Syarikat yang bagus cari pekerja yang bagus cari syarikat yang bagus cari pekerja yang bagus ..


Sekali sekala, pejabat saya akan bertukar jadi studio. Biasanya ia berlaku pada hari sabtu. Kawan akan datang ke pejabat lewat petang untuk berborak pasal kehidupan. Kemudian saya akan ambil gitar dan petik lagu yang dipilih oleh kawan saya itu.

Kami ulang sekali dua lagu pilihan sebelum buat rakaman. Saya petik gitar dan kawan saya akan menyanyi. Proses merakam ada masanya mudah, ada masa susah. Kadang kala saya buat silap, kadang kala kawa pula menyanyi silap.

Begitulah proses kerjasama kami berlaku dalam keadaan saya petik gitar ikut nyanyiannya dan dalam masa yang sama dia menyanyi ikut petikan gitar saya. Kedua-duanya perlu berlaku dengan baik seiring sekata. Sekali tengok anda mungkin nampak penyanyi yang ikut musik, ada masa nampak macam musik yang ikut penyanyi. Sebenarnya kedua-duanya saling ikut mengikuti untuk mencapai harmoni.

Syarikat cari pekerja bagus

Proses yang sama berlaku jika anda lihat pada syarikat yang bagus. Biasanya ia dipenuhi oleh para pekerja yang bagus. Mungkin anda rasa pekerja bagus kerana dia ikut rentak syarikat yang bagus. Mungkin juga anda nampak syarikat itu bagus sebab dia ada pekerja yang bagus.

Hakikatnya, kedua-duanya berlaku serentak. Perlu ada saling ikut mengikuti supaya perjalanan segala urusan perniagaan dalam syarikat itu jadi harmoni seiring seirama macam dalam kes main gitar dan menyanyi tadi.

Kalau taukeh tak mahu pening kepala, dia boleh buat bisnes seorang diri. Syarikat dia punya dan pekerja juga dia sendiri. Semua buat sendiri dari proses pemasaran sehinggalah proses selepas jualan. Itu yang ramai orang buat kerja sendiri lakukan. Malas nak pening kepala katanya.

Tapi bisnes tak berkembang jika berterusan begitu.

Sama macam nak mudah rakam lagu, saya akan petik gitar dan menyanyi sendiri. Memang mudah sebab saya ikut apa yang saya buat. Tapi menyanyi begitu hilang nikmat dan keseronokkan beraktiviti santai. Cepat bosan main gitar dan menyanyi seorang diri.

Pekerja cari syarikat bagus

Antara masalah paling besar yang dihadapi oleh syarikat kecil adalah untuk cari pekerja yang bagus. Kemudian berusaha untuk kekalkan pekerjanya yang bagus itu agar terus berkhidmat di syarikat. 

Kehilangan seorang pekerja yang bagus merupakan satu kerugian besar kerana mereka umpama batu permata berharga yang wujud hanyalah 1 dalam seribu. Jika anda tak jaga mereka dengan baik, banyak lagi syarikat lain yang sanggup menjaganya jauh lebih baik dari apa yang anda mampu buat.

Sudah tentu ia bermula dengan syarikat terlebih dahulu, berusaha menarik masuk pekerja yang baik ke dalamnya. Itu merupakan salah satu dari tugasan utama Taukeh dalam membina syarikat perniagaannya.

Untuk makluman, hanya ada 2 kerja paling penting seorang usahawan. Pertama, dia perlu berusaha menarik pekerja yang baik masuk ke dalam syarikat. Tugas penting kedua adalah berusaha menarik orang yang ada duit berurusan dengan syarikatnya samada sebagai pelabur, pembeli, atau pembekal.

Dalam usaha menarik pekerja yang baik, dia perlu fikir apakah yang dicari oleh mereka. Dalam erti kata lain, syarikat macam mana yang pekerja baik mahu datang bekerja. 

