Pergi kerja dengan menumpang motosikal seorang kawan yang kebetulan kilangnya selang beberapa buah saja dari kilang tempat saya kerja. Pakai kasut sekolah dan tak ada pakaian seragam dikenakan. Jadi saya hanya pakai seluar jeans dan baju t-shirt. Selesa dan kena dengan jiwa.
Kemudian, dapat peluang kerja di syarikat yang lebih besar, jawatan pegawai dengan gaji yang jauh lebih tinggi. Pakaian dah mula berubah. Seluar slack, kasut kulit berstokin dan baju kemeja tangan panjang. Itu pakaian orang kerja di pejabat.
Akhir sekali saya kerja di syarikat logistik antarabangsa. Buat Sales & Marketing jual produk logistik yang mereka ada pada pelanggan yang juga terdiri dari syarikat-syarikat besar dan sederhana.
Bila masuk bidang sales, saya masih berpakaian formal seperti kerja kilang sebelum itu. Cuma ada tambahan kena pakai tali leher. Itu yang dikehendaki sebagai etika berpakaian seorang salesman, dalam syarikat besar pulak tu. Masa itu saya sudah rasa tidak selesa.
Bila saya berhenti kerja makan gaji dan cari makan dengan bina syarikat perniagaan saya sendiri, saya pakai pakaian yang sesuai berdasarkan keperluan diri, sesuai dengan cuaca, sesuai dengan penampilan dan sesuai dengan keadaan tempat.
Tali leher bagi saya dalam apa keadaan sekalipun, bukanlah satu benda yang diperlukan untuk orang Malaysia. Saya anti dengan budaya pakai tali leher sejak mula berniaga sendiri.
Kawan-kawan juga sering tegur setiap kali berjumpa dengan saya pakai sandal saja. Samada dalam waktu kerja atau dalam waktu biasa, saya akan kenakan sandal sahaja. Bagi saya itu kasut yang paling sesuai untuk kerja jumpa orang di mana saja samada kedai mamak atau di lobi hotel. Pakai kasut kulit berkilat ke sana sini, jerut leher dengan tali leher di bawah panas matahari terik di Malaysia adalah amalan yang pelik bagi saya.
Sejak itu saya buat keputusan untuk tetapkan cara berpakaian ikut takrifan diri saya sendiri. Bukan sekadar nak ikut buta tuli apa yang orang lain amalkan. Saya namakan pakaian hidup ringkas
Ringkas itu lurus
Sebelum bincang tentang pakaian hidup ringkas, elok buat ulang kaji terlebih dahulu apa yang saya maksudkan dengan amalan hidup ringkas.
Saya terangkan perkataan ringkas terlebih dahulu dengan menggunakan misalan membina jalan untuk bergerak dari titik A ke titik B. Jika tiada apa-apa syarat dalam pembinaan jalan tersebut, anda boleh saja buat jalan ikut suka hati samada bengkang bengkok, berpusing-pusing atau lurus.
Tapi, jika anda dikehendaki membina jalan yang paling pantas, tiada pilihan selain dari membuat satu jalan yang lurus. Terus sambung dari titik A ke B hanya dengan satu garis lurus. Ia merupakan jalan paling pendek yang anda boleh bina. Ini membawa maksud bahawa jalan yang ringkas adalah satu jalan yang lurus.
Sudah pasti dalam kehidupan sebenar, mukabumi bukanlah sama seperti sehelai lembaran kertas yang rata. Ada banyak cabaran dan rintangan dalam usaha untuk membina satu jalan yang lurus. Kalau perlu belok sikit atas sebab yang tak dapat dielakkan, kemudian akan masuk semula ke landasan jalan yang lurus.
Itu misalan dalam urusan membina sebuah jalan. Bagaimana pula konsep gaya hidup ringkas?
Gaya hidup ringkas
Hidup ringkas membawa maksud melakukan perkara yang perlu sahaja untuk mencapai hasil yang yang dikehendaki. Mana urusan yang tak perlu, iaitu yang tidak relevan dan tidak membawa kepada usaha mencapai matlamat, walaupun ia baik, tinggalkan saja.
