
Bagi yang bukan beragama Islam, tak pasti samada mereka pernah mendengarnya, atau punya versi lain yang berikan maksud yang lebih kurang sama. Atau mungkin mereka tak pernah dengar tentang perkara itu.
Bila dah berniaga, dah lalui ombak dan badai, naik dan turun, terbang dan tersungkur, saya perasan satu perkara yang sama dengan maksud kata-kata di atas ada dalam prinsip pareto. 20% menghasilkan 80% dan 80% lagi hanya hasilkan 20%.
Jika anda seorang yang peka memerhati, anda akan dapati dunia ini memang agak aneh kelakuannya. Sering berlaku keadaan di mana input yang sedikit memberikan output yang banyak.
Satu lagi perkara yang saya boleh sahkan benar adalah apa yang ditulis oleh Dan Ariely, iaitu manusia punya cara membuat keputusan yang tidak rasional. Itu adalah sikap normal yang dihadapi oleh kebanyakkan orang samada bijak atau tidak.
Puncanya adalah emosi. Rasional atau otak yang berfikir tidak pernah membuat keputusan. Ia sekadar membuat analisa dan berikan keputusan atau nyatakan keadaan, lalu berikan semua itu kepada emosi yang tak boleh bezakan antara baik atau buruk, untuk buat keputusan.
Berbalik kepada kata-kata 9 dari 10 sumber rezki adalah dari perniagaan, sekalipun hampir semua orang yang membesar sebagai budak melayu muslim di Malaysia pernah dengar tentang itu, namun apa yang berlaku adalah, dalam 10 orang, hanya seorang saja yang jadi usahawan. 9 orang lagi makan gaji.
Malah kajian menunjukkan jumlah usahawan yang ada di negara kita hanyalah antara 4% ke 5% sahaja. Bukan saja di Malaysia, malah diseluruh dunia, jumlah usahawan ada dalam 5% sahaja. Jika anda bertemu dengan 100 orang, insyaallah 95 dari mereka selalunya makan gaji dan 5 orang saja yang berniaga.
Dan bila anda zoom-in kepada 5% yang berniaga itu pula, hanya 1% atau kurang lagi dari itu yang tapaw semua 90% atau lebih dari kekayaan yang para usahawan jana. Majoriti usahawan hidup suam-suam kuku saja, namun begitu, lebih bagus dari majoriti mereka yang makan gaji.
Bila pergi ke kumpulan makan gaji yang jadi golongan paling ramai penduduk dunia, anda akan dapati perkara sama juga di mana kumpulan makan gaji yang dibayar tinggi sangat sedikit dan kalau dikiran peruntukkan gaji untuk semua pekerja, kurang dari 20% ambil 80% dari semua peruntukkan gaji tersebut.
Menilai diri sendiri
Untuk ambil manfaat dari fenomena di atas, elok anda buat analisa betul-betul terhadap semua usaha anda selama ini, kenal pasti mana satu yang mendatangkan hasil. Saya yakin anda akan dapati hanya 20% atau kurang dari usaha anda yang menjana 80% dari hasil yang diperolehi.
Jika anda dapat tahu apa usaha sedikit itu, maka berikan tumpuan pada perkara itu saja buat betul-betul. Yang 80% lagi usaha itu samada abaikan, tinggalkan atau out-source kan saja.
Konsep di atas juga perlu diamalkan dalam usaha niaga anda. Terdapat banyak rantaian proses dalam urusan perniagaan.
Sebagai contoh.
Petani yang mengusahakan ladang sayur tidak menjual sayurnya sendiri di pasar malam. Sebaliknya menjual secara pukal pada pemborong yang mengikat kontrak pembelian daripadanya.
Pemborong pula akan mengedarkannya pada peruncit yang seterusnya menjual di pasar-pasar malam atau di kedai-kedai runcit dan sebagainya. Masing-masing membina kekuatan mereka dan menjadi pakar dalam bidang masing-masing.
Dalam membesarkan perniagaan, peniaga terpaksa merekrut pekerja sebab dia faham dia hanya perlu buat kerja yang dia pandai saja. Mana kerja yang dia tak pandai atau tak tahu, rekrut saja pada mereka yang memang pandai. Ini menghasilkan satu lagi peluang pada masyarakat yang mahu mencari rezki samada secara makan gaji atau secara kontrak.
Formulanya adalah fokus pada apa yang anda pandai.
Petani yang tanam sayur juga tak buat bajanya sendiri, dia membelinya dari pembuat baja. Begitu juga pembuat roti bun tak perlu membina kilangnya tepungnya sendiri. Begitu juga dengan sumber mentah lain untuk menghasilkan apa saja produk elok dibeli daripada pembuatnya dan tidak perlu dilakukan sendiri. Ini dapat melahir dan membantu penjanaan ramai lagi usahawan dalam bidang lain.
Jika anda mahir dalam pemasaran roti, tak perlu fikirkan untuk membuat kilang roti. Pergi saja bincang dengan pengusaha kilang roti dan minta dia buat roti dengan jenama anda. Kerja pengedaran dan pemasaran anda lebih meningkat dan dalam masa yang sama anda membantu kilang roti menjimatkan kos pengeluaran dan membesarkan perniagaannya.
Buat sedikit yang penting saja dari rantaian, dan ‘outsource’ semua proses lain yang banyak tu pada usahawan lain. Dengan cara ini perniagaan anda berkembang dengan cepat dan lebih maju serta cekap.
Makan gaji bijak
Untuk anda yang makan gaji pula boleh perhatikan perkara yang sama. Jangan cuba kuasai banyak kemahiran sebab anda akan berakhir dengan semua kemahiran yang ada jadi sedang-sedang saja.
Sebaliknya fokus kemahiran yang anda memang dah berbakat. Gilap betul-betul dan biar saja kemahiran lain anda dianggap bodoh. Orang lain boleh tolong buat benda yang anda bodoh itu.
Cari lingkungan kecekapan anda dan beri tumpuan terhadap perkara itu. Jika anda nak minta kerja, pastikan pilih betul-betul syarikat yang tahu hargai kemahiran anda. Sama juga berlaku dalam syarikat perniagaan, jika ada 100 usahawan yang buat bisnes dalam industri yang sama, anda akan dapati hanya 20% dari mereka tapaw habis 80% dari pasaran yang ada.
Kenal pasti syarikat itu dan pergi jadi pekerja di sana.
Fenomena di mana terlalu ramai berebut peluang yang sedikit, terlalu sedikit yang ambil peluang yang banyak, akan kekal sampai bila-bila. Hanya mereka yang perhati betul-betul, yakin dan pergunakan kesempatan itu saja yang akan ke depan.