Cara menggunakan prinsip 80/20 dalam memilih kawan untuk berjaya dalam usaha anda

Sebagai makhluk yang perlu bersosial untuk hidup, salah satu perkara penting yang perlu diberikan perhatian serius untuk rasa bahagia dan bermakna adalah tentang kawan.

Mungkin anda lepaskan saja bab kawan ini berlaku secara spontan tanpa ada perancangan. Memang ramai yang buat begitu, mereka serahkan semua kepada keadaan dan fikiran separa sedar yang ada dalam kepala untuk menguruskan bab kawan ini.

Perlu ada prinsip dalam berkawan, dan saya yakin anda memang dah ada prinsip dalam berkawan dan memilih kawan selama ini, cuma anda mungkin tidak terfikir untuk uruskan semua itu dengan lebih baik sahaja. Perkara ini amat penting.

Jika anda baca kajian yang dijalankan terhadap penduduk yang umur mereka panjang, tubuh badan sihat, hidup dengan ceria dan bertenaga terutamanya di kawasan yang dipanggil 'blue zone', anda akan dapat formula menarik dikongsi oleh mereka semua.

Saya kongsikan sikit pasal blue zone. Perkataan blue zone ini diperkenalkan oleh Dan Buettner orang yang mengkaji tentang penduduk ini. Dia tandakan dengan pen biru semua penempatan yang didiami oleh penduduk yang hidup lama di atas peta. Dari situ blue zone mendapat nama.

Antara penempatan yang masuk dalam blue zone adalah seperti berikut.

  1. Okinawa, Japan
  2. Sardinia, Italy
  3. Nicoya Peninsula, Costa Rica
  4. Ikaria, Greece
  5. Loma Linda, California

Antara rumusan kenapa penduduk di sana panjang umur mereka adalah disebabkan perkara berikut.

  1. Makanan - Mereka hanya makan makanan yang asli dan segar seperti sayur, buah-buahan dan bukan makanan yang diproses macam semua orang makan sekarang. Kalau nak makan mee misalnya mereka buat sendiri dari kisar tepung, sampai jadi mee. Mereka juga kurang ambil gula, hanya dalam 7 camca teh saja sehari.
  2. Bergerak - Mereka semua sangat aktif bergerak tak duduk diam dari orang muda sampai kepada orang tua. 
  3. Bermasyarakat - Kehidupan mereka sangat aktif dari segi sosial dan tinggal dalam kelompok yang saling bekerja sama dan kerap berhubung.
  4. Tekanan - Sangat kurang rasa tertekan dalam hidup. Di KL, memandu kereta waktu pagi nak pergi kerja pun level stress dah naik tinggi.
  5. Kepercayaan - Mereka ada agama anutan yang dipegang kuat.
  6. Alam sekitar - Mereka sangat dekat dengan alam sekitar.
Cuba lihat item nombor 3.

Salah satu dari ciri-ciri yang ada pada mereka adalah, menjalani kehidupan sosial yang positif. Maknanya mereka semua jenis individu yang bermasyarakat, menjaga perhubungan silaturahim secara konsisten.

Jadi, rumusannya, berkawan itu sangat perlu untuk maksimumkan potensi diri anda sebagai manusia. Tapi, memilih kawan juga amat perlu. Supaya anda dilingkungi oleh kawan-kawan yang membantu perbaiki diri. Juga supaya apa yang anda impikan tercapai dengan lebih mudah.

Formula berkawan

Berikut saya kongsikan beberapa langkah yang anda boleh ambil untuk merangka keperluan berkawan dengan lebih cekap dan berkesan. Anda boleh lakukan semua itu dengan menggunakan Konsep 80/20 atau juga dikenali dengan Prinsip Pareto.

Apakah Prinsip Pareto?

