Panduan pemasaran cara kampung yang mudah untuk dibuat pada perniagaan anda


Bagi anda yang sudah lama jalankan perniagaan tapi rasa jumlah jualan masih tidak meningkat atau paling tak best masih tak mencukupi untuk perniagaan berada dalam keadaan selesa dari seg kewangan, apa yang anda lakukan untuk selesaikan masalah itu?

Bagi yang ada modal dan rajin, anda akan ikuti kursus tingkatkan sales, atau kursus buat copywriting, atau kursus motivasi keusahawanan dan berbagai kursus lagi yang ada banyak di luar sana sekarang.

Basgi yang dah buntu, ada kenal bomoh hebat, mungkin akan pergi jumpa bomoh untuk buat penawar pada kedai dan perniagaan anda tu. Mungkin ada jin sedang tutup atau ada orang yang dengki supaya perniagaan anda tak naik.

Survey pemasaran

Sebelum anda buat apa-apa keputusan, saya sarankan anda cuba perkara mudah ini terlebih dahulu. Buat bancian pemasaran tentang syarikat anda itu sekarang.

Katakan anda berniaga buka Kedai Kopi di Gerik, Perak. Sasaran pelanggan anda sudah tentu orang Gerik dan persekitaran yang sama waktu dengannya. Anda juga sasarkan para pengembara atau pelancong dalam negara yang sering lalu atau pergi ke Gerik sebagai sasaran pelanggan tambahan.

Tapi pelanggan sebenar anda yang mampu jadikan perniagaan Kedai Kopi itu sustainable sudah tentu adalah orang Gerik dan persekitaran. Anda perlu jadikan mereka pelanggan yang setia. Jadi perlu mulakan surver dari situ terlebih dahulu.

Langkah pertama:

Cuba buat secara rawak untuk dapatkan seramai mungkin responden secara bersemuka untuk anda tanya padanya samada dia tahu dan kenal Kedai Kopi anda. Jika dia tahu, tanya pula apa yang dia tahu tentang kedai kopi itu dan apa yang dia boleh dapat jika pergi minum kopi kat situ.

Anda hanya perlu buat bancian itu dalam lingkungan 20 kilometer persekitaran sahaja. Buat skit-sikit sehingga dapat lebih dari 100 responden secara rawak sebegitu. Itu langkah pertama.

Langkah kedua:

Anda perlu buat anggaran jumlah penduduk di Gerik dan persekitarannya yang menjadi pelanggan sasaran anda. Berapa ramai jumlah mereka yang berpotensi untuk jadi pelanggan anda yang tinggal di situ. 

Analisa Data

Setelah berjaya dapatkan semua maklumat di atas, anda dah boleh mulakan buat analisa dan rumusan pemasaran yang anda dah buat selama ini.

Katakan anda dah tanya seramai 100 orang dan hanya 10 orang sahaja dari mereka yang tahu dan kenal Kedai Kopi anda. Dalam 10 orang itu pula, hanya seorang saja yang pernah hadir minum dan suka serta tahu apa yang dia boleh dapat dari Kedai Kopi itu. Baki 9 orang lagi  punya persepsi salah terhadap apa yang Kedai Kopi anda tawarkan.

Rumusan dari data di atas, anda telah gagal teruk dalam aktiviti pemasaran. Patut lah perniagaan Kedai Kopi anda selama ini suam-suam kuku saja, hidup segan mati tak mahu.

Katakan jumlah penduduk Gerik dan persekitaran di sana ada seramai 58 ribu orang. Anda boleh rumuskan hanya lebih kurang 5,800 orang saja yang tahu pasal Kedai Kopi tersebut, dan dalam 58 ribu orang itu, hanya 580 saja yang jelas apa Kedai Kopi anda tawarkan.

Nampak tak bagaimana bancian mudah itu dapat membantu anda untuk merangka semula bagaimana aktiviti pemasaran anda dapat dilakukan dengan lebih berkesan.

