Siapa tak pernah dengar buku bertajuk “The Seven Habit of Highly Effective People”?
Kalau ada yang tak pernah dengar, mungkin anda agak ketinggalan dalam dunia motivasi diri untuk berjaya. Mungkin juga kitab Ihya Ulumuddin karangan Imam Ghazali lebih diberikan tumpuan untuk motivasi diri.
Buku karangan Stephen R Covey ini masih ada dalam koleksi saya dan sudahpun usang dan kertasnya dah bertukar warna menjadi coklat. Namun ia masih menjadi rujukan saya sekali sekala apabila mahu mencari atau memikirkan idea baru dalam tulisan.
Antara tajuk yang paling saya ingati dan cuba melaksanakannya sejak mula-mula membacanya dulu ada berkenaan Prinsip Pengurusan Diri.
Ia menceritakan konsep megisikan masa, dengan 4 kategori kerja. Berikut adalah 4 kategori kerja yang ada dalam kehidupan kita:
- Kerja yang tidak penting dan tidak mendesak – Banyak daripada kita hanyut dengan tugasan atau kerja sebegini. Contohnya adalah seperti aktiviti keluar minum ke kedai kopi dan berbual-bual kosong sehingga berjam-jam membincangkan ramalan samada Najib atau Anwar akana menjadi PM. Atau menelefon kawan untuk berbual atau bermain video game dan lain-lain seumpamanya.
- Kerja yang tidak penting tetapi mendesak – Contohnya adalah seperti gangguan ketika sedang melakukan kerja melalui panggilan telefon. Terpaksa menghadiri mesyuarat atas arahan boss dan tiada perbincangan penting yang berfaedah untuk tugas anda. Mungkin juga urusan membuat laporan yang dikejar oleh orang lain dan sebagainya.
- Kerja yang penting dan mendesak – Ini termasuklah urusan menyelesaikan krisis samada dalam pekerjaan, perniagaan, perhubungan atau seumpamanya. Ia mungkin juga urusan menyelesaikan masalah perkelahian dengan rakan kongsi atau masalah pekerja anda kesemuany mogok meninggalkan pekerjaan mereka.
- Kerja yang penting tetapi tidak mendesak – Ini adalah keadaan paling ideal yang seandainya majoriti atau semua kerja anda bertumpu dalam kategori ini, anda sudah tentu termasuk dalam golongan mereka yang cukup berjaya dan akan lebih berjaya lagi. Antara urusan kerja dalam kategori ini termasuklah seperti merancang, membina jaringan, mencari dan mengenal pasti peluang, memikir dan menguruskan pencegahan dan lain-lain lagi seumpamanya.