Dalam artikel lalu saya dah buat intro perjalanan awal boleh ter-terjun untuk sara hidup dengan berniaga.
Artikel ni saya sambung pulak, macam mana saya tersadai bila projek pertama serius nak jadi usahawan, terpaksa gulung tikar belum sempat pun ianya bermula.
Selepas saya letak jawatan, saya dan 3 lagi orang pekerja yang baru direkrut pergi ke Langkawi. Kami duduk di situ lebih sebulan untuk belajar teknik buat bot dengan menggunakan fibreglass.
Dah selesai latihan tu, kami balik untuk mulakan kilang buat barang dengan fibreglass tu. Tapi malangnya keadaan ekonomi makin merosot dan akhirnya pelabur utama tarik brake kecemasan.
Fasa belajar teruskan kehidupan
Masa jumpa untuk beritahu keputusannya, pelabur tu rasa kesian dengan saya sebab dah terperangkap dengan keadaan macam tu.
Saya tenang saja lansung tak risau.
Sebenarnya, lebih kesian padanya. Duit dia habis dengan projek sekerat jalan.
Itulah yang saya beritahu padanya.
Tapi dia kata pasal duit tak perlu nak fikir. Duit datang dan pergi. Kalau dia tak mencuba pada projek itu, duit tu akan hilang ke perkara lain jugak.
“Orang berniaga macam itulah ..”, selamba saja dia beritahu saya.
Saya kagum dengan sikap lansung tak sayang duit untuk mencuba, yang dia tujnjukkan.
Itu jadi pelajaran awal saya terhadap cara orang berniaga fikir.
Selesai dengan semua itu, dalam keadaan tak tau nak buat apa, saya tetapkan satu minggu untuk mula minta kerja dari mana-mana tawaran kerja kosong yang saya nampak sesuai kat akhbar.
Saya buat surat dan kirimkan semua permohonan.
Masuk minggu kedua saya mula keluar pagi-pagi cari kawan. Duduk nga-nga kat rumah tak akan membawa apa-apa hasil.
Lainlah sekarang. Dengan internet yang meluas, duduk depan komputer kat rumah mampu jana pendapatan 4 atau 5 ribu sebulan senang-senang.
Masa itu dah ada internet tapi bukan macam sekarang. Belum secara meluas lagi. Nak masuk internet kena pakai modem kalau tak silap saya. Guna talian telefon. Biasanya ramai orang pakai internet explorer masa itu untuk layari internet.
Saya pergi cari kawan-kawan yang turut sama diberhentikan kerja dan tak ada kerja masa tu. Memang ada ramai sebab kes kena berhenti kerja memang berlaku meluas dalam keadaan ekonomi yang gawat.
Macam burung yang keluar pagi-pagi. Mereka tak ada kelebihan akal fikiran macam manusia. Itupun akan ada juga makanan yang dia bawa balik untuk dirinya dan juga anak-anaknya di sarang.
Takkan lah saya yang ada akal fikiran, boleh cakap, boleh buat macam-macam tak dapat nak cari rezeki?
Memang ternyata ada saja rezeki saya untuk teruskan kehidupan masa itu.
Dari situlah saya buat macam-macam usaha cari duit. Buat MLM, jual baju kelawar, jual petai, jual kain batik, jual baja dan lain-lain.
Masa itu saya belajar perkara yang sangat penting.
Kalau nak teruskan usaha jadi usahawan, anda perlu ada keupayaan untuk fikir pasal survival. Ertinya perlu kreatif untuk cari jalan dapatkan duit dengan cara yang halal untuk teruskan hidup.
Survival tu bukan bab nak bina perniagaan lagi. Fokus adalah nak hidup. Apa saja benda boleh jual dapat duit, buatlah.
Kalau ada produk dan ada pembeli, maka adalah duit untuk anda.
Kalau tak ada produk atau benda nak jual, tawarkan apa-apa khidmat bantu kawan-kawan yang berniaga. Akan ada juga duit untuk anda bawa balik.
Bina rangkaian kenalan usahawan
Ketika fasa survival itu saya ambil kesempatan untuk bina rangkaian kenalan mereka yang sukses dalam bisnes.
Kalau saya tengok ada orang yang bergaya, kenal ramai orang dan pakai kereta Merz, saya akan usaha cari kawan yang kenal dia. Saya minta kawan saya itu untuk perkenalkan kepada orang itu.
Bukan susah nak bina kenalan kawan-kawan yang sukses sebenarnya. Macam pepatah selalu sebut ..
Yang enggang sama enggang juga, yang pipit sama pipit juga.
Peribahasa Melayu
Anda hanya perlu jumpa seekor enggang saja untuk jumpa kesemua enggang lain. Begitu juga perlu cari seekor pipit saja, akan jumpalah semua pipit lain.
Sebaik saja saya berjaya kenal dan rapat dengan seorang kawan yang sukses dalam bisnes mereka, dia bawa saya jumpa semua kawan-kawan lain yang sama macamnya.
Saya mula bina kenalan satu persatu. Buat tapisan mana yang sesuai dengan saya untuk kekal rapat. Banyak masa saya, akan dihabiskan dengan mereka. Nak serap macam mana cara mereka berfikir.
