Berpuasa bukan perkara asing lagi sekarang. Semua orang, samada yang percaya atau tidak kepada Tuhan, yang ada agama, malah yang tak ada agama pun, bercakap mengenainya. Itu terjadi setelah kajian demi kajian membuktikan yang amalan berpuasa sangat besar manfaatnya bagi manusia.
Dalam artikel ini saya mahu beri tumpuan terhadap manfaat berpuasa dalam membantu anda untuk meringkaskan kehidupan jika dilakukan secara tetap. Tetap di sini bererti samada secara berjadual sekurang-kurangnya setiap bulan. Atau jika mahu perkasakan lagi keberkesanannya, diulang sebagai rutin pada setiap minggu.
Untuk anda yang baru nak mula, boleh jadikan ia amalan berjadual setiap bulan terlebih dulu. Anda hanya perlu ikut kiraan bulan qamariah. Setiap kali masuknya bulan qamariah yang baru, anda boleh berpuasa sehari. Bila dah selesa sikit, boleh berpuasa 2 atau 3 hari berturut-turut setiap kali masuknya bulan qamariah baru.
Kemudian boleh ditambah pula dengan berpuasa apabila masuknya pertengahan bulan qamariah. Dengan berbuat begitu maka jadual berpuasa anda akan menjadi tetap. Setiap kali muncul anak bulan menandakan masuk bulan baru, anda berpuasa. Bila bulan mengambang penuh, anda juga berpuasa. Ini cara pertama.
Untuk cara kedua, anda boleh amalkan puasa setiap hari isnin dan khamis. Ini memang dah jadi satu amalan sunat yang banyak diamalkan oleh orang tua-tua kita sejak dulu lagi. Amalan ini bukan sahaja membolehkan anda mendapat pahala, malah kehidupan secara automatik menjadi ringkas dan mudah.
Puasa Isnin Khamis
Saya nak beri tumpuan pada amalan puasa setiap hari isnin dan khamis untuk pujuk anda agar amalkannya sehingga jadi amalan tetap yang tidak akan ditinggalkan lagi sepanjang hayat.
Amalan ini dah saya amalkan sejak lebih 20 tahun yang lalu dan saya sendiri tak ingat bila tahun saya mulakannya. Yang pasti, saya mula selepas dah berumah tangga dan dah berniaga, ertinya antara tahun 2003 ke 2005 dulu.
Berikut di bawah saya kongsikan apa yang saya dapat dari mengamalkan puasa setiap minggu 2 kali itu yang menjuruskan kepada kehidupan menjadi lebih ringkas dan mudah buat diri saya.
1. Kesihatan.
Secara mudah, saya dapat alami sendiri faedah kesihatan hasil dari berpuasa ini jika dibandingkan sebelum amalkannya dulu dan selepas. Jika sebelum dulu, saya mudah kena demam, setelah amalkan puasa, demam merupakan perkara yang jarang berlaku. Jika kena serangan virus atau seumpamanya, rasa panas di waktu petang, esoknya akan terus hilang lebih-lebih lagi jika esok itu hari isnin atau khamis.
Saya yakin anda sendiri tahu bahawa kajian demi kajian menunjukkan mereka yang mengamalkan puasa secara berselang seli membantu menyihatkan tubuh badan.
Faktor kesihatan itu memudah dan meringkaskan hidup anda.
- Tak perlu habiskan duit menelan ubat-ubatan yang berupa dadah sintetik
- Tak perlu habis duit belanja untuk beli makanan tambahan / 'supplements' yang kononnya menambah bekalan keperluan badan anda.
- Membantu tubuh badan membuang segala racun atau toksik yang berada di dalam badan secara teratur dan konsisten.
- Paling penting terutama zaman mencabar ini, masa dan wang yang terpaksa dikeluarkan untuk berjumpa doktor dapat dijimatkan kerana anda jarang jatuh sakit, kalau sakit pun akan cepat sembuh.
2. Kekal bentuk badan.
Ini merupakan antara faktor penting yang membuatkan saya putuskan untuk berpuasa setiap hari isnin dan khamis dulu.
Ia bermula dengan pertanyaan kenapa setiap kali masuk bulan ramadan, saya boleh pakai seluar yang lebih kecil saiz pinggangnya. Malah kena pakai saiz itu supaya tak rasa longgar dan terlondeh jika tiada tali pinggang. Bila ramadhan makin jauh ditinggalkan, saya kena pakai saiz yang lebih besar pula sebab saiz kecil itu sudah jadi ketat.
Bermula dari situ lah tercetusnya idea untuk terus berpuasa pada hari raya kedua, iaitu puasa enam, sebab nak kekalkan saiz yang dah slim. Bila selesai puasa 6, saya sambung pula dengan puasa isni, kemudian khamis dan begitulah berterusan, sedar tak sedar dan lebih 20 tahun.
