Petua asas untuk semua orang yang tak ada pengalaman berniaga secara sepenuh masa ini perlu dihayati betul-betul kalau anda ada hasrat nak berhenti kerja makan gaji dan jadi usahawan.
Sama juga jika anda sudah berniaga dan perniagaan yang sedang dijalankan sekarang sudah berjaya mencapai tahap mampu menyara kehidupan anda dan keluarga dengan selesa. Petua ini tetap masih relevan dan perlu dipegang kukuh.
Untuk golongan pertama di atas, ini penting sebagai jalan berhati-hati sebab orang yang baru nak berniaga, tanpa pengalaman berjaya sebelum ini, sering punya impian dan keyakinan yang sangat besar sedangkan dia tak sedar keupayaannya masih sangat kecil berbanding impiannya.
Untuk golongan kedua di atas pula, ramai yang lupa diri mentang-mentang perniagaan yang dia usahakan dengan pantas berjaya mencanak naik, dia rasa dirinya penyumbang besar atas kejayaan itu atas faktor dia pandai. Selalunya rasa bagus itu hanyalah syok sendiri atau lebih tepat disebut 'perasan bagus'. Kejayaan dalam perniagaan tidak boleh tidak sentiasa dibantu oleh faktor nasib baik luar kawal. Orang yang pandai macam manapun, jika nasib tidak menyebelahinya, akan kecundang lingkup juga.
Kos mula paling rendah
Bolehkah memulakan perniagaan dengan kos yang paling rendah?
Bila nak berniaga, perkara-perkara berikut terbayang di dalam kepala untuk disediakan:
- Syarikat - Kena daftar SSM, buka akaun bank, sediakan apa-apa lesen perniagaan yang patut dll.
- Pengenalan asas bisnes - Kad perniagaan, kepala surat, dan lain-lain seumpamanya
- Premis perniagaan - Pejabat operasi, pejabat pengurusan dll.
- Peralatan dan mesin - Semua barang yang perlu ada untuk membolehkan produk atau servis anda dapat ditawarkan kepada pelanggan.
- Pekerja - Samada sepenuh masa atau separuh masa. In-house atau outsource
- Pelanggan - B2B, B2C, swasta atau kerajaan atau gabungan kesemuanya.
Ada 2 cara dalam menyediakan semua yang anda dah senaraikan di atas itu. Yang pertama adalah, sejak dari awal lagi, berusaha menyediakan semua yang disebutkan di atas dengan lengkap tip-top. Selalunya, anda yang pilih cara begini membuat andaian bahawa tanpa semua kelengkapan tersebut pelanggan tidak akan yakin dengan perniagaan yang dibuat.
Andaian itu ada betulnya. Kalau anda dah lama berniaga, nak pilih vendor sudah tentu tak mahu ambil risiko dengan pilih vendor yang tidak meyakinkan, pejabat atau premis perniagaan pun tak ada. Jika anda pengguna awam, sama juga. Tak akan ambil risiko material dan mental beli barang dari syarikat perniagaan yang tak meyakinkan.
Itu cara pertama. Ada satu lagi cara yang anda boleh buat. Untuk itu anda hendaklah punya fikiran yang kreatif dan realistik dengan hanya memberikan tumpuan pada perkara asas saja. Yang ini adalah pilihan saya dan saya syorkan pada anda juga jika nak mula berniaga atau jika nak buat satu lagi perniagaan baru selepas yang pertama dah lancar.
Jom semak semula senarai keperluan asas di awal atas tadi untuk memulakan perniagaan dengan kos yang paling rendah.
- Syarikat – Kalau ada modal lebih buat syarikat Sdn Bhd. Kalau tidak cukup, buat syarikat Enterprise saja.Ini perkara asas yang anda perlu adakan. Untuk makluman, ramai orang yang menjalankan perniagaan tanpa ada apa-apa syarikat pun. Bagi saya elok disediakan kerana sebab berikut.
- Mematuhi undang-undang perniagaan
- Membina perniagaan dengan cara yang betul sejak awal.
- Mula membina reputasi syarikat dengan membuka akaun bank dan mula mengadakan transaksi.
- Dengan adanya akaun bank, anda mengelakkan kerja remeh mencatatkan akaun wang keluar masuk sebab bank akan hantar penyata setiap bulan sebagai rekod transaksi keluar dan masuk serta dan perkembangan aliran kewangan dalam perniagaan anda.
- Kad perniagaan, kepala surat dll – Ini perlu disediakan tapi tak payah buat cara mahal. Gunakan template pada microsoft words untuk mencipta kepala surat. Kad perniagaan pula sekarang ni terlalu murah untuk disediakan. Ringkasnya ini bukanlah urusan yang membebankan dengan kos yang tinggi. Boleh cover bab keperluan ini dengan mudah.
