Jangan berhenti kerja makan gaji untuk berniaga dengan harapan mahu jadi kaya


Ada satu filem tamil yang saya tonton mengisahkan seorang lelaki miskin tinggal di sebuah kampung pedalaman. Majoriti penduduk di kampung itu memang sangat susah dan hidup mereka semua  bergantung kepada kerja-kerja ladang sebagai sumber pendapatan bagi meneruskan kehidupan.

Berbeza dari yang lain yang pasrah terhadap kesukaran hidup mereka, lelaki itu bercita-cita murni ingin keluar dari belenggu kemiskinan keluarganya. Dia seorang yang sangat rajin bekerja, sangat baik, jujur dan disenangi oleh semua orang kampung termasuk lah majikan tempat dia bekerja sebagai tukang angkut barang.

Dia gigih simpan duit untuk beli sebidang tanah untuk usahakan perladangannya sendiri. Untuk pastikan dia dapat semua itu, sanggup dia tidak mahu kahwin selagi tak dapat apa yang dia impikan. Tapi setelah dipujuk, dia kahwin juga dengan sepupunya, dan isterinya telah membantunya cepatkan lagi usaha membeli tanah.

Setelah dia berjaya membeli tanah, dia mula usahakan tanaman. Kali pertama alami kerugian, kemudian cuba kali kedua dengan berhutang pembelian biji benih. Tapi masih gagal. 

Sudah jatuh ditimpa tangga pula, apabila dia berhadapan dengan tuduhan jenayah, dimasukkan dalam penjara, anak dan isterinya bergantung hidup dengan hutang dan akhirnya bila dia keluar setelah 5 tahun meringkuk di penjara, semua tanah yang dia ada tergadai bayar hutang, itu pun masih tak selesai hutang yang dia ada. 

Di akhir cerita, lelaki itu bekerja sebagai seorang jaga. Dia kekal miskin serta susah sampai ketua.

Lebih kurang 2 jam saya tunggu dan tunggu cerita itu sampai habis. Dengan harapan mahu melihat pengakhiran bahagia seperti mana semua cerita kejayaan usahawan yang sering saya lihat di mana-mana. Tapi malangnya cerita itu tiada happy ending.

Itu membuatkan saya terfikir bahawa filem itu mengisahkan dunia nyata. Hakikatnya, itu adalah perkara yang paling banyak dan kerap berlaku di dunia sebenar di luar sana. Cuma tiada wartawan atau penulis yang mahu kongsikan cerita gagal sampai ke sudah begitu.

Tak ada pakar motivasi nak cerita bagaimana dalam 100 orang yang terjun jadi usahawan, lebih separuh hilang selepas 5 tahun. Kalau tunggu lagi sampai 10 tahun, 70% dari mereka hilang tiada cerita.

Kaki motivasi hanya cerita sebahagian kecil dari mereka yang berjaya itu. Cerita dari 'zero ke hero' sangat disukai oleh orang ramai. Tiada siapa nak dengar kisah dari zero kekal zero sampai ke mati.

Berapa kali anda jumpa cerita dalam akhbar, majalah, blog, portal maklumat, media sosial dan lain-lain seumpamanya yang menceritakan tentang kisah usahawan yang gagal dari mula berniaga sampai ke liang lahad. Mereka mati membawa seribu satu impian kejayaan terpendam bersama ke dalam kubur dan mungkin hutang tak terbayar juga turut sama tertanam.

Usahawan dan kejayaan

Apa yang saya dipaparkan dalam filem tamil di atas adalah perkara biasa yang sering terjadi dalam dunia keusahawanan. Jumlah yang berjaya tak ramai berbanding mereka yang gagal.

Tapi media serta orang ramai lebih suka kepada cerita kejayaan berbanding fakta statistik antara jumlah yang berjaya dengan yang gagal. Para guru motivasi, sifu jutawan dan seumpamanya juga lebih suka tonjolkan cerita berbanding data statistik. Dalam 10 orang, hanya 2 anak didik mereka yang berjaya dan diletakkan pada bangku depan sebagai testimoni. Manakala yang 8 orang lagi tak ada siapa ambil peduli. 

Tapi bukan salah media atau selainnya. Memang majoriti masyarakat buta statistik dalam melihat kebenaran. Lagipun, disebabkan kejayaan itu benda rare lah juga yang membuatkan ia punya daya tarikan istimewa. Seumpama kelkatu yang berlumba menuju ke cahaya hanya untuk membuatkan diri mereka terbakar.

Jika kejayaan itu perkara mudah, sudah tentu ia jadi tidak berharga lagi.

Berniaga sebab nak buat duit

Jika anda anda sudah berniaga, lebih menarik lagi jika anda belum lagi berniaga tapi nak mula berniaga, apa agaknya tujuan anda berniaga?

Adakah sebab nak buat duit atau anda memang terserempak dengan peluang perniagaan yang berpotensi tinggi lalu merebutnya?

