Bila negara dikenakan perintah berkurung bagi membendung wabak covid-19 yang lalu, saya rasa seperti mimpi saja. Maklumlah pengalaman pertama jadi begitu. Pada minggu pertama cuba sesuaikan diri dengan apa yang terjadi. Belajar, biasakan dan buat meeting online dengan semua staff, brainstorm, cuba fikir cari jalan penyelesaian dan buat persediaan. Lebih kurang buat analisa SWOT lah tu.
Memang otak rasa blur tak tahu apa yang bakal dijangkakan. Yang saya ingat, semua itu akan berlalu sebentar saja. Seminggu, sebulan atau 2 bulan. Tak mahu bayangkan keadaan seperti itu akan berlarutan dalam tempoh yang lama. Untuk orang yang makan gaji, saya yakin ramai yang menikmati apa yang berlaku, terutamanya jika anda kerja dengan syarikat besar multinasional, kerajaan atau GLC. Itu semua jenis majikan yang akan kekalkan semua pekerja mereka.
Berbeza pula bagi syarikat kecil. Ramai pekerjanya risau sebab majoriti besar syarikat kecil langsung tak ada bekalan duit yang cukup sekalipun untuk bertahan selama 3 bulan jika operasi perniagaan terpaksa dihentikan. Mereka semua hidup dalam keadaan kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. 'Hand to mouth situation' kata orang putih. Apa yang ada ngam-ngam saja tak ada lebihan untuk simpanan. Tak boleh kerja bermakna tak ada gaji. Siapa tak tertekan jika jadi begitu.
Saya punya syarikat perniagaan termasuk dalam kategori syarikat kecil. Jika pekerja saya risau, saya risau lebih 10 kali ganda dari mereka. Ada tanggung jawab yang perlu dilunaskan untuk keluarga, untuk syarikat dan semua tanggungan syarikat yang ada.
Dalam keadaan kelam kabut begitu, jangkaan yang semua akan kembali seperti biasa dalam tempoh sebulan dua ternyata meleset, akhirnya lega kembali bila ada permintaan terhadap kerja-kerja sanitasi. Boleh jana sedikit pendapatan untuk legakan keadaan.
Isi masa ketika dalam kurungan
Sebenarnya saya nak cerita apa yang saya buat ketika dikurung sebab PKP. Termelalut agak panjang di atas tadi. Saya patah balik ke matlamat asal artikel ini. Tentang belajar perkara baru.
Sambil menunggu keadaan kembali pulih, saya mesti isikan masa yang ada untuk perkara berfaedah. Banyak kursus online yang saya ikuti, ada yang percuma ada yang berbayar. Selain dari semua aktiviti belajar ilmu yang berguna untuk kerja, saya buat keputusan untuk belajar sendiri bermain gitar.
Mulanya saya layari youtube untuk belajar pasal finger picking, dalam proses tersebut bertemu pula dengan dunia musik jazz yang dalam guitar banyak pakai chord 7. Saya tertarik dengan perkara baru itu dan buat keputusan untuk belajar sendiri dari semua sumber online yang ada.
Untuk pastikan usaha membina tabiat baru itu berjaya, saya buka dan baca buku Atomic Habits dan ikuti langkah yang diterangkan dalam buku tersebut satu persatu. Langkah asasnya adalah pastikan semua proses pembelajaran nak main gitar itu, 1. Menonjol, 2. Menarik, 3. Mudah dan 4. Ada Ganjaran.
Apa yang saya cuba belajar adalah perkara baru, pada awalnya memang susah dan banyak kali rasa nak putus asa. Banyak sangat perkara nak dibiasakan diri, jari rasa keras tak boleh dibentuk. Supaya tak bosan, saya pastikan untuk luang masa berlatih setiap hari dalam tempoh yang pendek saja. Dalam 15 ke 30 minit sudah memadai. Masa berlatih itu, buat latihan yang tidak terlalu senang dan tidak terlalu susah. Perlu duduk antara dua level itu.
Dari bertatih-tatih, akhirnya tabiat pegang gitar dan ulang buat benda sama berulang kali jadi perkara biasa. Makin lama makin dapat kuasai dengan lebih mudah dan begitulah prosesnya berlalu sehingga saya dah dapat gubah semua lagu dari chord biasa kepada penggunaan chord 7th.