Apa itu pemasaran

Pemasaran adalah tentang beritahu kepada pelanggan sasaran tentang kewujudan perniagaan anda dan apa nilai terbaik yang perniagaan itu tawarkan.

Perkataan penting di situ adalah 'beritahu'.

Bila dah tahu, baru ada kemungkinan mereka datang. Kalau tak tahu, hampir mustahil untuk mereka datang. Dan malang sekali, dalam mana-mana perniagaan yang suam-suam kuku di luar sana, jumlah pelanggan sasaran yang tak tahu kewujudannya adalah sangat besar dan tiada usaha untuk selesaikan masalah itu. 

Mahu tak mahu jika anda jalankan perniagaan, perlu tengok aktiviti pemasaran ini. 

Bagi yang dah tahu kepentingan pemasaran, sudah tentu dia idamkan satu aktiviti atau strategi pemasaran yang cukup hebat. Ia diperlukan bagi memajukan syarikat perniagaannya. 

Apa yang peniaga mahukan daripada aktiviti pemasaran adalah:

  1. Pasar - Maklumat tentang perniagaan dan apa yang anda tawarkan diketahui oleh semua prospek pembeli seluas dan seramai yang mungkin.
  2. Jual - Persembahan produk yang anda pamerkan dan tawarkan membuatkan mereka segera datang untuk membeli dan menggunakannya.

Aktiviti pemasaran yang dapat merealisasikan kedua-dua matlamat di atas dengan kos yang menjimatkan bolehlah dianggap sebagai aktiviti pemasaran yang hebat.

Zaman teknologi canggih seperti sekarang ini terutamanya dengan kewujudan internet membolehkan aktiviti pemasaran dilakukan dengan mudah dan murah. Dan anda perlu ingat kesan dari aktviti pemasaran hebat adalah serampang 2 mata.

Pemasaran yang berkesan dapat majukan perniagaan anda dengan pantas, ia juga dapat membunuh perniagaan anda dengan pantas.

Bayangkan jika anda ada satu produk yang teruk. Apabila digabungkan dengan aktiviti pemasaran yang super hebat, maka makin cepat ramai orang tahu betapa mengarutnya produk anda itu.

Bila makin ramai datang mencuba sebab pemasaran anda cekap, makin ramai orang tahu dengan pantas dan meluas yang produk anda teruk dan tidak boleh diterima. Pelanggan itu juga yang menyebarkan maklumat dengan lebih pantas dan akhirnya ia bakal membunuh perniagaan anda dengan pantas.

Jangan syok sendiri

Pastikan produk itu selain dari anda sendiri suka, pelanggan juga suka. Anda tak boleh paksa pelanggan suka apa yang anda suka. Jadi jangan syok sendiri.

Bila berniaga, menyediakan produk atau perkhidmatan yang memenuhi kehendak minimum pelanggan adalah sesuatu yang mesti dilaksanakan tanpa ada kompromi. Anda tiada pilihan jika mahu perniagaan berjaya ketahap yang boleh dibanggakan.

Fahami apa yang anda tawarkan dan pada siapa anda buat tawaran merupakan perkara asas dalam sesuatu perniagaan. Jangan main serbu kepada sesiapa sahaja untuk melakukan tawaran, silap haribulan perniagaan akan mati lebih cepat daripada yang anda sangkakan.

Namun begitu, perniagaan gagal dan bungkus dengan pantas adalah jauh lebih bagus daripada perniagaan mati segan hidup tak mahu dan ada dalam keadaan itu dalam tempoh yang lama.

Jika gagal, boleh sedar cepat, buat perubahan dan cuba yang baru. Tapi kalau terus meleret tak kesudahan dan dah lama kemudian baru sedar, mungkin segalanya sudah terlewat. Masa terbuang, kos melayang hangus dan berbagai lagi malapetaka.

Post a Comment

Previous Post Next Post