Anda tentu tahu bahawa produk hanyalah subset kepada perniagaan. Produk berada di dalam sesebuah perniagaan, tak ada produk, maka tak adalah perniagaan. Produk yang dimaksudkan di sini adalah samada objek kebendaan ataupun perkhidmatan, dan boleh juga gabungan kedua-duanya sekali.
Fakta di atas hampir semua orang tahu tapi sering terlepas pandang. Malah orang yang berniaga juga sering terlupa akan fakta tersebut. Untuk lebih mudah faham, saya berikan contoh kepada satu perniagaan, iaitu Bisnes Membaiki dan Menyelenggara Kereta.
Jika anda seorang mekanik yang mahir dan mahu menjalankan perniagaan bengkel kereta, sila ambil perhatian. Jika anda faham apa yang saya kongsikan ini, insyaallah akan terselamat dari masalah syok sendiri dan terlepas dari menjadi hamba kepada perniagaan anda sendiri.
Mekanik mahir & bengkelnya
Bayangkan anda seorang mekanik yang sangat hebat sering menjadi juara dan di gelar tangan emas dalam apa jua pertandingan kemahiran dalam bab baik pulih kenderaan. Anda mampu membaiki kereta jenis apa saja dengan tahap kemahiran yang sangat tinggi.
Apa saja masalah kenderaan yang gagal diselesaikan oleh mekanik lain, dengan mudah dapat diselesaikan sebaik saja anda ambil alih. Semua taukeh bengkel kenderaan mahukan anda dan sanggup beri bayaran yang tinggi jika anda mahu bekerja dengan mereka.
Setelah lama duduk dalam status makan gaji, sedangkan anda rasa taukeh hanya ambil kesempatan dari kemahiran anda sahaja, tanpa anda di situ, bisnes tak akan berada di tahapnya sekarang. Maka adalah lebih baik untuk anda sendiri jadi taukeh, buka benkel kenderaan anda sendiri.
Apa yang anda fikirkan itu sangat logik. Dan ramai berfikiran sama di luar sana. Kenapa tak buka bengkel kenderaan dan jalankan bisnes anda sendiri?
Lalu anda pun nekad, berhenti kerja dan mula berniaga.
Sindrom mekanik mahir
Untuk jimatkan modal, anda bermula dengan melakukan semua perkara sendiri terlebih dahulu. Premis dah dapat, segala peralatan asas pun dah tersedia, maka anda pun mula berniaga secara solo. Nak rekrut pekerja masih belum mampu sebab modal pusingan sangat terhad.
Sebenarnya, tak perlu diajar pun anda sendiri tahu apa yang perlu dilakukan. Anda habiskan masa dari pukul 10 pagi, mula buka workshop, hingga jam 8 malam sebelum tutup, repair dan repair kereta. Pelanggan pun ramai yang datang sebab memang dah tahu tahap kemahiran anda selama ini. Mereka beralih dari workshop majikan anda sebelum itu kepada workshop anda sendiri sekarang.
Lagipun anda memang suka baiki kenderaan. Mungkin nampak sukar bagi orang lain tetapi bagi anda, itu umpama makan kacang goreng saja. Mudah dan enak. Dan begitulah berterusan. Dari hari ke hari, minggu ke minggu dan bulan ke bulan dan masuk tahun ke tahun.
Anda masih tetap solo sebab siapa saja mekanik yang cuba minta kerja di bengkel anda, tak dapat tahan lama sebab anda sentias atak puas hati dengan cara dan tahap kemahiran yang mereka ada. Maklumlah anda kan sangat mahir.
Keadaan itu, jika dibiarkan berterusan, akan buatkan anda tenggelam dalam sindrom mekanik hebat yang buka bisnes bengkel kereta. Anda lupa bahawa anda sekarang adalah seorang usahawan dan bukan seorang mekanik. Tapi anda lebih banyak, hampir 99.9%, beri tumpuan hanya kepada kerja mekanik dan lupakan kerja anda sebagai seorang usahawan.
Saya jumpa ramai mekanik hebat yang berhenti kerja dan buka bisnes baiki kereta sebegitu. Tahap bisnes bengkel kenderaan mereka amat daif, tiada pekerja, dan mereka akan tunjukkan bisnes baiki kenderaan lain yang jauh lebih maju di mana taukehnya dahulu adalah anak didiknya. Anda hairan kenapa bisnesnya maju sedangkan tahap kemahirannya berbanding anda adalah umpama langit dan bumi.
Proses perkembangan perniagaan
Pusingan hayat sesebuah perniagaan lebih kurang sama dengan sebuah kehidupan. Berikut pusingan hayat perniagaan:
- Peringkat permulaan – Masa ini taukeh akan buat hampir semua urusan kerja yang diperlukan dalam perniagaan bengkel kereta tersebut. Terutamanya kerja membaiki, kerana ini cara yang paling menguntungkan. Lagipun sudah tentu taukeh yang minat dan pandai baiki kereta akan buat kerja baiki kereta.
- Peringkat membesar – Oleh kerana dia pandai baiki kereta dan ramai orang suka maka pelanggannya semakin ramai. Saat ini merupakan cabaran paling getir bagi taukeh. Jika tidak ada ilmu perniagaan, dia akan bawa perniagaannya menuju ke lubang masalah yang cukup besar. Dia akan terkial-kial buat kerja seperti superman untuk layan semua permintaan yang tinggi itu. Sudah tentu dia akan gagal jika cuba jadi superman, sebab superman hanya ada dalam filem bukan di dunia nyata. Taukeh perlu ubah diri jadi usahawan, bukan jadi superman. Kalau tidak, perniagaan akan mengecil semula dan akhirnya bungkus padam dan taukeh akan kerja makan gaji semula.
- Peringkat matang – Biasanya peringkat ini akan sampai jika taukeh berjaya selesaikan masalah di peringkat ke-dua di atas dengan baik. Taukeh mula membina asas-asas yang perlu untuk menjadi seorang usahawan yang baik. Banyak perkara baru perlu dipelajari sehinggalah dia mahir dalam selok belok menguruskan perniagaannya.
Perkara yang sama berlaku pada siapa saja yang membuka perniagaan berdasarkan apa kemahiran yang dia minat dan pandai melakukannya. Ia melibatkan segala perkara yang teknikal seperti membuat kek, buat popiah, web design, program komputer, buat rumah, buat perabut, dan lain-lain seumpamanya.
Dalam kes mekanik hebat di atas, peringkat kedua perniagaan memerlukan ilmu menjadi usahawan yang luas dan bukan sekadar ilmu membaiki kereta. Oleh itu pastikan anda faham apa dia ilmu perniagaan berbanding ilmu teknikal agar perniagaan anda mampu sampai ke peringkat matang.
Kalau nak tahu, berkawanlah dengan usahawan lain yang berjaya sekalipun dulunya dia anak didik anda dan anda yakin dia kurang mahir dalam bab repair, tapi akuilah hakikat yang dia mahir dalam bab bisnes. Belajar dari mereka cara membesarkan perniagaan.