Hampir semua orang berikan nasihat, jangan fikir perkara negatif jika ingin berjaya. Jika anda seorang usahawan, perlu sentiasa fikir tentang kejayaan. Sebaiknya, lupakan terus tentang kegagalan.
Jika anda jawab, 'cakap memang senang! ..', saya sokong jawapan spontan sebegitu. Memang betul, hakikatnya bukan semudah itu nak kawal pemikiran.
Sebagai seorang yang normal, setiap orang yang ambil risiko berhenti kerja untuk memulakan perniagaan sudah tentu tak dapat mengelak dari terlintasnya fikiran tentang kemungkinan berlakunya kegagalan.
Semua usahawan sentiasa ada perasaan risau, takut tak mampu mendapatkan hasil sebagaimana yang diharapkan. Lebih risau lagi, takut tak dapat bawa balik rezeki untuk semua tanggungan yang ada di rumah, termasuklah ibubapa, anak dan isteri.
Ketakutan bila berhenti kerja
Pengalaman saya sendiri secara jujurnya, mengaku memang sentiasa ada perasaan takut ketika mula-mula berniaga satu ketika dahulu. Kerja dah tak ada. Duit simpanan juga tiada. Saya juga bukan dari keluarga yang berada. Dulu ada juga majikan, tapi bila dah letak jawatan, tiada sesiapa lagi yang boleh diharapkan untuk berikan duit selain dari usaha diri sendiri untuk mendapatkannya.
Antara proses yang paling penting dan paling kerap berlaku ketika mula berniaga dulu adalah usaha untuk menghilangkan perasaan takut tersebut. Apa yang saya buat setiap kali timbul perasaan takut antaranya adalah seperti berikut.
- Sibukkan diri - Saya cuba melupakannya kerisauan dengan menyibukkan diri buat apa yang patut. Carilah apa saja kerja, selesaikan apa saja perkara tertangguh samada menyentuh perkara perniagaan atau peribadi, tak kisah asalkan sibuk.
- Jumpa kawan - Kalau buat-buat sibuk pun masih tak boleh juga lupa, saya akan cari kawan buat teman bersembang. Biar kawan saja yang cakap tak henti dan saya hanya mendengar sahaja, sudah memadai untuk melupakan kerisauan. Tambah lagi jika kawan asyik mengadu kesukaran dan cabaran hidup yang dia sedang hadapi. Rasa lega bila tahu ada orang lagi risau daripada diri saya sendiri.
- Cari Tuhan - Kalau kawan tak ada yang free untuk layan, saya akan segera ke Masjid. Masa mula berniaga, mudah nak tunaikan solat duha sebab itulah, risau bertali arus. Masa pagi sebegitu masjid terasa sangat dingin, damai dan perasaan terasa sangat syahdu dan Tuhan dirasakan ada bersama, mintalah pertolongan padaNya.
- Berbahas dengan diri sendiri - Cari jawapan kenapa aku tidak perlu risau‘. Duduk seorang diri dalam bilik, dalam taman, di kedai yang tenang, sediakan buku nota dan pen dan buat senarai jawapan yang dapat memberikan keyakinan pada diri sendiri. Lagi banyak lagi bagus dan biasanya sudah pasti ada saja jawapannya.
Apa yang saya sebut di atas itu adalah usaha paling kerap dan berulang kali saya lakukan bertahun-tahun tanpa pernah jemu. Apa yang penting adalah buat sesuatu. Buatlah apa saja asalkan ada usaha. Lama-lama anda akan jumpa mana yang berkesan, teruskanlah ia, dan mana yang tidak, hentikan atau ubah.
Pengalaman ditimpa panik
Ini pengalaman saya masa mula berniaga dulu. Mungkin dapat dijadikan inspirasi pada kawan-kawan yang berniaga di luar sana, terutamanya yang sedang dilanda kerisauan.
Ada sekali tu saya rasa sangat risau dan naik panik. Berhari-hari saya habiskan masa cuba macam-macam, tapi semua usaha nampak macam tak ada hasil.
Kerja dah tiada, kerja buat pemasaran dan jualan cari pelanggan nampaknya tidak semudah seperti yang dibayangkan selama ini dan paling tepat, tidak seperti yang para sifu sembang kencang di media sosial sana.
Masa di rasakan berjalan terlalu pantas dan mula terlintas dalam hati “betulkah apa yang aku buat ni?”. Maksudnya betulkah keputusan aku berhenti kerja dan berniaga!
Bermacam-macam perasaan mula menerjah masuk dalam hati. Saya memandu tanpa tujuan sambil dalam kepala ligat berfikir. Bila waktu Magrib dah hampir, saya singgah Masjid Seksyen 19 di Shah alam untuk solat.
Macam biasa selepas selesai solat saya berdoa panjang. Kemudian perlahan-lahan bangun dan berjalan keluar menuju ke tempat kasut. Saya lihat ada kuliah magrib di masjid itu, ikutkan hati rasa ingin nak tunggu, tapi tak dapat sebab ada kerja sikit lepas magrib.
Maka saya sengaja perlahankan pergerakan agar dapat mendengar sedikit apa yang diucapkan daripada mukadimah kuliah.
Sayup-sayup saya terdengar hadith ini di sebut oleh penceramah.
Dari Umar Al-Khattab, beliau mendengar Nabi bersabda ” Apabila kamu suka bertawakkal pada Allah dengan sungguh-sungguh tawakkal, percayalah! Allah akan berikan kamu rezki sebagaimana Allah berikan rezki pada burung-burung. Pagi-pagi perut burung-burung itu kosong, petang-petang mereka pulang dengan perut kenyang “. Direkodkan oleh Tarmizi
Keseluruhan isi kandung hadis yang disebut oleh penceramah itu seolah-olah sedang ditujukan pada diri saya seorang yang sedang berada di luar masjid seorang diri sedang memakai kasut.
Otak ligat menghadam apa yang disebut itu. Sedangkan burung yang tidak dikurniakan akal setiap pagi keluar dan pulang petangnya dengan perut kenyang, malah masih ada untuk keluarganya juga di dalam sarang, kenapa aku yang ada akal ini perlu risau?.
Keyakinan menyusup masuk laju ke dalam hati.
Semangat timbul semula dalam diri dan kekuatan menjalar ke seluruh urat darah saya pada waktu magrib itu. Hilang segala kerisauan dan timbul keyakinan bahawa tugas saya hanyalah berusaha sebaik mungkin serahkan pergantungan hanya kepadaNya sebab Allah itu sebaik-baik tempat bergantung. Bertawakkal lah, nescaya ada rezki untuk saya bila tiba masanya.
Jadi, cadangan saya, jika timbul kerisauan dalam hati tu, cuba pergi ke taman dan dongak lihat burung-burung yang sedang mencari makan. Mereka tidak risau malah bersiul-siul dengan girang. Mereka tidak ada akal macam anda, tapi tetap ada rezeki, kenapa anda yang berakal perlu risau.