaca mana intan. Jadi penipu biasa sangat pantas merebut peluang ini. Sebelum orang itu pandai, dia kenakan dulu.
Kena tipu berulang
Saya pasti anda juga tentu pernah alami lebih kurang pengalaman yang saya seperti yang saya ceritakan di atas. Perkara sama sering berulang-ulang dalam kehidupan saya sendiri sebelum nak jadi pandai mengelak dari kena tipu. Cuma skrip, watak dan aksinya sahaja yang berbeza.
Perasaan marah kena tipu membuatkan saya kononnya belajar mengelakkan diri dari tertipu. Apa yang saya sering ingatkan diri adalah untuk buat 2 perkara berikut di bawah.
- Elak situasi yang sama - Perlu kenal pasti bagaimana situasi yang sama berlaku sehingga tertipu dan berusaha mengelakkan diri dari terjebak masuk dalam keadaan yang sama di lain kali.
- Elak orang atau kumpulan yang sama - Saya perlu kenal pasti ciri-ciri penipu dan elakkan diri dari berurusan niaga dengan mereka. Yang dah tipu saya sebelum ini masih tetap jadi kawan, tapi berurusan duit dnegan mereka sudah diharamkan.
Biasanya 2 perkara di atas hampir semua orang lakukan, hasil dari pengalamannya kena tipu.
Sebagai contoh, bila anda beli durian tak masak dari seorang penjual, maka setiap kali orang itu jual durian anda tak akan membelinya lagi. Malah anda beritahu pada orang lain agar jangan beli durian darinya.
Untuk kes yang lebih teruk, bila sering beli durian tak masak dari beberapa penjual durian yang berlainan, anda terus ambil sikap mengelakkan diri dari beli durian. Anda buat kesimpulan yang semua penjual durian penipu.
Percaya, tapi sila pastikan
Sekarang saya sedar bahawa punca sebenar kena tipu adalah disebabkan lalai dan malas untuk semka buat kepastian. Main percaya bulat sebab dah kenal atau sebab dah lama kawan dan sebagainya. Itu yang buatkan anda kena tipu.
Penipu hanya buat kerja dia, iaitu menipu. Anda sepatutnya perlu buat kerja anda juga, iaitu semak dan pastikan terlebih dahulu sebelum percaya.
Percaya lah dengan siapa saja, samada dia pernah tipu atau tak pernah tipu anda, tapi pastikan anda semak dan buat kepastian terlebih dahulu terhadap semua perkara. Dengan buat begitu, barulah anda selamat.
Tertipu sebab tak tahu
Ada juga kes di mana anda sebenarnya kena tipu sebab pada masa itu anda tak tahu, tak ada ilmu terhadap urusan tersebut. Anda lihat orang yang anda berurusan itu pula nampak macam lebih tahu sedangkan dia sebenarnya sedang ambil kesempatan terhadap kebodohan anda itu.
Untuk elakkan diri dari kena tipu, pastikan anda buat kerja dan uruskan perkara yang anda ada ilmu tentangnya saja. Jangan percaya janji manis akan peluang buat duit dari perkara yang anda tak ada ilmu.
Tapi kalau nak belajar perkara baru, perlu bersedia untuk kena tipu sebab orang jahat memang ada ramai kat luar tu yang sangat rajin mencari mangsanya.
Anda juga perlu ada sikap tidak letakkan kesalahan pada orang lain. Cari kesalahan diri dan betulkannya. Ini tidak dapat dilakukan jika anda sering rasa kena tipu. Mengaku saja bodoh dan belajar.
Gagal bisnes sebab ditipu
Saya ada ramai juga kawan-kawan yang gagal dalam perniagaan dengan alasan mereka kena tipu.
Ada yang dakwa dia kena tipu dengan rakan kongsi. Ada yang kata kena tipu dengan pelanggan sendiri. Ada pula yang dakwa ditipu oleh pekerja sendiri.
Kawan-kawan begitu akan tetap gagal sebab mereka tak pernah mengaku semua itu berlaku disebabkan kebodohan diri sendiri. Mereka ditipu oleh orang yang lebih pandai dari mereka.
Tidak mengaku kebodohan sendiri merupakan ciri-ciri orang gagal nombor satu. Setiap kali tidak berjaya, anda cari kambing hitam yang mahu dipersalahkan. Sampai bilapun tidak ada kemajuan diri sendiri jika terus dengan sikap begitu.
Berubahlah sikap untuk cari salah sendiri.
- Buat refleksi dan gelak pada diri sendiri dengan kebodohan anda. Sepatutnya anda kagum dengan orang yang berjaya ambil kesempatan atas kelemahan anda itu. Tak perlu nak marah, sepatutnya berterima kasihlah padanya yang menunjukkan perkara yang anda sebelum ini tak tahu.
- Berusaha baiki dan mencari maklumat untuk memantapkan ilmu tentang perkara yang sama. Ini membina pertahanan yang baru jika terserempak sekali lagi dalam situasi begitu.
- Jangan serik melakukan kerja yang sama yang anda pernah tertipu sebelum ini. Sebaliknya anda lakukan dengan lebih yakin.
- Jangan serik berkawan atau menerima pelanggan yang sama atau berkongsi dengan rakan yang sama sebab mereka bukannya tipu, sebaliknya anda sendiri yang bodoh dan mereka cuba jauh lebih pandai itu saja. Belajar lah.
Amalkan falsafah ..
Apabila berlaku sesuatu tidak sebagaimana yang anda harapkan, orang pertama perlu disalahkan adalah diri anda sendiri.