Ternyata memang betul, dengan berpuasa tetap badan anda sentiasa kekal slim. Dengan bentuk badan yang konsisten itu anda dapat banyak manfaat.
- Anda jimatkan duit daripada menyertai ‘fitness centre’ untuk kekalkan bentuk badan.
- Tak tertipu keluarkan duit untuk beli ubat kurus yang biasanya mahal nak mampos sebab yang menjual atau jadi duta produk adalah artis terkenal.
- Anda jimatkan duit beli pakaian berbeza saiz. Satu untuk kegunaan selepas bulan puasa dan satu saiz lagi untuk beberapa bulan menjelang bulan puasa.
3. Tinggikan produktiviti.
Setiap kali anda berpuasa pada hari isnin dan khamis, waktu yang terpaksa digunakan untuk minum dan makan boleh digunakan untuk urusan kerja atau beribadah. Jom kira penjimatan masa di situ.
- Sarapan pagi pertama - 45 minit
- Minum pukul 10 pagi - 45 minit
- Makan tengahari - 1 jam 30 minit
- Minum petang - 45 minit
Satu lagi kelebihannya, setiap isnin dan khamis kawan-kawan tidak akan ganggu ajak minum kerana tahu anda berpuasa.
Gangguan dihilangkan secara automatik.
4. Mudah menabung.
Setiap hari Isnin dan Khamis, wang anda dapat dijimatkan untuk belanja makan dan minum seperti tersenarai di atas lebih kurang RM 50. Dalam tempoh seminggu anda mampu berjimat sebanyak RM100. Dalam masa sebulan anda mampu menabung sebanyak RM400. Ini belum ambil kira penjimatan dalam belanja kawan-kawanyang sertai anda makan dan minum bersama.
5. Rutin balik awal.
Setiap kali berpuasa, saya lebih gemar pulang awal dan berbuka di rumah. Saya yakin anda juga begitu. Kalau tidak, saya syorkan agar ikut cara itu untuk sentiasa utamakan berbuka bersama keluarga di rumah. Bila lagi nak bersama mereka.
Ini menjadikan keluarga tersenyum riang setiap hari Isnin dan Khamis kerana tahu anda akan pulang awal.
- Jika anda masih bujang dan tinggal dengan ibu, anda membahagiakan ibu.
- Jika sudah kahwin, anda membahagiakan isteri dan juga anak-anak.
Nah!
Saya berjaya senaraikan 5 kelebihan dalam mengamalkan puasa isnin khamis. Saya yakin anda tentu akui kebenaran apa yang saya nyatakan di atas.
Cuma masalahnya adalah untuk mengamalkannya. Ia adalah sesuatu yang sangat sukar bagi mereka yang lemah semangat dan tidak tinggi keazaman.
Bab nak ajar macam mana nak amalkan itu saya tak dapat bantu. Anda sendirilah perlu cara jalan yang terbaik untuk melaksanakannya. Saya berikan sedikit petua di bawah.
Petua puasa isnin khamis
Berikut beberapa petua yang boleh anda guna untuk mengamalkannya.
- Tanam azam hari ini dan sekarang juga untuk mula berpuasa setiap hari Isnin dan Khamis.
- Set telefon bimbit agar mengingatkan anda pada malam Isnin dan malam Khamis.
- Pasang niat sebaik saja telefon berdering mengingatkan anda untuk berpuasa keesokan harinya.
- Katakan pada diri anda, jika aku gagal buat amalan yang cukup baik dan terlalu banyak faedahnya seperti di atas, maka apa jaminan untuk aku menjadi orang yang berjaya?
- Bagun sahur sekurang-kurangnya untuk minum.
- Berhenti makan dan buat perkara lain yang membatalkan puasa keesokan harinya.
- Jika rasa macam tak larat pagi esok dan terdetik tak mau puasa, katakan pada diri anda ‘aku tak akan mati hanya kerana berhenti makan sehingga masuknya waktu magrib'. Jangan layan kemanjaan tubuh dan minda yang terlalu lemah sebegitu.
Saya syorkan pada anda yang membaca agar tanam azam dan segera lakukan amalan puasa Isnin Khamis. Terutamanya jika anda mahu jadi usahawan. Juga kepada anda yang memang dah jadi usahawan.
Ini adalah satu suntikan semangat untuk mengubah diri anda menjadi orang yang komited dan berjaya dalam usaha yang dilakukan. Insyaallah anda boleh lakukan demi kejayaan, harungi apa saja cabaran untuk menjadi lebih baik.