Ini artikel siri ke-4 lanjutan dari 10 himpunan artikel yang menyentuh perkara-perkara wajib semak sebelum nak mulakan bisnes idea yang ada dalam pemikiran anda.
Saya ulang semula apa yang dah saya senaraikan sebelum ini dalam artikel-artikel yang lalu.
- Tahap desakan – Takat mana terdesaknya pelanggan perlukan produk anda itu untuk selesaikan masalah yang sedang mereka hadapi.
- Saiz pasaran – berapa besar saiz pelanggan yang berpotensi untuk diyakinakan jadi pelanggan anda.
- Potensi harga – berapa tinggi harga yang boleh anda rangkakan dalam menawarkan produk atau servis anda tu kepada pelanggan.
Saya ulang sekali lagi bahawa kesemua 10 perkara yang anda wajib semak ini saling berkait antara satu dengan yang lain. Perlu tengok dan fikirkan kesemuanya untuk mendapatkan gambaran jelas tentang bisnes idea anda tu.
Sekarang kita tengok item ke-4 ni pula.
Kos bawa pelanggan
Ini merupakan isu pemasaran. Agenda untuk pastikan pelanggan sasaran anda tahu yang bisnes atau produk atau servis anda tu wujud.
Perkara paling asas yang menentukan samada bisnes anda akan ada pembeli atau tidak yang ramai terlepas pandang.
Ramai terlupa bahawa punca no. 1 kenapa orang tak dapat beli produk atau servis anda adalah disebabkan mereka tak tahu.
Kalau tak tahu produk atau servis tu ada, macam mana nak datang beli?
Hampir mustahil untuk orang beli sesuatu yang dia tak tahu wujud.
Melainkan dia mendapat mimpi ketika tidur. Dalam mimpi tu ada seorang Wali datang memberitahu pada pelanggan tersebut tentang bisnes anda. Siap bagi lokasi dan alasan kenapa pelanggan itu perlu pergi beli!
Kalau terjadi macam itu, ia adalah satu keajaiban.
“Boleh saja percaya perkara ajaib. Tapi jangan bergantung kepada keajaiban untuk berjaya”
www.hidupringkas.com
Apa saja bisnes, kena buat aktiviti beritahu orang ramai tentang kewujudannya. Dan biasanya, aktiviti ini ada kos.
Bab kos nak bagi orang tahu inilah yang perlu kita pertimbangkan. Adakah kosnya tinggi atau boleh dilakukan secara percuma sahaja.
Sasaran yang semua usahawan perlu buat adalah untuk menjadikan kos beritahu orang ni serendah mungkin. Lagi rendah lagi bagus.
Senarai cara nak bagi tahu pelanggan
Apa yang anda boleh buat adalah, mula buat senarai cara nak bagi tahu orang satu persatu. Kat hujung tu letakkan kosnya.
Katakan anda nak buka sebuah bengkel servis dan selenggara kenderaan. Saya berikan contoh kat bawah. Apa yang anda boleh buat supaya orang ramai tahu tentang workshop anda tu.
- Lokasi – Buka tepi jalan raya yang jumlah kenderaan lalu lalang tinggi. Dengan pilihan lokasi begini, tak perlu buat apa-apa lagi untuk orang tahu kewujudan workshop anda tu. Kos sewa saja mahal tapi bab kos sewa kedai tak masuk dalam kategori no. 4 ni. Maksudnya kos untuk orang tahu jika workshop anda tepi jalan adalah percuma.
- Pasang signboard – Buat signboard besar yang jelas dan nyata serta menarik untuk gambarkan workshop jenis apa anda fokus. Ini ada kos sedikit tapi sekali buat tak perlu buat untuk 3 atau 4 tahun lagi. Bajet signboard yang mengancam dalam RM2,500 saja.
- Buka Page Facebook dan media sosial lain – Dalam zaman sekarang anda boleh buat page atau akaun dalam media sosial secara percuma saja.
- Buat fliers – Anda boleh tempah design fliers atau broshure yang menarik menceritakan tentang workshop dan apa yang anda tawarkan kepada pelanggan dan edarkan. Bajet dalam RM1000 untuk aktiviti ini.
- Buat business card – Design dan cetak kad bisnes anda untuk diedarkan kepada pelanggan dan setiap orang yang anda kenal.
- Buat tanda arah ke workshop – Design dan pasang tanda arah disekitar jalan raya dalam lingkungan 2 kilometer dari workshop anda. Ini ada melibatkan kos lesen dari majlis perbandaran dan kos tempah signboard tunjuk arah. Bajet dalam RM2,500
- Buat kenduri pembukaan – Panggil satu kampung, taman dan masjid serta surau berdekatan untuk majlis pembukaan. Ini juga ada kos. Bajet dalam RM3,000
- Iklan – Boleh guna media massa konvensional tapi mahal. Kalau nak bajet, boleh saja cari mana-mana influencer yang ada ramai pengikut dalam industri berkaitan bisnes anda untuk war-warkan tentang workshop anda dan apa istimewanya. Bajet dalam RM1,500. Kalau kebetulan anda kenal ramai yang punya akaun media sosial popular, lagi mudah dan murah.
- Taja program berkaitan dengan industri automotif – Ini agak mahal juga. Tapi kalau anda kenal pengurus event, boleh bincang ntuk dapatkan kos kawan-kawan. Bajet dalam RM1,500
- Kerjasama dengan penjual kereta terpakai – Pergi cari bisnes kereta terpakai sebanyak mungkin dan bincang kerjasama dengan mereka. Kosnya mungkin belanja minum saja. Bajet dalam RM300 saja.
Pilih mana yang kosnya rendah
Dari senarai yang saya dah buat kat atas tu nampak memang ada banyak juga kos bawa pelanggan yang percuma atau murah. Ertinya, kalau anda tak ada bajet, masih tetap terlaksana untuk aktiviti beritahu pada orang ramai.
Maksudnya, idea bisnes anda tu sangat berdaya saing dalam bab beritahu orang ramai.
Apa yang paling baik dalam pertimbangan kos bawa pelanggan ini adalah semua idea yang paling murah. Lagi banyak idea murah atau percuma anda boleh buat, lagi bagus idea bisnes anda tu.
Begitulah, lebih kurang cara nak buat pertimbangan idea bisnes anda dalam bab kos bawa pelanggan ini.
Moga anda faham.
Lepas ni kita akan sambung lagi kriteria ke-5 pulak dalam artikel yang lain.