Saya yakin anda tentu pernah dengar dari cakap-cakap orang berjaya atau baca artikel dan buku motivasi yang berikan panduan dalam memilih pekerjaan atau perniagaan yang anda mahu lakukan. Hampir semua dari mereka memberikan nasihat agar anda membuat pilihan berdasarkan apa yang anda suka.
Satu lagi nasihat yang sangat popular menjadi mainan mulut hampir semua orang sekarang baik perempuan mahupun lelaki adalah; buatlah apa saja asalkan anda 'happy'. Ia sudah jadi satu doktrin kehidupan di mana segala amalan, tugasan atau perniagaan hanya berkiblatkan kepada kebahagiaan. Kalau tak bahagia jangan lakukan, perlu ubah dan pindah kerja atau buat perkara lain sehinggalah kebahagiaan menjelma dalam kehidupan anda.
Kedua-dua perkara di atas adalah sama saja matlamatnya, iaitu bagi memastikan anda buat apa yang anda suka buat.
Andaiannya adalah dengan memegang pada prinsip tersebut, kejayaan adalah lebih terjamin kerana 3 faktor seperti di bawah.
- Tidak mudah patah semangat walaupun dilanda masalah - Jika menjalankan perniagaan berdasarkan minat seperti perniagaan photography umpamanya, ketiadaan pelanggan tidak menjadi masalah untuk anda terus buat kerja, sebab anda memang suka tangkap gambar.
- Hasil kerja lebih cemerlang - Kerana minat yang mendalam membuatkan anda mencari jalan membaiki kemahiran yang ada tanpa perlu dipaksa. ini menjadikan hasil kerja anda lebih bermutu daripada orang lain dalam bidang yang sama tapi tiada minat dalam menjalankan kerja mereka.
- Menjalani kehidupan yang bermakna - Tidak ada yang lebih membahagiakan lebih daripada seseorang yang menyara kehidupannya dengan melakukan apa yang dia minat. Kehidupannya sentiasa dalam keadaan santai seolah-olah masa yang ada semuanya untuk dia melayan hobi yang disukai.
Disebabkan pegangan tersebut maka sudah tentu jika anda tidak berjaya dalam kerjaya atau perniagaan yang dilakukan, yang dipersalahkan adalah, salah memilih kerjaya atau perniagaan yang anda tak suka.
Anda suka apa?
Bila sebut tentang minat saya boleh senaraikan banyak aktiviti. Saya berikan contoh seperti berikut.
- Bermain bola
- Bermain gitar
- Melukis
- Menyanyi
- Menulis
- Memancing
- Tangkap gambar
- Bela burung
- Bela kucing
- Tangkap ayam hutan
- Tembak rusa
- Main layang-layang
- Hubungan Seks
- Mengorat
- Dll
Terlalu banyak kalau nak buat senarai penuh. Setiap aktiviti yang anda suka semuanya bermula dari proses imitasi dengan melihat apa yang berlaku di sekeliling anda ketika membesar. Apabila ternampak sesuatu yang menarik, anda cuba tiru, bila aktiviti tersebut kebetulan kena dengan diri anda secara fizikal dan mental, maka anda rasa mudah selesa dan menyeronokkan. Dari situ anda dapat kenal perkara yang anda suka itu.
Hasil dari ulang buat perkara yang anda suka itu akhirnya ia bertukar jadi tabiat. Dalam keadaan itu semua aktiviti tersebut dilakukan secara spontan dan membuatkan anda merasa gembira dan bahagia. Ia melekat bukan sekadar aktiviti, malah meresap masuk ke jiwa lalu menjadi satu nostalgia yang makin lama makin menebal, kaya dengan kenangan sepanjang anda mengulangi aktiviti tersebut.
Isi penting yang saya nak cuba sampaikan adalah, terlalu banyak kegiatan dan amalan yang sudah melekat jadi tabiat yang anda kuasai dengan baik sepanjang hidup. Antaranya adalah seperti contoh di bawah.
- Bercerita menghiburkan orang
- Menasihati orang lain
- Merancang dengan teliti
- Menyelesaikan masalah
- Bersyarah
- Mudah buat kawan baru
- Komunikasi spontan
- Tahan tekanan
- Tahan kena marah
- Tahan dikritik
- Tahan dihina
- Degil
- Suka bantah
- Dll
Tabiat atau sikap seperti contoh di atas boleh dijadikan kekuatan jika anda mahu melaksanakan sesuatu kerja. Ertinya, anda boleh buat apa saja perniagaan dengan menggunakan sikap atau tabiat yang memang telah lama terbentuk dalam diri anda selama ini.
Gabungan suka dan benci
Jika anda dah lama hidup, sudah tentu anda sedar bahawa setiap pekerjaan, semudah mana sekalipun, adalah merupakan gabungan seribu satu kegiatan antara fizikal dan mental. Dalam melakukannya, anda tak dapat mengelak dari terpaksa berurusan dengan perkara yang anda suka buat dan juga perkara yang anda tak suka, tapi kena buat juga. Tanpa gabungan itu, keseluruhan urusan kerja tak akan berlaku.
Jika anda masih lagi tercari-cari kerjaya atau perniagaan yang anda suka, jangan buang masa sebab memang anda tak akan jumpa satupun yang dapat puaskan hati anda sebab semuanya adalah gabungan seribu satu perkara yang anda suka dan tak suka buat.
Apa yang anda boleh lakukan adalah pecahkan kerja anda sekarang kepada proses yang lebih kecil dan semak mana satu yang anda suka dan selesa dan mana satu yang anda tak suka dan rasa susah tak bahagia.
Bila dah kenal pasti, fikirkan jalan bagaimana anda boleh our-source perkara yang anda tak suka itu kepada orang lain. Kalau anda seorang boss di tempat kerja, ia dinamakan 'delegasi' kepada orang bawah. Jika anda seorang taukeh yang berniaga, ia dinamakan outsource kepada vendor.
Hidup didunia memang begitu. Anda tak akan tahu bahagia jika tak ada sengsara, tak ada kenyang jika tak ada lapar, tak ada sihat tanpa sakit, tiada kejayaan tanpa kegagalan. Jika anda berterusan mencari kebahagiaan sahaja di dunia, anda akan hanyut membuang masa sehingga nazak pun tak akan jumpa.
Kebahagiaan 100% yang kekal abadi hanyalah di akhirat iaitu di Syurga, itupun jika anda dapat harung gabungan hidup susah dan hidup senang di dunia. Jika gagal, anda akan berhadapan dengan sengsara 100% selama-lama nya di neraka.