Anda seorang yang normal, jika punya keinginan terhadap segala perkara yang baik, elok, bagus dan seumpamanya. Dalam apa saja urusan yang anda lakukan sejak kecil sehinggalah dewasa, menjadi yang terbaik sentiasa ada tersimpan kemas jauh di sudut hati.
Walaupun secara zahir, mulut anda mungkin menafikannya. Tapi anda sendiri sedar ia adalah sesuatu yang anda inginkan dan sekali sekala cuba berangan-angan meletakkan diri dalam keadaan terbaik.
Berikut antara antara angan-angan yang berkemungkinan pernah bermain di dalam kepala anda selama ini.
1. Tubuh badan
Bagi lelaki, anda idamkan punya badan yang tegap dan sasa bersama perut 6 petak, lengan besar dengan otot yang sasa. Ada juga yang bayangkan memiliki tubuh badan yang tinggi dan segak.
Kebiasannya, bila dah meningkat remaja, lelaki terutamanya sangat obses kepada keadaan tubuh badan mereka, nak kelihatan gagah. Perempuan pula nak kelihatan ramping dan menawan. Tubuh badan rujukan adalah seperti para model yang sering dipamerkan dalam iklan kecantikan.
Rupa paras
Setiap kali tengok muka kat cermin tu, anda akan mula kritik mana yang tak kena, mana yang tak elok dan kat sudut mana yang elok berdasarkan pandangan anda dari pantulan cermin tersebut. Sudut itu akan anda cuba ketengahkan setiap kali ambil gambar atau ketika berada di khalayak ramai.
Adakalanya, bila berselisih wanita cantik yang langsung tak pandang kelibat kehadiran anda di situ, terasa ler juga. Walaupun anda dah kempiskan perut selandai mungkin, naikkan dada dan undurkan bahu ke belakang agar kelihatan segak tegap, tapi dia masih tak pandang. Masa tu ingin rasanya bertukar jadi Tom Cruise, mungkin dia akan perasa anda ada di situ.
Bijaksana
Anda tentu pernah bayangkan, kalau masa sekolah dulu asyik dapat keputusan tercorot saja, alangkah bahagianya mendapat kedudukan nombor satu sepanjang masa dalam peperiksaan. Kalau sambung belajar ke peringkat atas pulak tentu best jika skor 4 flat setiap semester.
Anda juga suka jika orang jadikan anda sebagai tempat rujukan pada setiap masalah mereka. Malah kalau dapat jawab teka teki yang kawan-kawan beri pun dah sangat membanggakan. Anda idamkan menjadi bijaksana dan yang paling bijak antara yang ada.
Harta benda
Setiap tahun ada keluar senarai 40 paling kaya di Malaysia. Sesekali terdetik juga dalam kepala kenapa nama aku tak masuk dalam senarai tu. Alangkah senangnya kalau dilahirkan berbinkan Sultan Johor atau seumpamanya.
Bila melintas kereta mewah ketika anda sedang memandu perlahan di jalan, anda jeling sikit nak tengok juga siapa pemandunya. Bila pergi makan kenduri dan melihat tuan rumah beri sambutan lebih pada tetamu yang datang naik kereta Merz model terbaru, sedangkan anda naik proton saja dia sambut biasa-biasa ja, terasa mahu jugak berada ditempat pemilik kereta mewah tu.
Kuasa
Sejak kecil, saya selalu berebut nak jadi hero, selalu nego dengan kawan-kawan lain ikut giliran. Kalau main watak-watak kartun, kami semua mahu jadi kesatria merah.
Satu ketika dulu ramai kanak-kanak mahu jadi Ultraman, San Goku dan lain-lain. Anda mahu jadi yang paling berkuasa. Anda kecewa bila anak isteri lawan cakap menentang arahan yang anda berikan. Kat tempat kerja pula tentu tak selesa bila rakan sekerja tak hormat.
Lihat ada orang kena buli rasa nak tolong tapi apakan daya. Bila kena tipu anda mahu bertindak ajar penipu tu tapi apakan dayang. Sedar atau tidak anda sentiasa ketagihkan kuasa.
Menjalani hidup yang baik
Sekarang lupakan terlebih dulu segala angan-angan untuk jadi hebat lebih dari orang lain. Lupakan juga rasa cemburu kepada orang yang kelihatan lebih bagus dan hebat dari apa yang anda ada. Jom beri tumpuan pada diri sendiri tanpa perlu bandingkan dengan orang lain.
Saya kongsikan cara bagaimana meringkas dan memudahkan hidup anda dan menikmati apa yang sedang di miliki, agar anda menjadi orang yang berjaya dengan cara yang tersendiri.
Anda hanya perlu fokus pada apa yang dah ada dan cipta sejarah diri anda sendiri tanpa cuba menjadi orang lain dengan mengamalkan petua mudah di bawah ini.
“Bila ada yang baik, ambil ja! Tak payah lagi nak tunggu yang terbaik”
Amalkan petua di atas dan sematkan selalu di dalam hati, insyaallah hidup anda akan menjadi ringkas dan mudah. Dengan beristiqamah mengamalkannya, lambat laun anda bakal mencipta sejarah sendiri menjadi yang terbaik tanpa perlu terkejar-kejar.
Ingat!