Jika tujuan berniaga sebab nak buat duit, ada 2 keadaan seperti di bawah.

  1. Tiada pekerjaan - Anda tak ada peluang kerja makan gaji walaupun setelah mencuba. Kalau adapun, tawaran bayarannya sangat rendah dan tidak berbaloi. Maka anda tiada pilihan selain dari jalankan perniagaan. Biar sukar, kerja macam keldai, tapi dapat duit yang mencukupi berbanding makan gaji.
  2. Ada kerja stabil dan gaji cukup - Walaupun gaji anda mencukupi, anda mahu lebih banyak dari itu dan tak sanggup tunggu naik pangkat atau tak rela sabar dengan kenaikan gaji yang perlahan. Anda rasa kalau berniaga, akan dapat duit lebih banyak dan lebih cepat kaya.

Bagi mereka yang duduk dalam kategori pertama, tiada masalah. Memang dah betul apa yang anda buat tu. Terus berusaha dengan gigih. Peluang untuk anda berjaya secara sederhana adalah berkadar terus dengan keupayaan anda untuk kerja keras dan meningkat bijak seiring dengan jumlah masa yang dilalui melayari dunia perniagaan.

Untuk anda yang dalam kategori pertama juga, sila abaikan rasa cemburu dengan mereka yang kaya raya dalam perniagaan dan kelihatan macam tak kerja sangat pun. Biarkan mereka dan anda terus berusaha gigih tanpa perlu nak ikut cara hidup dan cara mereka berniaga. Insyaallah anda akan selamat dan hidup mencukupi.

Jika anda dalam kategori ke-2, fikir sejenak sebelum nak berhenti kerja. Dari segi potensi, adalah lebih tinggi untuk anda jadi kaya dengan makan gaji berbanding berhenti kerja dan berniaga. Saya lebih cenderung untuk cadangkan agar anda teruskan makan gaji dalam keadaan kerjaya yang stabil itu.

Dengan gaji yang mencukupi, anda hanya perlu belajar bagaimana menguruskan duit dan membuat pelaburan untuk menjana pendapatan pasif. Dalam masa yang sama bina kerjaya dan tingkatkan kemahiran dalam kerjaya anda itu supaya lebih bernilai. Sabar, kayuh pelan-pelan insyaallah anda akan kaya juga.

Melainkan anda dihidangkan peluang perniagaan, dengan produk yang betul, pada masa yang betul, dengan harga yang betul dan punya permintaan yang tinggi dan kebetulan memang anda tahu dan berkecimpung dalam bidang tersebut, maka sila berhenti kerja dan berniaga. Insyaallah anda akan kaya. Atau lebih tepat lagi, memang anda ditakdirkan untuk kaya.

Dah terjebak berniaga

Bagi anda yang dah terjebak berniaga dan tak boleh nak patah balik makan gaji, jangan risau. Anda masih tetap ada peluang untuk berjaya.

Apa yang anda perlu ada adalah keupayaan untuk kenal pasti mana usaha yang membuahkan hasil dan mana satu yang sia-sia tidak berkesan.

Yang membuahkan hasil tu, sila ulang dan gandakan usaha tersebut. Manakala yang sia-sia tak berhasil itu, hentikan. Jangan buang masa.

Anda perlu ada sikap sanggup menghapuskan benda yang anda sayang seandainya ia tidak membuahkan apa-apa hasil. 

Contohnya jika anda ada satu produk A yang anda sendiri sangat suka, banyak dah usaha dilakukan untuk menghasilkan produk tersebut sehingga anda jatuh cinta dan sayang padanya, sekalipun produk itu haram tak laku.

Dalam masa yang sama, anda ada satu lagi produk B yang anda tak berapa suka, tapi memang laku keras, itu yang menghasilkan pendapatan dan menyara hidup anda selama ini termasuk menampung kerugian produk A di atas tadi yang anda sayang tu.

Dalam keadaan tersebut, anda wajib ada kesanggupan untuk bunuh saja produk A dan beri tumpuan serta gandakan usaha pada produk B. Selagi anda tak bina kemahiran tersebut, anda berpotensi untuk jatuh tersungkur.

Tapi kalau anda hanya ada produk A saja, itu lain ceritanya. Cari lagi jalan dan perhatikan macam mana nak bagi laku dan ada permintaan. Yang mana berkesan teruskan dan gandakan, manakala yang tak berkesan, hentikan segera.

4 Comments

  1. Statistik 93% takde rumah sampai mati. Betui ke tuan?
    Masalah rumah ni dari dlu lagi

    ReplyDelete
    Replies
    1. Berdasarkan kajian Khazanah Research, kadar pemilikan rumah rakyat Malaysia adalah 72.5%

      Delete
  2. Kisah from zero to zero banyak berlaku dalam kehidupan kita dari dulu lagi...tiada sapa peduli mereka kerana hal yang biasa-biasa saja biarpun mereka berusaha all out dah

    ReplyDelete
Previous Post Next Post