Tak ada keperluan untuk sediakan kertas kerja rancangan perniagaan - Bisnes boleh berjaya juga


Saya ada tulis dalam satu artikel di blog ini tentang rancangan perniagaan. Bagi saya ia tidak diperlukan, malah tidak mampu berikan sebarang jaminan terhadap kejayaan sesebuah perniagaan.

Dalam erti kata lain, jika nak berniaga, tak perlu siapkan apa-apa rancangan perniagaan seperti mana yang anda belajar di pusat pengajian tinggi dulu.

Namun begitu, pendapat saya tersebut bukanlah hasil dari kajian oleh mana-mana pakar dalam disiplin perniagaan di negara kita. Ia hanyalah rumusan saya sendiri hasil dari pengalaman berada dalam dunia bisnes dan juga hasil dari pengamatan terhadap rakan-rakan usahawan lain yang saya kenal dan berjaya dalam perniagaan masing-masing.

Ada satu buku yang sangat menarik, tajuk buku itu yang buat saya terus beli, Burn Your Business Plan!: What Investors Really Want from Entrepreneurs ditulis oleh David E Gumpert, berkisar tentang perkara yang jauh lebih utama untuk anda buat berbanding buang masa sediakan rancangan perniagaan. 

Saya dah baca buku tu dan memang sama seperti apa yang saya faham selama ini tentang kedudukan rancangan perniagaan yang sebenarnya tak penting sangat untuk sesebuah perniagaan.

Boleh tekan link di tajuk buku itu dan beli jika anda berminat nak baca.

Ada satu lagi artkel menarik yang saya jumpa tentang Rancangan Perniagaan. Kali ini dari Harvard Business Review. Penulis artikel itu menolak keperluan untuk sediakan rancangan perniagaan, sebagai pra-syarat menjayakan sesebuah perniagaan.

Rumusannya, tak payah sediakan rancangan perniagaan kalau nak berniaga. Tapi perlu juga buat persediaan. Saya kongsikan di bawah apa yang anda perlu lakukan.

Persediaan sebelum berniaga

Berikut beberapa langkah penting yang perlu ada bagi memastikan perniagaan anda berjaya, tanpa perlu sediakan apa-apa kertas kerja rancangan perniagaan terlebih dahulu.

Matlamat perniagaan

Kenal pasti dengan jelas matlamat perniagaan.

Ini perkara paling penting untuk dipastikan terlebih dahulu. Apa yang anda nak capai dengan perniagaan yang nak dijalankan dan kenapa nak capai.

Anda perlu betul-betul mahu capai matlamat tersebut supaya sentiasa ada motivasi untuk bertindak menghampirinya.

Pasukan kerja

Kenal pasti keperluan terhadap sumber manusia atau kumpulan pembantu yang bakal dibentuk sebagai pasukan dalam idea perniagaan anda. Ini satu lagi perkara yang sangat penting dalam menjayakan perniagaan. Sentiasa ingat perkara ini dan ulang dalam minda, orang, orang dan orang. Siapa mereka?

Anda mungkin ada idea, tahu langkah demi langkah dan ada gambaran untuk mencapai sasaran secara umum. Tapi anda sentiasa perlukan bantuan terutamanya dari mereka yang jauh lebih tahu, lebih pandai dari anda dalam tugasan yang lebih spesifik, lebih terperinci, dalam pelaksanaan perniagaan tersebut.

Buat satu persatu

Sentiasa ingat bahawa anda perlu ada hasrat dan cita-cita yang besar, dalam masa yang sama tahu dan sanggup untuk bergerak secara kecil terlebih dahulu dan buat secara istiqamah satu demi satu, setapak demi setapak sebelum sampai ke destinasi.

Orang putih kata, "Think big, start small"

Setiap yang besar bermula dari saiz yang kecil. 

Sasaran pelanggan

Jika anda pernah lihat BMC, ada satu segmen penting yang biasanya paling awal perlu ditentukan terlebih dahulu dalam menyediakan BMC tersebut. Ia adalah segmen pelanggan.

Berikan tumpuan pada sasaran pasaran yang terperinci dari segi demografik, geography, psikografik, dan sebagainya. Lebih jelas dan terang anda gariskan, adalah lebih bagus dan lebih mudah untuk melaksanakan langkah pemasaran dan perniagaan anda.

Faham model bisnes

Untuk kuasai bagaimana perniagaan akan jana pendapatan, perlu faham keseluruhan proses perniagaan anda dan setiap elemen penting dalam perniagaan. Anda boleh hadam semua itu jika ambil masa untuk sediakan BMC anda secara lengkap.

Paling penting adalah kenal pasti siapa pelanggan sebagaimana yang saya sebut di atas tadi, kemudian anda wajib tahu apa pelanggan dapat dari perniagaan yang dijalankan. 

Selain dari pelanggan dapat apa yang semua pesaing anda mampu berikan, pelanggan juga perlu dapat sekurangnya satu nilai yang berbeza hanya dari perniagaan anda sahaja. Itu akan jadi satu sebab kenapa pelanggan sanggup untuk beralih ke bisnes anda dan sanggup mencuba buat kali pertama untuk beli produk atau perkhidmatan yang bisnes anda tawarkan.

Jual, jual dan jual

Bila dah mulakan perniagaan, tiada yang lebih penting selain dari aktiviti menjual.

Sebagai panduan, anda perlu bahagikan masa, tenaga usaha dan sumber yang ada menggunakan formula 6/3/1

60% untuk urusan pemasaran & jualan

30% untuk urusan operasi

10% untuk urusan administrasi

Fikir bagaimana nak menjana pendapatan demi pendapatan adalah lebih penting daripada sibuk nak sempurnakan semua produk atau perkhidmatan yang ada. Cari orang yang anda boleh percaya dan biar dia selesaikan bab operasi. 

Visi yang jelas di dalam kepala amat penting untuk menjayakan sesebuah perniagaan. Anda mesti dapat menerangkan hala tuju perniagaan dengan pantas dan jelas jika pekerja atau bakal pelanggan atau bakal pelabur tanya. Boleh nampak sasaran dan apa yang bakal berlaku dalam tempoh setahun, dua tahun tiga atau lima tahun lagi.

Jangan buang masa. Sentiasa cepat bertindak, terus buat untuk menjayakan visi dalam kepala secara rapi dan gigih. Mana yang berkesan terus dan gandakan usaha di situ. Mana yang tidak berhasil, ubah atau hentikan jangan buang masa pada usaha yang tak ada hasil.

Sabar dan sabar, insyallaah anda akan berjaya.

Post a Comment

Previous Post Next Post