- Pejabat – Selain dari perniagaan restoran, perniagaan yang perlukan pelanggan hadir di premis perniagaan anda atau seumpamanya, pejabat operasi sebenarnya tidak diperlukan. Anda boleh jadikan rumah sebagai pejabat. Adakan kelengkapan asas seperti telefon, internet dll sekiranya perlu. Jika perlu juga pejabat atas kehendak pelanggan, tumpang saja pejabat kawan.
- Pekerja / peralatan & mesin – Selagi tak ada pelanggan yang mencukupi, tak perlu adakan langsung kelengkapan dan pekerja. Jika dapat kerja, boleh sub (outsource) terlebih dahulu pada rakan lain yang ada kelengkapan dan pekerja. Anda sendiri perlu membuat pemantauan kerja agar berpadanan dengan apa yang telah dijanjikan. Sentiasa berfikir ke arah ini sebelum habiskan duir beli kelngkapan dan rekrut staff.
- Pelanggan – Kalau nak berniaga, ini memang perlu diadakan tapi anda wajib tahu siapa pelanggan yang anda sasarkan dengan jelas. Lebih detail anda boleh jelaskan siapa mereka, lebih mudah untuk anda dapatkan pelanggan. Bisnes akan jadi susah bila anda rasa semua manusia di muka bumi ini adalah pelanggan anda. Walau dengan apa cara sekalipun berusaha kenal pasti dan buru pelanggan sampai dapat tangkap mereka. Bila dah tangkap, kurung atau ikat mereka. Layan pelanggan pertama anda seperti raja agar ia membawa kepada pelanggan kedua dan seterusnya ketiga. Selalunya sebaik saja anda berjaya mendapatkan 3 pelanggan pertama (bukan kawan simpati atau keluarga). Perniagaan anda sudah mula bergerak.
Awas janji palsu pelanggan
Satu perkara yang sering menjadi perangkap kepada para usahawan terutamanya yang belum ada pengalaman adalah janji daripada pelanggan untuk membeli produk atau khidmat anda dengan bersyarat.
- Perlu ada pekerja yang ramai mencukupi. Siap beritahu berapa orang dan sebagainya.
- Perlu ada kenderaan. Siap berikan spesifikasi lagi.
- Perlu ada mesin-mesin tertentu.
- Perlu ada pejabat yang hebat.
- Dll seumpamanya
Petua saya, jangan sesekali sediakan semua tersebut selagi tidak ada hitam putih yang anda akan diberikan kerja jika sudah sediakan semua senarai keperluan itu. Jika dia kata sediakan dulu kemudian akan beri kerja atau jadi pelanggan anda, cari jalan sediakan semua itu di matanya secara formal dalam kertas tanpa perlu adakan lagi secara fizikal.
Ramai kawan-kawan yang saya kenal lingkup apabila dengan bersemangat dan penuh keyakinan menyediakan semua keperluan tersebut. Mereka dengan suci berharap pelanggan mengotakan janjinya. Tapi malangnya ia tidak berlaku. Dan pelanggan tak salah pun sebab tak ada perjanjian yang sah. Kalau anda saman bawa ke mahkamah pun buang masa saja.
Di sebabkan mudah percaya yang manusia sentiasa kotakan janji, anda terpaksa tanggung kos yang tidak sepatutnya. Ini memudahkan lagi berlaku kehancuran dalam perniagaan yang baru nak bertatih.
Tertipu janji kosong
Saya kongsikan cerita sebenar di sini.
Saya ada kawan yang memiliki sebuah firma guaman. Sebuah bank besar telah janjikan kerja yang banyak dengan syarat dia hanya perlu adakan jumlah pekerja seramai 25 orang.
Dengan bersusah payah dia mengadakan jumlah pekerja sebesar itu sedangkan kerja belum lagi dapat. Sebulan menjadi dua bulan dan akhirnya dah enam bulan kerja masih tak masuk-masuk.
Bayangkan kos yang keluar paling busuk RM25k sebulan di darab dengan 6 menjadi RM150 ribu. Semua kos itu terpaksa ditanggungnya. Akhirnya hutang bertimbun, pekerja cabut lari, firma tungging terbalik, Along jadi teman berhibur.
Sedangkan anda boleh adakan jumlah pekerja yang diminta oleh bank tanpa benar-benar adakannya selagi kerja tak masuk.
“Jangan sesekali keluarkan kos pada perkara yang belum sahih”
Jika anda boleh amalkan konsep yang tersebut di atas, insyaallah anda boleh mula perniagaan dengan kos yang paling rendah.