Modal permulaan untuk berniaga ni satu bab yang paling panas dibincangkan oleh orang yang masih tak berniaga, tapi ada hasrat nak berniaga.
Modal permulaan juga jadi batu penghalang paling besar yang cuba diubah oleh mereka yang nak berniaga. Ramai yang masih tak berniaga bila persepsi ini melekat kukuh dalam pemikirannya.
Bagi yang secara degil, cari jalan juga untuk berniaga, dia akhirnya akan mula berniaga juga walaupun tak berapa nak ada modal.
Tapi setelah mula berniaga, jika ditanya apa masalah yang dia hadapi untuk majukan lagi bisnesnya, dia masih akan tetap kata, “masalah modal tak berapa nak ada!”
Modal permulaan sentiasa tak cukup
Pernah sekali saya berceramah pada lebih dari 50 usahawan yang dah berniaga. Sebelum itu saya buat sesi suai kenal. Beri peluang pada setiap yang hadir ceritakan perniagaan dan kedudukan bisnes masing-masing.
Dalam dewan itu ada himpunan usahawan dari yang kecil dengan hasil jualan hanya beberapa ribu saja sebulan sehingga beratus ribu sebulan.
Menariknya, hampir kesemuanya angkat tangan bila saya tanya siapa yang rasa modalnya tak cukup.
Maksudnya, semua masih kekal pegang persepsi modal permulaan masih tak ada dan diperlukan lagi untuk ke depan.
Yang peliknya, mereka yang dah pergi jauh, dengan jualan yang mencecah puluhan ribu malah ada yang ratusan ribu, sedar yang mereka berjaya naik tanpa suntikan modal baru yang banyakpun.
Mereka pusingkan segala duit yang beredar masuk dan keluar dalam perniagaan mereka sedikit demi sedikit sampai bola pusingan tu makin lama makin membesar.
Solusinya, saya cadangkan kepada semua yang ada dalam sesi ceramah itu, untuk pergi tanya kawan yang lebih besar darinya dari segi nilai jualan, macam mana dia buat untuk membesar begitu tanpa ada suntikan modal baru.
Apa yang cuba nak saya buktikan adalah, ada cara lain yang boleh bantu anda membesar tanpa suntikan modal baru.
Tapi sudah tentu, saya akur bahawa dengan adanya suntikan modal baru yang banyak, proses besarkan bisnes adalah lebih mudah dari tak ada modal.
Tapi, sebagaimana semua tahu, bukan mudah nak minta duit dari pihak bank atau agensi kewangan lain untuk dilaburkan dalam perniagaan masing-masing.
Pihak bank akan kejar nak bagi duit pada bisnes yang memang tak ada masalah duit.
hidupringkas.com
Pihak bank juga akan lari jauh dari bisnes yang tak ada duit.
Memang pelik, memang tak kena dari segi logik mudahnya. Sepatutnya, tawarkan duit pada bisnes yang tak ada duit dan tak payahlah nak bagi duit pada bisnes yang ada banyak duit.
Namun begitu, semua mesti ingat. Pihak bank juga merupakan sebuah entiti perniagaan. Mereka nak untung, bukannya nak tolong. Ertinya, keuntungan adalah paling utama dan tolong datang kemudian.
Perniagaan memang macam itu.
Transaksi dalam perniagaan hanya akan berlaku bila kedua-dua pihak sama-sama untung.
hidupringkas.com
Itu yang akan dipastikan terlebih dahulu oleh kedua-dua pihak. Bila ada, baru sama-sama nak tolong menolong.
Fokus supaya modal permulaan paling rendah
Artikel ini merupakan sambungan dari siri 10 perkara wajib semak sebelum mula bisnes.
Dah masuk kriteria yang ke-8, bagi yang belum baca kesemua 7 perkara sebelum ini, boleh pergi ke belakang, artikel-artikel yang dah saya tulis sebelum ini untuk faham setiap satu kriteria yang wajib anda semak sebelum nak mula bisnes.
Ideanya adalah untuk pastikan bisnes yang anda nak mula buat itu memerlukan modal yang paling sedikit yang boleh.
Lagi rendah, lagi bagus idea bisnes anda tu.
Macam yang saya katakan kat atas tadi. Modal kalau ada memang bagus. Tapi kalau tak ada, bukan bermakna anda tak boleh mula berniaga. Jika ada kreatif, insyaallah, masih tetap boleh mula berniaga.
Saya bukan cerita pasal teori kat sini.
Saya sendiri mula berniaga tanpa ada modal pun. Kesemua bisnes yang saya buat, tak ada satu senpun modal keluar dari poket saya. Dari bisnes awal sekali buat bisnes jual baja, sampai bisnes pest control, dan lain-lain bisnes yang berjaya menjana duit, tak perlukan modal.
