Ada sekali tu saya bersembang dengan seorang anak muda yang mengusahakan khidmat reka dan buat web. Dia berhenti dari kerja makan gaji untuk memulakan perniagaannya sendiri.
Dalam berborak tentang perniagaan yang sedang diusahakannya itu, saya tanya berapa banyak pelanggan yang dia sasarkan.
Jawapan spontan yang dia berikan adalah, 'seramai mungkin'.
Itu jawapan biasa yang akan diberikan oleh mereka yang baru terjun ke dunia perniagaan. Semua peniaga mahu meletakkan sasaran sebegitu. Lebih mudah dan tak perlu buat apa-apa kiraan. Dalam erti kata lain, siapa saja yang sudi jadi pelanggan, dia berbesar hati untuk menerimanya. Satu sikap yang merendah diri dan bersopan santun.
Namun begitu, jawapan itu adalah sangat terbuka dan mengundang solusi yang juga sangat terbuka.
Bayangkan yang anda baru sampai di Kuala Lumpur buat pertama kali, naik keretapi dari Perlis dan turun di KL Sentral. Tak tau nak pergi mana lalu tanya seseorang yang anda jumpa di situ, 'mana tempat yang best untuk dilawati?'.
Maka jawapan yang anda dapat sudah tentu ikut selera orang yang anda tanya. Mana saja boleh, pergi lah ke manapun anda tak kisah. Atau anda boleh terus jalan kaki ikut suka hati nak melangkah, pun boleh juga sebab anda memang tak ada arah nak dituju.
Tapi jika anda tahu ke tempat yang lebih spesifik seperti bangunan TRX, lebih mudah untuk sampai. Bah kan mudah juga untuk bertanya kepada siapa yang tahu nak ke situ.
Dalam perniagaan sama juga. Anda perlu letakkan sasaran supaya lebih mudah untuk cari jalan dan merancang. Letakkan sasaran dalam bentuk jumlah yang boleh dikira, ia membantu otak untuk berfikir dengan lebih sistematik bagi mencapai apa yang anda sasarkan.
Berbalik kepada soalan yang saya tanya anak muda di atas tadi. Jika dia sasarkan jumlah pelanggan seramai 100 orang dalam tempoh setahun. Dengan jumlah sasaran pendapatan lebih kurang RM1,500 setiap satu, jika di darab dengan 100, ia bersamaan dengan RM150,000 setahun. Itu satu jumlah yang agak mencukupi bagi seorang usahawan yang bekerja one-man-show.
Membayangkan pendapatan tersebut membuatkan anda merasa yakin dan mahu berusaha bagi mencapainya. Dan soalan kedua yang perlu dijawab adalah berapa ramai orang yang telah tahu bahawa anda menawarkan khidmat buat web. Adalah mustahil sama sekali anda boleh dapat walaupun seorang seandainya tiada siapa yang tahu khidmat yang anda tawarkan.
Siapa pelanggan anda
Satu lagi soalan yang penting untuk ditanya adalah siapa yang perlukan khidmat buat web. Anda perlu jawab soalan itu dan buat senarai mereka yang berpotensi jadi pelanggan. Itu semua adalah perkara asas yang masuk dalam bab pemasaran. Ia bagi memudahkan untuk anda bergerak mula buat kerja.
Jika anda tak ada idea siapa dan di mana pelanggan anda berada, mula bergerak dengan berjumpa siapa saja terlebih dahulu untuk dapatkan gambaran. Adalah lebih baik mulakan usaha agar orang tahu bisnes anda daripada duduk saja dan tunggu orang datang.
Itu juga konsep mudah dalam bisnes yang anda perlu pegang. Buatlah apa saja, asalkan anda bergerak buat sesuatu. Dari situ anda boleh perbaiki sedikit demi sedikit sampai dapat apa yang disasarkan.