Apa saja yang anda lakukan perlu ada sebab dan tujuannya. Saja suka-suka, atau tak tahu kenapa, tak sepatutnya berlaku pada orang yang berfikiran waras dalam melakukan sesuatu perkara. Malah melakukan sesuatu tanpa ada sebab yang munasabah, tanpa ada matlamat yang mahu dicapai adalah satu perbuatan sia-sia yang masuk dalam kategori membazir.
Jadi gaya hidup ringkas adalah cara hidup yang bermanfaat dan perlu dijadikan strategi untuk berjaya dalam hidup dan apa saja perkara yang anda mahu capai dalam kehidupan di dunia yang sementara ini.
Pakaian hidup ringkas
Sekarang saya nak cuba bincang tentang pakaian hidup ringkas. Pakaian merupakan antara urusan yang sangat penting dalam kehidupan manusia. Jika anda tak ambil serius dengan pakaian, ertinya anda akan terlepas pandang salah satu perkara penting dalam hidup ini.
Untuk merangka cara berpakaian yang sesuai dengan gaya hidup ringkas, perlu dilihat terlebih dulu apakah matlamat dalam berpakaian. Selepas itu barulah lihat apa perkara yang perlu dilakukan untuk mengoptimumkan hasil yang dikehendaki.
Secara umum hanya ada 2 matlamat sahaja yang mahu dicapai dalam berpakaian.
- Melindung diri – Ini adalah tujuan utama anda berpakaian. Untuk menutup tubuh badan daripada pencemaran udara, cahaya, atau yang seumpama dengannya. Juga penting untuk menutup dari penglihatan mata orang yang tak sepatutnya.
- Identiti - Pakaian merupakan expresi terhadap siapa diri anda. Apa jantina anda, bangsa, agama, status dalam masyarakat dan lain-lain lagi seumpamanya. Ada maksud tersirat dari pakaian yang anda kenakan yang memberi isyarat kepada mereka yang mengetahui.
Dengan berpandukan matlamat di atas anda tentu sudah dapat fikirkan kriteria pakaian yang sesuai dalam suasana masyarakat dan juga keadaan cuaca di mana saja negara anda berada. Memang itupun yang berlaku sepanjang perubahan masa zaman berzaman di mana saja manusia berada.
Keadaan cuaca, muka bumi dan cara hidup manusia di satu-satu tempat menentukan cara mereka berpakaian. Itu perkara paling asas. Selepas dah sesuai dengan perkara tersebut, barulah kedudukan atau status sosial diambil kira, itupun masih tetap selari dengan keperluan asas pada pakaian yang sesuai untuk aktiviti harian di tempat tersebut.
Untuk lihat apakah pakaian yang sesuai untuk masyarakat di Malaysia, anda hanya perlu toleh ke belakang melihat sejarah cara berpakaian masyarakat di nusantara ini. Perkara utama yang menentukan cara berpakaian anda dan umumnya orang Malaysia, di pengaruhi oleh beberapa perkara utama.
- Jantina - Kalau anda lihat pada haiwan sekalipun, nampak jelas dari segi warna dan hiasan yang berbeza ada pada haiwan jantan dan betina. Manusia juga lebih kurang sama. Pekerjaan seharian yang dilakukan oleh lelaki dan wanita juga berbeza, ini menentukan kesesuaian jenis pakaian yang perlu dipakai.
- Bangsa - lain bangsa, lain citarasanya. Ini menentukan warna, jenis kain dan potongan pakaian. Bangsa juga memberi pengaruh kepada amalan seharian dan cara hidup orang, jadi memberi pengaruh kepada cara pakaian mereka.
- Agama - Kepercayaan atau ideologi juga beri pengaruh terhadap amalan hidup, dan secara langsung beri kesan terhadap cara berpakaian.
- Status sosial - Ini hanya isyarat yang mahu di berikan kepada orang lain yang mana cara anda berpakaian dapat memberitahu siapa diri anda dan di mana kedudukan anda dalam masyarakat. Biasanya ada 3 kategori sahaja, samada raja dan kerabatnya, bangsawan atau petani rakyat biasa.
Jika anda seorang rakyat Malaysia, pakailah pakaian macam mana sekalipun, tak akan lepas dari tujuan asal 2 perkara yang saya sebut di atas tadi. Kemudian 4 perkara yang selanjutnya itu perlu diikuti untuk lengkapkan cara pakaian yang sesuai dan bertamadun.