Yang lucunya, hampir kesemua bisnes yang bila saya ada duit, laburkan berpuluh ribu, semuanya hancur. Bisnes yang saya mulakan dengan ada modal lebih banyak yang lebur dari sukses.
Ada satu buku yang saya baca, tak ingat buku mana satu. Dia kata orang kaya adalah mereka yang paling mudah untuk kita ambil duit mereka.
Makin kaya, makin berkurangan tahap pekanya terhadap risiko duit hilang. Bila saya ada duit, sukar nak berkira sama macam masa tak ada duit. Lebih cenderung nak lebih kurang dan alpa. Sifat semula jadi manusia yang suka jimatkan tenaga.
Dari pengalaman, saya dapat sahkan yang kata-kata itu ada benarnya!
Rancang idea bisnes macam biasa dulu
Macam mana nak amalkan konsep mulakan bisnes dengan modal paling sedikit?
Cara paling mudah adalah dengan buat perancangan macam biasa saja terlebih dahulu.
Apa gambaran yang ada dalam kepala anda untuk menjalankan bisnes itu, senaraikan terlebih dahulu.
Buat kesemua senarai perkara dan benda yang diperlukan satu persatu sampai lengkap sempurna untuk mulakan bisnes anda.
Selepas itu, buat klasifikasi antara yang wajib ada dan yang tak wajib ada. Wajib ertinya kalau tak ada bisnes tu tak boleh dijalankan. Asingkan dua kategori yang wajib ada dalam satu senarai.
Dari situ, anda dah boleh zoom sekali lagi pada senarai item yang wajib ada tu. Fikirkan macam mana nak adakan item itu tanpa perlu ada duit.
Saya berikan contoh macam mana saya mulakan bisnes khidmat ‘Fumigation’ tanpa ada pejabat, pekerja dan peralatan untuk buat kerja. Yang saya ada hanya syarikat sahaja.
Saya pergi cari Taukeh syarikat yang ada kesemua kemudahan untuk buat kerja, bincang kerjasama dan bila termeterai persefahaman, terus pergi cari pelanggan.
Tak lama berusaha, syarikat baru saya tu terus mula jana sales lebih kurang RM20 ribu sebulan dengan hanya saya seorang sahaja pekerja dalam syarikat itu!
Dari situ saya susun dan bina sedikit demi sedikit. Mula cari pejabat tumpang kat pejabat kawan, mula adakan pekerja dan akhirnya sedar tak sedar dah ada macam-macam kemudahan dari peralatan sampai banyak kenderaan syarikat.
Satu senpun tak ambil pinjaman dari bank untuk hasilkan semua itu!
Nota: Semua kenderaan baru yang saya beli untuk operasi sudah tentu buat loan bank. Benda boleh loan mudah nak beli cash buat apa kan!
Perah akal sampai boleh
Modal paling besar yang ada dalam diri anda itu adalah akal. Gunakan ianya sebaik mungkin supaya modal kebendaan dan kewangan datang sendiri pada perniagaan anda.
Jika anda benar-benar perah akal, sudah pasti sentiasa nampak jalan.
Satu lagi modal besar dan penting yang perlu diadakan adalah kepercayaan orang kepada diri anda.
Kepercayaan orang pada anda ini macam buka akaun bank. Sebaik saja anda kenal orang, berbuat baik dan berlaku jujurlah.
Bantu tanpa mengharapkan balasan. Itu merupakan simpanan kepercayaan anda kepadanya. Macam simpanan duit yang anda masukkan ke dalam akaun bank.
Makin lama makin besar simpanan tu.
Dengan simpanan duit dalam akaun satu bank tertentu, anda boleh tunjukkan pada bank lain. Itu akan jadi cagaran untuk bank lain berikan anda pinjaman dan kemudahan lain pula.
Kepercayaan yang anda mahukan dari orang lain sama juga. Bila banyak simpanan kepercayaan anda pada seseorang, ia boleh membantu menarik pekercayaan orang lain pula dari kalangan kawan yang dah percaya pada anda tu.
Setakat itu saja kali ini. Saya akan sambung lagi artikel lain pula untuk perkara yang ke-9.
Harap artikel pasal modal permualaan ini tercapai maksudnya dan dapat berikan semangat pada anda yang masih buntu fikir mana nak cari modal permualaan.
Selamat perah otak!
1 comment
Assalamualaikum,pandangan terbaik.. boleh tolong whatsapp saya 0123319169. Terima.Kasih.Rosli@JlnKuchingKl