Bagi anda yang mula berniaga tapi masih blur tak tahu nak buat apa. Boleh buat apa yang saya senaraikan di bawah ini. Bukan saja untuk yang berniaga, jika anda masuk bidang sales pun boleh pakai cara yang sama.
Mulakan usaha beritahu pada semua kawan-kawan anda dengan.
- Senaraikan semua kawan-kawan yang anda kenal samada rapat atau tidak rapat.
- Mula berhubung dengan mereka yang anda rapat dan terangkan dengan ringkas dan padat pada mereka apa yang anda buat. Cara terbaik adalah dengan berjumpa dan merapatkan perhubungan dengan mereka sambil minum teh tarik.
- Habiskan semua senarai tersebut dan mulakan pula dengan kawan-kawan yang tidak berapa akrab. Buat perkara yang sama sehingga habis semua senarai itu.
- Senaraikan pula semua saudara mara yang anda kenal dan lakukan perkara yang sama.
- Dapatkan pula senarai kawan-kawan kepada kawan anda yang rapat dan perkenalkan perkhidmatan anda.
- Dan begitulah seterusnya sehingga habis semua lingkungan kawan, saudara, kawan kepada saudara, kawan kepada kawan dan lain-lain. Itu semua akan membuatkan anda banyak kerja yang perlu dilakukan sehingga 6 bulan.
Dengan berbuat begitu berkemungkinan anda sudah berjaya memberitahu kepada 500 orang apa yang anda sedang tawarkan. Proses tersebut membuatkan sasaran anda untuk mencapai 100 pelanggan nampak lebih realistik.
Bagaimana pula jika anda sudah lama jalankan perniagaan dan telah mempunyai ramai pelanggan?
- Soalan yang sama perlu dijawab, ‘berapa ramai orang yang tahu apa yang anda tawarkan?’.
- Mulakan dengan menyenaraikan semua pelanggan anda.
- Buat surat penghargaan pada semua pelanggan yang ada. Hargai mereka dengan memberikan sedikit ganjaran atau cenderamata.
- Tawarkan kepada mereka diskaun yang berpatutan jika mereka memperkenalkan syarikat anda pada kawan-kawan mereka. Pujukan daripada pelanggan anda pada kawan-kawannya untuk menggunakan khidmat syarikat anda adalah jauh lebih berkesan.
- Jika jumlah pelanggan anda telah mencapai 1,000 orang, aktiviti ini yang cukup berkesan mampu menambahkan sekurang-kurangnya 200 ke 300 lagi pelanggan baru!
- Jika anda ada modal lebih sikit, cuba fikirkan iklan melalui bunting, atau flier. Letakkan di kawasan yang anda sasarkan.
- Jika anda modal lagi fikirkan juga untuk melakukan e-mail blasting atau iklan pada akhbar, tv atau radio. Itu semua bergantung pada budget yang anda ada.
- Dalam dunia komunikasi internet yang mencipta ramai komuniti dalam dunia cyber melalui media sosial sekaran, adalah satu kerugian jika anda tidak menggunakan peluang murah dan mudah ini untuk memberitahu seramai mungkin pada orang lain apa yang anda tawarkan.
- Fikirkan untuk membuat blog perniagaan anda dan berikan maklumat yang menarik pada pembaca. Blog perniagaan cukup berkesan dalam memasarkan perniagaan.
- Jika anda ada modal lebih, gunakan juga khidmat adsense atau program affiliate yang bersepah di dunia maya.
Ada banyak lagi perkara yang boleh difikirkan untuk anda mula buat sesuatu. Yang pentingnya, ia menjawab siapa lagi yang kenapa dan tahu perniagaan yang anda jalankan sekarang.
Dalam perniagaan, anda perlu buat sasaran untuk mula bergerak. Biarlah sasaran pada awalnya salah sekalipun sebab anda akan sedar kesalahan itu apabila dah mula bergerak. Bila dah sedar sasaran salah, ubah saja kepada sasaran baru dan bergerak lagi .. begitulah seterusnya sampai dapat apa yang anda mahukan.