  1. Input kecil, impak besar - Prinsip pareto mengatakan hanya 20% sahaja (lebih atau kurang) daripada kawan-kawan yang anda ada sekarang, yang memberikan 80% daripada faedah yang anda kehendaki. Majoriti kawan anda, iaitu 80% hanya mendatangkan manfaat yang sikit sahaja.
  2. Fokus pada yang sikit - Tinggalkan 80% daripada kawan-kawan yang kurang mendatangkan manfaat itu. Anda dapat berikan tumpuan yang lebih banyak kepada kawan yang 20% tu.
  3. Gandakan - Kenal pasti ciri-ciri yang berulang yang ada pada kawan yang 20% itu dan cari lagi kawan yang memiliki ciri-ciri yang sama seperti mereka. Ini akan menambahkan manfaat yang anda kehendaki dengan lebih cepat dan besar.

Aplikasi berkawan 80/20

Jika dah faham apa yang prinsip Pareto kata kat atas tu, sekarang anda boleh lihat bagaimana nak amalkan prinsip tersebut dalam kehidupan.

Berikut langkah-langkahnya.

  1. Tentukan matlamat yang hendak dicapai dengan berkawan - Jika anda mahu menjadi usahawan yang berjaya, maka perlu lihat siapa kawan-kawan yang anda ada selama ini. Adakah mereka membantu. Jika ada, siapa dan banyak mana.
  2. Senaraikan semua kawan-kawan yang sering anda hubungi - Semak semula aktiviti berkawan anda selama ini dalam menjalani kehidupan sebagai usahawan. Siapa yang anda kerap cari, telefon dan luangkan masa bersama. Adakah mereka sesuai untuk menjadi anda usahawan berjaya.
  3. Semak dengan terperinci sumbangan daripada setiap kawan-kawan tersebut  - Bila dah nampak corak kawan anda itu, semak semula sumbangan setiap orang dari mereka dalam membantu anda menjadi usahawan berjaya. Semua sumbangan perlu disenaraikan, seperti  peluang yang diberikan, nasihat, tunjuk ajar atau galakan dan sebagainya.
  4. Semak fenomena 80/20 - Cuba perhatikan. Hanya dalam 20% saja dari semua kawan-kawan yang anda jumpa di atas tadi, yang sering membantu anda. Yang lain hanya membuang masa dan selalunya menghisap tenaga anda sahaja.
  5. Fokus pada yang sikit - Berikan komitmen yang lebih untuk mendampingi kawan-kawan yang masuk dalam lingkungan 20% tersebut. Ini dapat dilakukan dengan meninggalkan 80% daripada kawan-kawan yang kurang bermanfaat tadi. Sekaligus membebaskan masa anda dengan banyak.
  6. Cut & Paste - Perhatikan apakah ciri-ciri kawan yang termasuk dalam lingkungan 20% tadi dan tetapkan ciri-ciri itu sebagai kriteria untuk anda memilih kawan baru.

Jangan salah faham

Tidak meluangkan masa dengan kawan-kawan yang kurang bermanfaat tadi bukan bermakna anda membenci mereka. Anda cuma bersikap objektif dalam menentukan masa dengan siapa untuk bersama. Ertinya kurang masa sahaja dengan mereka tetapi kawan tetap kawan. Kalau kenduri pergi lah, jika mereka meminta bantuan atau lain-lain perkara penting jangan pula diabaikan mereka, bantulah.

Jika anda amalkan teknik ini, anda akan dapati kehidupan jadi lebih ringkas dan sederhana dalam masa yang sama amat bermakna serta tidak membuang masa. 

Umur anda terlalu pendek untuk membuat semua perkara dan masa tidak cukup untuk berkawan dengan semua orang. Untuk dalami lagi teori pasal kawan ini, cuba cari kajian yang dibuat oleh ahli sains bernama Robin Dumbar, seorang ahli dalam bidang Anthropologi. Beliau mendapati sehebat manapun anda, hanya mampu kekalkan perhubungan dengan maksimum 150 orang saja dalam satu-satu masa.

1 Comments

  1. Boleh kenal semua orang tetapi belum tentu dapat kawan dengan semua orang

    ReplyDelete
Previous Post Next Post