3 pelajaran penting untuk jayakan syarikat perniagaan yang saya belajar dari kuliah Dr BJ Habibie


Ada sekali saya berpeluang hadir satu kuliah yang disampaikan oleh Prof. Dr. Bacharuddin Jusuf Habibie (25 June 1936 – 11 September 2019) atau lebih dikenali sebagai B.J. Habibie. Beliau merupakan Presiden Republik Indonesia yang ke-3 selepas Presiden Suharto meletakkan jawatan, dari tahun 1998 ke 1999 di mana ketika itu berlaku kekacauan politik yang serius di sana.

Kesempatan duduk di posisi itu digunakan oleh beliau untuk membuat satu reformasi politik pemerintahan ke atas Indonesia dengan menubuhkan Kabinet Reformasi Pembangunan. Seterusnya berlakulah satu pembentukan semula negara Indonesia di mana sistem demokrasi yang lebih telus terbentuk. Anda boleh baca ringkasan perjalanan hidupnya di sini.

Apa yang menarik dalam penyampaian BJ Habibie dalam ceramah itu adalah caranya memulakan kuliah dengan bercerita sambil memaparkan video kejayaannya membina industri pembinaan kapal terbang di Indonesia.

Dalam pembentangan di kuliah itu, ada 3 perkara yang masuk ke dalam hati saya untuk dikongsikan di sini.

Ilmu pengetahuan itu bebas

Pengetahuan atau teknologi bukanlah hak istimewa satu bangsa tertentu, sebaliknya ia adalah hak istimewa 'bangsa manusia'.

Mesej itu disampaikan oleh BJ Habibie ketika merumuskan bagaimana dia berjaya membina sebuah kapal terbang dari mula hingga akhir yang menyaksikan hasil pertamanya berjaya diterbang dan diturunkan dengan sempurna dan stabil. Kini syarikat Boeing sendiri menempa sebahagian daripada bahan penerbangan mereka dari Indonesia.

Sesiapa saja mampu memiliki pengetahuan dan teknologi dengan kesungguhan dan iltizam yang betul tak kira samada anda Melayu, Jawa, Banjar, Benggali dan sebagainya. Saya dan juga anda yang membaca ini, kita semua mampu jika benar-benar mahukannya.

Rancang dengan teliti

Untuk menjayakan sesuatu, anda tidak dapat lari dari membuat perancangan dalam segala aspek dengan terperinci. Dalam kes membina kapal terbang terutamanya, cukup hanya dengan sedikit saja kesilapan yang amat kecil mampu membuatkan kapal terbang menjadi sampah yang tidak berfungsi.

Disiplin yang sama perlu diterapkan dalam mana-mana usaha agar ianya berjaya membentuk sesuatu yang berfungsi dan berjaya. Dalam kes membina sesebuah syarikat dan perniagaan, anda boleh umpamakannya sebagai usaha untuk membina sebuah kapal terbang yang mahu diterbangkan naik dan turun dapat dikawal dengan sempurna.

Sikap sambil lewa dan tidak bersungguh-sungguh akan membuatkan perniagaan anda menjadi sampah dan mendatangkan masalah atau malapetaka pada semua yang terlibat terutamanya anda sendiri.

Kerjasama kumpulan

Bagi memastikan kejayaan dalam sesebuah usaha, sikap saling percaya dan hormat-menghormati serta saling mengasihi adalah perkara asas. Dengan adanya sikap tersebut barulah anda bersikap terbuka dan ikhlas membantu semua pihak menjalankan tugasan masing-masing dengan betul dan telus.

Ia juga merupakan asas untuk membolehkan anda menaburkan ilmu dan bimbingan pada semua yang terlibat agar mampu melaksanakan tugasan dengan sempurna. Tanpa wujud budaya atau sikap sedemikian, segala perancangan dan kerjasama hampir mustahil dapat digembeling. 

Tiada kerjasama membuatkan matlamat asal bersama menjadi hampa.

Siapa saja anda, apa saja usaha anda, pengajaran yang diberikan oleh BJ Habibie di atas amat penting untuk direnungkan. Terutamanya bagi usahawan yang bercita-cita tinggi membina sebuah syarikat bertaraf dunia, anda tidak ada cara lain selain daripada merancang dan membina dengan penuh ketelitian. 

Tiada jalan pendek untuk berjaya. Jika anda terima dan sanggup menempuh semua cabaran itu, anda atau siapa saja mampu melakukannya.

Post a Comment

Previous Post Next Post