Kawan yang ada gitar sama seperti saya, yang nak belajar semula main gitar, tidak tambah apa-apa kemahiran bermain gitarnya sebab tak sanggup lalui semua tekanan berlatih itu dengan istiqamah. Dia perhatikan perkembangan saya sehinggalah satu hari dia beritahu, setiap kali lihat saya main lagu guna chord 7th, dia rasa seperti nak balik dan pecahkan gitarnya, cemburu dengan keupayaan saya yang makin meningkat.
Dari bermulanya kena PKP tahun 2020 sehingga sekarang dan 4 tahun. Saya masih lagi terus melayan berlatih main gitar sikit sikit dan cuba tingkatkan kemahiran secara santai ke tahap yang lebih baik dari sebelumnya. Saya sendiri dapat rasai beza antara awal dulu dengan sekarang kelancaran pegang chord dan bermain gitar.
Gambaran kerja keras
Proses belajar main gitar dari tak tahu kepada tahu, kemudian lancar dan meningkat sedikit demi sedikit banyak memberikan kefahaman terhadap apa yang anda perlu lalui jika mahu kuasai sesuatu.
Seperti apa yang kawan saya di atas lihat dan rasa teruja, dia hanya dapat melihat hasil yang saya pamerkan kepadanya dalam tempoh 10 ke 20 minit saja. Lancar, menarik dan nampak mudah. Apa yang dia tak nampak dan tak dapat rasakan adalah tempoh 3 ke 4 tahun saya praktis seorang diri setiap hari dalam keadaan yang sangat membosankan. Ulang buat perkara sama ratusan kali, rasa nak gibab, meluat dan sebagainya, tapi tahan diri untuk teruskan juga.
Setiap kali saya lihat pemain gitar tunjukkan skil di tiktok atau media sosial lain, dengan kelajuan jari jemarinya naik turun tali gitar atas bawah, dengan irama luar biasa, saya hanya dapat bayangkan masa ribuan jam yang dia habiskan seorang diri berlatih sempurnakan semua kemahiran yang cuba dibentuknya.
Saya dapat bayangkannya sebab saya sendiri lalui perkara itu, dan tahap kesabaran dan jumlah masa yang digunakan untuk dapat apa yang ada sekarang masih sangat rendah berbanding dirinya. Ertinya, siksaan dan cabaran yang dilalui oleh orang lain yang jauh lebih cekap sudah tentu berkali ganda hebatnya.
Rumah besar harta bertimbun
Sama juga dengan kejayaan lain yang anda lihat di depan mata sekarang kepada mereka yang ada rumah besar, harta bertimbun. Banyak cerita kejayaan yang dapat dilihat dari portal hiburan dan seumpamanya. Cerita ringkas 2 muka, kemudian gambaran kemewahan yang dipamerkan membuatkan ramai yang ingin miliki apa yang mereka miliki.
Tapi ramai yang hanya mahu hasil kejayaan itu saja. Sedangkan susah payah, kesabaran, jatuh dan bangun yang dilalui dalam tempoh 10 ke 20 tahun tak ada siapa yang sanggup hadapinya.
Disebabkan gagal melihat semua proses yang berlaku ketika tiada sesiapa melihatnya, maka ramai yang ambil jalan pintas. Rasuah, pecah amanah, curi, tipu, perdaya dan sebagainya. Semua kerja jahat sebegitu adalah alternatif kepada kerja berat yang tak ramai sanggup laluinya.
Begitu juga berlaku dalam semua urusan di dunia ini. Jadi pelajar cemerlang, pekerja contoh, usahawan terbilang, pemimpin negara tersohor, doktor pakar rebutan ramai pesakit, pelukis hebat, penyanyi nombor satu, ahli sukan paling tinggi bayarannya dan seribu satu lagi lapangan kemahiran lain yang memerlukan ribuan jam latihan di peringkat tinggi, mereka kecapi hasil dari kepayahan maksimum yang majoriti besar manusia tak sanggup laluinya.
Rahsia kejayaan ada pada tabiat baik yang anda bentuk sedikit demi sedikit sepanjang hidup. Tiada jalan pendek untuk berjaya. Begitu juga tiada jalan pendek masuk ke syurga.