Cuba muhasabah dan renung semula syarikat anda sekarang dari segi identiti bagaimana orang melihat dan kenal syarikat anda, keadaan fizikal dan kemudahan yang syarikat sediakan kepada para pekerja. Apakah syarikat anda selesa, atau berterabur seperti tongkang pecah?

Banyak syarikat yang saya jumpa merungut masalah susah cari pekerja tanpa sedari keadaan syarikatnya samada orang teringin nak datang kerja atau tidak. Tengok diri sendiri dulu depan cermin kemudian anda akan jumpa sebab awal orang tak mahu datang minta kerja. Tengok keadaan fizikal syarikat, tengok apa yang syarikat pamerkan di kewujudan digitalnya juga. Apa imej yang syarikat pamerkan.

Faktor utama pilihan pekerja

Langkah awal cari pekerja bagus adalah ketika buat iklan tawaran kerja. Tengok iklan, persembahannya, tulisannya, imej yang dibawa dalam iklan dan sebagainya. Apa gambaran yang orang nampak bila membaca iklan tawaran kerja anda.

Pekerja yang ambil langkah hubungi anda untuk mohon kerja adalah gambaran dari imej iklan yang anda war-war kan. Kalau iklan anda main-main, cincai dan sebagainya, yang akan datang temuduga macam tulah juga.

Ketika temuduga pula, bagaimana anda jalankannya. Apa soalan yang ditanya. Apa yang anda ceritakan tentang syarikat anda dalam sesi temuduga itu. Semua itu memainkan peranan dalam menarik pekerja yang baik. Sekuran-kurangnya, dalam memberi mesej kepada bakal pekerja yang ditemuduga apa yang anda harapkan dari dia dan supaya dia sendiri sedar samada layak atau tidak dia jadi pekerja di syarikat anda.

Bila dah ambil pekerja, lihat pula faktor yang dapat kekalkan mereka kekal lama. selalunya anda tentu fikir faktor paling utama adalah adalah berkaitan dengan wang. Ya betul, gaji itu penting, tetapi sebenarnya bukanlah segala-galanya.

Anda hanya perlu pastikan bahawa gaji yang diberikan memenuhi pasaran semasa. Jika lebih sikit lagi bagus. Biasanya saya ambil pendekatan untuk lebihkan sedikit dari pasaran semasa. Jika biasanya orang bayar RM2000, saya akan bagi RM2,300 contohnya.

Selepas itu berikan perhatian kepada 3 faktor berikut.

  • Masa kerja yang fleksibel - Jangan terlalu rigid sangat dengan waktu kerja sehingga mencengkam kebebasan mereka.
  • Hargai pencapaian - Jangan anggap bila dia makan gaji, anda boleh layan mereka macam robot. Mereka manusia dan jika kita menghargai pencapaian mereka sudah tentu mereka juga menghargai anda.
  • Utamakan keputusan - Jangan kawal segala pergerakan dan cara mereka melaksanakan tugasan. Yang pentingnya mereka mencapai matlamat yang diberikan. Asalkan KPI tercapai, berikan mereka ruang menggunakan masa dengan optimum walaupun ia bermaksud keluar sebentar untuk ke gym atau seumpamanya.

Antara keburukan paling ketara syarikat buat adalah tidak memperdulikan suasana persekitaran tempat pekerja mereka beroperasi. Kemudahan juga tidak diberikan perhatian. Para pekerja juga dikawal segenap pergerakan mereka. Ini merimaskan pekerja yang amanah dan baik.

Kesilapan kecil yang tidak mejejaskan matlamat syarikat pula terlalu dipertikaikan oleh majikan. Kadangkala pekerja dihukum semata-mata kerana melakukan sesuatu yang tidak disukai oleh boss walaupun itu tidak ada kena mengena dengan tugasan pekerja.

Berikan layanan istimewa pada pekerja bagus anda dengan turun ke padang memberikan sokongan. Jangan berlagak macam boss angkuh yang hanya mengharapkan dirinya sahaja perlu dipuji dan dihormati.

Post a Comment

Previous Post Next Post