Contohnya jika anda seorang lelaki Melayu, maka di bawah ini adalah contoh perkara yang akan anda pastikan berlaku dalam memilih pakaian.
- Dibenarkan oleh syariat – Anda akan pastikan urusan agama dipatuhi, tutup aurat antara pusat dan lutut.
- Selesa – Pastikan anda rasa selesa berada dalam pakaian tersebut bagi menepati ciri-ciri melindungi diri yang anda perlukan. Pakai seluar ketat sampai tak boleh nak kentut adalah satu cubaan menyiksa diri.
- Boleh pakai untuk solat – Jika anda pegang kuat pada amalan agama, maka pastikan pakaian yang tidak mempunyai corak atau tulisan yang mengganggu orang lain jika masuk masjid. Warna kosong adalah pilihan yang terbaik dan berhemah. Dan perlu juga longgar tidak mudah terbuka ketika anda membuat semua pergerakan dalam solat.
- Sesuai dengan aktiviti kerja - Anda perlu pastikan pakaian sesuai untuk anda gunakan sepanjang melakukan aktiviti seharian atau urusan pekerjaan anda. Jika anda kerja dalam bidang sales, maka pakailah pakaian yang anda boleh berada di mana saja samada dalam pejabat atau ketika berdad di luar.
- Ringkas dan segak – Ini penting sebagai cerminan keperibadian diri anda. Pakaian yang bersih dan warna yang mendamaikan sesuai dengan warna kulit perlu dijadikan kriteria utama. Tak kisah potongan macam mana, ala western, ala arab, ala india atau ala cina, atau ala melayu, boleh saja asal tujuan asal berpakaian itu dipenuhi.
Amal cara berpakaian sendiri
Kenapa saya berniaga, sedikit sebanyak ada dipengaruhi oleh desakan ingin untuk berpakaian ringkas dan selesa ikut selera sendiri tanpa perlu terikut-ikut dengan kebiasaan orang.
Macam yang saya sebut di awal tadi, saya sering rimas terpaksa pakai kemeja lengan panjang dan bertali leher ketika menjadi wakil jualan di sebuah syarikat logistik antarabangsa dulu, sedangkan cuaca di negara kita amat panas. Kenapa terikut dengan cara pemakaian orang putih di negara mereka?
Budaya ikutan tersebut berpunca daripada kebanyakan syarikat besar datang dari luar negara yang mana iklim negara mereka mencorakkan cara berpakaian sedemikian. Maksudnya anda tak perlu ikut budaya berpakain mereka.
Bila berniaga, saya bebas berpakaian mengikut cara sendiri yang sesuai dengan keadaan cuaca dan budaya di sini.
Jika berkemeja, saya akan pastikan ianya berlengan pendek, nipis tetapi tidak jarang dan sesuai untuk dilepaskan keluar. Berbaju kemeja lengan pendek mesti digabungkan dengan berbaju pagoda di dalamnya untuk menapis bau peluh dari menerobos keluar.
Begitu juga dengan seluar. Saya lebih gemar pakai seluar panjang slack dan berwarna gelap serta longgar. Kainnya juga mesti tidak terlalu tebal dan menghalang pengudaraan. Perlu senang dibuka dan dipakai semula untuk urusan kecemasan di tandas ketika membuang air.
Dari segi kasut pula, tiada yang lebih baik selain daripada sandal yang tahan, menarik dan bukan berbentuk seperti selipar jepun. Banyak kasut keluaran Bata memenuhi citarasa saya yang mudah dan ringkas. Kasut kulit yang tutup keseluruhan kaki, bagi saya hanya sesuai dipakai jika anda menaiki motosikal atau kerja di kawasan pembinaan.
Yang penting, pakaian yang ringkas tidak seharusnya menjadikan anda selekeh pengotor dan tidak terurus.
Begitulah lebih kurang prinsip berpakaian saya secara ringkas. Apa pendapat anda?
Saya memilih pakaian yang boleh pakai untuk solat dan nampak kemas serta selesa, gaya sudah jatuh ke nombor dua
ReplyDeleteSetuju!, itu paling utama
Delete