Ada satu video tentang masa yang saya tonton dalam media sosial yang kata-katanya melekat dalam kepala. Dalam video itu, masa digambarkan sebagai satu perkara yang perlu ada supaya dunia ada pergerakan, ada dimensi dan seumpamanya, seperti mana yang anda rasa selama ini.
Apa yang dapat dirumuskan dari penerangan itu adalah seperti berikut.
“Masa diperlukan supaya segala perkara yang ada di alam ini tidak berlaku sekali gus”
Kata-kata itu dikaitkan dengan saintis terkenal Albert Einstein. Kalau masa tiada, segala kejadian akan berlaku serentak. Zas!
Memang agak sukar untuk dibayangkan bagaimana diri anda sejak dilahirkan sehinggalah menemui kematian nanti berlaku secara serentak dalam satu masa, TUP! Tetapi itulah yang dilalui oleh satu unsur yang bernama Photon. Ia bergerak dengan kelajuan cahaya.
Oleh sebab kelajuan cahaya adalah malar, maka dia tidak terikat pada masa. Ertinya, di mata photon, jika dia satu makhluk yang sedar, semua kejadian bermula dari wujudnya alam raya ini sehinggalah sekarang yang dah berbillion tahun, berlaku dalam masa yang sama.
Anda dan saya bukan photon dan kita tak bergerak dengan kelajuan cahaya, maka sudah tentu masa sentiasa wujud dalam lingkungan kehidupan selama ini. Ayuh kembali ke alam manusia biasa semula.
Masa adalah relatif
Satu perkara yang saya rasa sebaik saja melepasi zaman remaja, semakin umur meningkat semakin banyak yang perlu dilakukan. Tambahan pula selepas dah mendirikan rumah tangga dan kemudiannya dikurniakan anak yang perlu dibesarkan, masa dirasakan berjalan sangat pantas. Kadangkala anda rasa masa macam tak cukup. Sedangkan dari dulu masa tetap sama, 24 jam juga sehari.
Perasaan masa tak cukup akan bertambah lagi dirasai jika anda punya cita-cita yang tinggi. Lebih-lebih lagi pada anda yang sedang berusaha membina sebuah perniagaan. Anda ada visi besar terhadap syarikat yang manu dibina itu.
Jika anda tak berniaga, sama juga. Orang makan gaji, terutamanya yang tinggi komitmen terhadap tugasan, masa bergerak dengan laju juga. Setiap tugasan terpaksa dilaksanakan mengikut masa yang ditentukan oleh majikan atau boss. Anda akan sering alami rasa kecewa sebab asyik tak cukup masa, semuanya urgent, datang bertimpa-timpa.
Yang peliknya, dalam keadaan tenggelam rasa masa tak cukup itu, anda (saya pun sama juga) sering leka melayari media sosial yang menghiburkan. Tiktok, IG, FB, WhatsApp, Twitter atau X dan seumpamanya. Ada saja benda menarik yang membuatkan anda melekat tak sedar sampai berjam-jam.
Akhirnya timbul perasaan menyesal sebab sia-siakan masa. Tapi tak lama selepas itu perkara yang sama diulang buat dan masa sekali lagi terbuang.
Bagaimana nak pastikan anda rasa masa lebih panjang supaya apa yang dikejar dapat dilaksanakan?
Panjangkan masa
Sebenarnya anda dapat jadikan masa lebih panjang dan bermakna dalam hidup. Sekalipun semua orang ada masa yang sama iaitu 24 jam sehari, setiap orang akan lalui tempoh masa yang tidak sama di dalam minda sedar nya.
Ia bergantung kepada aktiviti yang anda buat bagi mengisi masa tersebut.
Secara umum ada 2 cara untuk anda isikan masa. Satu masa yang anda luangkan untuk buat aktiviti bagi faedah diri anda sendiri. Layari media sosial, layan TV, lepak atas sofa tertidur dan sebagainya terang-terang untuk diri sendiri yang bertemakan keseronokan dan hiburan. Pergi memancing atau layan hobi juga adalah contoh masa yang anda luangkan untuk diri sendiri.
Kedua adalah masa yang anda luangkan untuk aktiviti bagi faedah orang lain. Tolong isteri masak, tolong anak buat Math, tolong orang tua lintas jalan. Ziarah orang tua di kampung, sertai gotong royong memasak kenduri kahwin di rumah kawan dan sebagainya masuk dalam kategori masa diluangkan untuk faedah orang lain.
Berdasarkan kajian, cara luangkan masa kedua itu dapat panjangkan masa anda. Memang pelik juga sebab masa jadi panjang bila anda luangkannya untuk faedah orang lain dan bukan untuk diri anda sendiri.
Malah jika anda asyik luangkan masa untuk diri sendiri, masa akan jadi makin pendek.
Salah satu punca masa jadi panjang apabila diluangkan untuk orang lain adalah anda akan rasa tidak tergesa-gesa kelam kabut berkhidmat secara sukarela membantu orang lain. Ada kaitan dengan kepuasan dan makna hidup yang berlaku dalam kepala anda.
Tempoh lama mana anda luangkan masa tidak memberi kesan. Ertinya jika anda bantu orang dan luang masa 5 minit tetap sama saja jika anda bantu orang dengan luangkan masa 30 minit. Kesannya sama, anda rasa masa lebih panjang, janji bantu orang.
Jadi tak perlu luangkan masa yang lama asyik bantu orang. Asalkan sentiasa ada sekejap, sudah memadai dan mencukupi. Jika habis semua masa tolong orang lain sampai abaikan tanggung jawab juga tak bagus.
Antara aktiviti yang boleh dilakukan dengan mudah untuk merasa puas dengan penggunaan masa adalah seperti:
- Luangkan masa mengajar anak menulis atau lain-lain
- Sertai AJK Masjid atau Surau mengimarahkan Rumah Allah
- Ajak kawan keluar untuk belanja makan atau minum
- Bantu kawan yang perlukan idea baru untuk berniaga
- Bantu isteri masak atau buat lain-lain kerja rumah
- Hantar jiran atau kawan yang menghadapi masalah kenderaan
- Buat kerja kebajikan secara sukarela dengan mana-mana pertubuhan
Banyak lagi aktiviti yang boleh dilakukan. Yang pentingnya aktiviti tersebut membantu orang lain. Perasaan puas dan masa dirasakan bertambah setiap kali anda meluangkan sedikit masa membantu manusia lain berbanding jika bersendirian melayari internet dan sebagainya seorang diri.
Baca kajiannya di sini
ada logik juga...cara nak dapat masa panjang dengan tidur lewat dan bangun awal...memang tidak praktikal tapi itu cara untuk dapat feel panjang masa hehehe
ReplyDeleteTidur lewat bangun awal, bangun lesu ..
Delete