Dari pergaulan dengan kawan-kawan berniaga, saya cuba sesuaikan diri dengan cara mereka berfikir. Cuba ikut apa yang mereka bincang dan bersembang dan sertai apa saja aktiviti mereka.
Nasib saya mungkin baik sebab semua yang saya kenal, mereka berjaya tapi kekal hidup secara sederhana. Tak main kelab malam atau minum kat hotel mewah. Tak bergaya Don Juan dan lansung tak sombong.
Apa yang mereka rajin buat adalah duduk kedai kopi, minum dan bersembang. Satu hari boleh minum 8 ke 10 gelas air. Teh Tarik, Nescafe, air suam. Silih berganti setiap kali singgah kedai minum jumpa orang.
Selama setahun duduk macam itu, saya rasa lebih banyak yang saya belajar tentang perniagaan dan kehidupan daripada 3 tahun duduk kat universiti masuk kelas dengar kuliah.
Kawan-kawan tu bila nak dapatkan maklumat yang memerlukan pendidikan universiti, mereka hanya pergi jumpa kawan yang kerja pensyarah kat U. Selesai masalah.
Apa yang mereka perlukan adalah sekadar ilmu dan keperluan yang mencukupi untuk bertindak dan buat keputusan. Tak payah nak lebih-lebih mendalam segala teorinya.
Cari idea bisnes untuk diusahakan
Begitulah saya teruskan kehidupan tanpa ada satupun bisnes yang serius untuk saya usahakan. Maksud saya perniagaan yang saya nampak gambarannya bila dipandang ke depan 5 atau 10 tahun lagi.
Semua bisnes yang saya buat ketika itu hanya sekadar nak cari duit, cari pengalaman dan cari kenalan. Tidak ada gambaran untuk pergi lebih jauh dari itu. Sekarang baru saya sedar bahawa itulah bezanya antara bisnes yang ada visi dengan yang tak ada visi.
[Nota: Vision bermakna keupayaan untuk melihat]Pada tahun 1999 saya naik ke KL.
Masa itu, masih tak ada bisnes lagi. Ke KL sebab nak bantu kawan buat projeknya kat KLCC. Masa itu juga saya dah mula senaraikan satu persatu idea bisnes yang boleh diusahakan sambil teruskan usaha cari makan.
Nak dipendekkan cerita, akhirnya saya senarai pendekkan 2 bisnes.
Idea bisnes pertamanya adalah nak buka Cold Storage. Dan yang keduanya pula nak buat Syarikat Pest Control.
Dan akhirnya saya pilih buat perniagaan khidmat Pest Control sebagai bisnes untuk saya bina dan usahakan sampai berjaya.
Niat nak ke KL sebentar pada tahun 1999 itu berakhir dengan saya tak balik lagi ke Pulau Pinang sampai sekarang. Menetap di Lembah Kelang, lembah yang penuh peluang dan dalam masa yang sama penuh kesengsaraan.
Untuk pengetahuan anda pembaca, kesemua idea bisnes yang saya senaraikan, tak ada satupun yang berdasarkan minat atau kemahiran yang saya ada.
Bukan nak beritahu bahawa anda kena buat bisnes yang anda tak ada ilmu tentangnya. Tapi saya terpaksa buat macam itu memandangkan tak ada pilihan lain.
Dari segi pengalaman, bisnes yang sesuai buat saya sudah tentu dalam dunia automotif. Tapi keadaan ekonomi tidak mengizinkan ketika itu. Lagipun, bidang automotif yang saya tahu adalah dalam industri pembuatan dan bukan bengkel repair kenderaan.
Nak guna ilmu dalam pendidikan pula, saya belajar Matematik, Fizik dan Statistik. Nak buat bisnes apa dengan 3 subjek macam tu?
Mungkin statistik boleh digunakan untuk bina idea bisnes maklumat. Memang saya ada hasrat untuk buka satu agensi penyelidikan dan kajian dalam jurusan pemasaran. Nak fokuskan kepada kajian terhadap pasaran dalam perniagaan.
Tapi semua terpendam bila saya teruskan idea pest control.
Buat syarikat pest control tanpa ada sedikitpun kemahiran, pengalaman dan pengetahuan dalam industri tersebut bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilakukan.
Saya perlu ada strategi untuk pantaskan proses pembelajaran. Akan saya kongsikan nanti dalam artikel yang akan datang.
6 comments
saya baca penuh teruja dan mnat..
memang begitu cara baik untuk belajar bisnes.
jauh dan bangun dan jatuh lagi hehehe
akhirnya bangun lagi
Terima kasih tuan sudi membacanya !
Tuan Bihi.memang punyai gaya penulisan yang memberi ransangan dan semangat.MasyaALLAH tabarakaLLah.teruskan tuan.
Tuan pula sangat bijak memberikan ransangan untuk orang macam saya terus menulis .. terima kasih tuan atas galakan dan semangat !!
Banyak motivasi yang diperolehi daripada catatan perkongsian pengalaman ini antaranya soal duit. Peniaga berjiwa besar sentiasa tenang dengan apa yang dikatakan ..duit itu datang dan pergi.. Sikap yang sentiasa ingin mencuba dan belajar.
Terima kasih tuan sudi berkongsikan komen kat sini. Harap ada manfaatnya !