“Apa saja yang sedang anda miliki yang sudah berada dalam kategori baik, berikan perhatian pada kelebihan itu dan sentiasa bersyukurlah”
Dengan cara tersebut di atas, anda boleh mengawal nafsu yang tidak pernah berpuas hati dengan apa yang ada. Tak ada orang yang berjaya dan selamat dengan terikut-ikut dorongan nafsu. Dan paling penting, anda perlu sedar bahawa adalah sangat sukar untuk berjaya jika anda tak pernah syukur dengan apa yang ada.
Anda mungkin belum puas hati dan ada keperluan untuk mendapatkan sesuatu yang lebih baik. Itu perkara biasa. Yang tak betulnya adalah mengeluh dan meracau kekurangan itu sampai nampak ketara di mata orang lain.
Yang perlu anda lakukan adalah bergerak dari kedudukan sekarang, berikan tumpuan pada segala kelebihan yang dah ada seterusnya berusaha dengan gigih dan sabar mendapatkan apa yang masih dirasakan perlu. Itu baru dinamakan sikap orang yang bersyukur. Bukan sekadar ucapan pada mulut alhamdulillah bila senang hati dan mengeluh bila diuji dan putus asa dari usaha.
Terlalu sedikit mereka yang berjaya dalam keadaan hidup tidak berpuas hati dengan apa yang dia ada. Orang sebegitu akan lalai lalu tak menggunakan semua kelebihannya sebab menunggu yang lebih sempurna baru nak mula berusaha.
Contoh mudah diamalkan
Setiap kali anda ke pasaraya membeli barang keperluan dengan menaiki kereta, boleh cuba latih diri mengamalkan prinsip di atas tadi. Ia bermula ketika anda cari parkir.
Mari buat istilah kedudukan seperti berikut:
- Yang terbaik – Parkir betul-betul di depan pintu masuk pasaraya
- Baik – Ada tempat parkir tak kira di mana saja
- Yang terburuk – Tak ada ruang parkir
Semat prinsip, ‘jika ada yang baik tak payah tunggu yang terbaik’.
Dengan falsafah tersebut anda sentiasa akan dapat ruang letak kereta dengan cepat dan pantas kerana tak perlu tunggu yang terbaik.
Sering berlaku, anda dah dapat lokasi parkir yang baik tetapi masih mahukan yang terbaik. Ia berakhir dengan membuat pusingan demi pusingan dan habis masa duit dan tenaga. Lebih parah jika kawasan parkir sesak, silap-silap tak ada terus dan terpaksa menunggu dalam kereta.
Yang terbaik dalam yang baik
Sikap tidak tangguh untuk bertindak sebaik saja bertemu yang baik membawa anda kepada 2 kelebihan. Pertamanya menjadi seorang insan yang pantas bertindak. Itu antara kriteria penting yang ada pada semua orang yang berjaya.
Keduanya ia membawa diri anda semakin hampir untuk mendapatkan yang terbaik kerana yang terbaik itu sentiasa berada di kalangan yang baik. Jika memang rezeki anda, dah pasti akan dapat yang terbaik. Tapi kalau tak dapat yang terbaik pun, sudah memadai malah sangat beruntung kerana dah ada yang baik. Buang sikap tamak yang banyak membuatkan kerosakan pada diri sendiri juga pada orang lain.
Dari pengalaman sendiri, banyak kali saya dapat parkir terbaik hanya kerana berpegang kepada prinsip untuk merebut mana saja parkir yang paling awal yang muncul dahulu tanpa tunggu cuba nasib kot kot ada lagi yang lebih baik di depan. Hidup lebih santai tanpa tekanan begitu.
Amalkan di semua urusan
Anda boleh amalkan prinsip tersebut dalam apa saja urusan yang dilakukan. Terutamanya dalam perniagaan.
Setiap peluang baik yang ada rebut terus tanpa menunggu yang terbaik. Istiqamah begitu, setapak demi setapak ia membawa anda kepada yang menjadi yang terbaik tanpa tekanan yang tak perlu.
Ramai kawan-kawan yang saya kenal bercita tinggi idamkan projek berjuta-juta malah ada yang main billion. Setakat yang saya lihat, mereka hanya membuang masa bertahun-tahun menyusahkan orang dan diri sendiri dengan sikap begitu. Umur habis begitu saja dan apa pun tak jadi.
Memang bisnes ratusan juta ringgit idaman semua orang. Berita akhbar, cerita sensasi hanya untuk orang-orang hebat seperti Steve Job, Tony Fernandez, Ananda Krishnan, Teh Hong Piow dan seumpamanya, tetapi bukan semua orang boleh dapat peluang begitu. Ia lebih mirip kepada nasib baik. Usaha keras belum tentu akan bawa anda ke situ sebab biasanya kejayaan besar bersifat rawak dan tidak berkadar terus dengan kebijaksanaan dan kerja kuat.
Kalau ada bisnes ratusan ribu setahun pun sudah cukup baik, ambil itu dahulu hargainya dan jadikan ia lebih baik dari masa ke masa dan jangan buang masa.
Begitu juga bagi yang belum berumah tangga, jangan tunggu yang tercantik, yang tersoleh, terkaya atau terpaling sesuai, serasi dan sebagainya. Takut anda akan berakhir dengan teriak saja.
Bila dah jumpa yang baik tak perlulah tunggu lagi yang terbaik.
Sila amalkan dan terapkan jadi tabiat diri. Anda sebenarnya membina sikap menjadi yang terbaik dengan cara anda tersendiri, Insyaallah.
Selamat mencuba.
Lama tak jumpa tuan. Hampir 7 tahun rasanya tak jumpa.
ReplyDeleteBetul tu .. memang lama betul !
Delete